KEWAJIBAN puasa yang sudah ditinggalkan pada tahun sebelum ini hendaklah segera digantikan.
KEWAJIBAN puasa yang sudah ditinggalkan pada tahun sebelum ini hendaklah segera digantikan.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Ketibaan Ramadan tahun ini mengimbau kembali peristiwa pertama kali umat Islam di negara ini menyambut Ramadan di dalam norma baharu akibat penularan wabak Covid-19 setahun yang lalu. Ketika itu, tiada sebarang aktiviti solat Tarawih di masjid dibenarkan kecuali beberapa orang petugas dengan bilangan yang sangat terhad. Hampir semua aktiviti pengimarahan Ramadan yang lazimnya dilakukan di masjid, hanya dapat dilaksanakan di kediaman masing-masing bersama ahli keluarga.

Kini Ramadan tiba lagi di dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir. Beberapa amalan tradisi masyarakat seperti pulang ke kampung untuk menyambut ketibaan Ramadan tidak dapat dilakukan kerana aktiviti rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan. Namun beberapa aktiviti yang lain berkaitan ekonomi, sosial, rekreasi dan keagamaan telah dibenarkan dengan beberapa kelonggaran berdasarkan perkembangan semasa.

Alhamdulillah, bagi program pengimarahan sepanjang bulan Ramadan di masjid dan surau, beberapa aktiviti utama secara umumnya dibenarkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut negeri masing-masing. Manakala di Wilayah Persekutuan, melalui perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta nasihat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), aktiviti pengimarahan surau dan masjid sempena Ramadan dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan. Antara aktiviti tersebut termasuk solat Tarawih, tadarus al-Quran dan qiamullail.

Zakat fitrah  juga boleh dibayar secara bersemuka kepada amil.  Ketetapan terbaharu ini sudah tentu mengubati kerinduan orang ramai untuk kembali mengimarahkan masjid sempena Ramadan terutama bertarawih di masjid.

Setiap Muslim perlu menyambut ketibaan Ramadan dengan perasaan gembira dan teruja seperti menerima kehadiran tetamu yang amat dinanti-nantikan.

Di dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bermaksud: "Rasulullah  berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab. Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadan." (Riwayat Ahmad).

Justeru, segala persiapan fizikal dan mental perlu dilakukan bagi menempuhi bulan Ramadan seperti penjagaan kesihatan dan ketahanan tubuh badan, saling memaafkan, meningkatkan amalan sunat dan wajib serta mengulang kaji ilmu berkaitan Ramadan.

Mendalami ilmu berkenaan puasa secara terperinci amat penting agar puasa kita menjadi ibadah yang diterima Allah SWT bukan sekadar menjadi adat dan tradisi yang sia-sia. Puasa adalah ibadah penting serta perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh berdasarkan ilmu yang dipelajari, bukan sekadar amalan ikut-ikutan yang dilakukan sambil lewa.

Kewajiban puasa yang sudah ditinggalkan pada tahun sebelum ini hendaklah segera digantikan, manakala bagi yang uzur dan tidak mampu berpuasa hendaklah menunaikan fidyah sebagaimana maksud ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 183-184 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui."

Pengisian di bulan Ramadan perlu diatur secara teliti dengan jadual rutin amalan harian yang berfaedah. Tidak cukup hanya sekadar bersedia dengan buku dan menu resipi juadah berbuka puasa sepanjang 30 hari, sebaliknya kita juga perlu menetapkan menu amalan yang perlu dilazimi bagi mendisiplinkan diri sepanjang Ramadan. Salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah daripadaku (ibadat pada bulan itu). (Riwayat al-Tabarani)

Sepanjang bulan Ramadan pertingkatkanlah solat berjemaah di masjid, tinggalkanlah perbuatan maksiat, gandakanlah amalan bersedekah, jauhi fitnah, bersengketa dan bermusuhan serta banyakkan membaca al-Quran. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud: "Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan al-Quran bersama Nabi pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali. (Riwayat Al-Bukhari). Hidupkanlah malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah atau melakukan qiamullail. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiamullail sepertimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam. (Riwayat Al-Tirmizi)

Di Wilayah Persekutuan, aktiviti edaran makanan secara percuma kepada golongan memerlukan melalui surau dan masjid diteruskan di bawah program Dapur It'am. Aktiviti ini akan menyemarakkan lagi budaya bersedekah serta menyuburkan sifat keprihatinan terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain. Kemeriahan tradisi bersedekah masih dapat diteruskan melalui pelbagai medium yang disediakan. Masjid dan surau juga boleh menyediakan juadah berbuka dan moreh secara berbungkus atau diedarkan terus kepada penerima. Amalan Nabi Muhammad SAW yang banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan tersebut mempunyai kelebihan yang tersendiri. Di dalam sebuah hadis riwayat Anas RA menyebutkan maksudnya: "Ditanyakan Nabi puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi, sedekah di bulan Ramadan.'" (Riwayat Al-Tirmizi)

Manakala memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain juga adalah kategori sedekah yang mempunyai ganjaran tersendiri seperti sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa itu." (Riwayat Al-Tirmizi)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:00 AM