GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Mohd Hasrul bin Shuhari

PADA zaman Nabi Muhammad SAW, puasa Ramadan difardukan pada tanggal 2 haribulan Syaaban, tahun ke-2 Hijrah. Ertinya sebulan sebelum masuk bulan Ramadan, umat Islam diperintahkan bersedia untuk berpuasa Ramadan pada tahun berkenaan. Sebelum peristiwa Hijrah, umat Islam belum diwajibkan berpuasa Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."  (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Terdapat hadis yang menjelaskan sejarah puasa umat Islam. Saidina Salamah ibn al-Akwa' RA berkata yang bermaksud:  "Kami dahulu pada bulan Ramadan bersama Rasulullah SAW, sesiapa mahu maka ia berpuasa, dan sesiapa yang mahu ia juga boleh tidak berpuasa. Maka, (kalau tidak berpuasa) ia perlu memberikan makan kepada orang miskin, sehinggalah turun ayat (yang ertinya): "Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu -"  (Surah al-Baqarah ayat 185). (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa umat Islam boleh memilih sama ada ingin berpuasa atau tidak pada Ramadan. Namun, mereka perlu menggantikan puasa berkenaan dengan memberi makan kepada orang miskin. Setelah turun ayat tersebut, umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan Ramadan.

Selain itu, terdapat amalan puasa umat Islam sebelum diwajibkan berpuasa Ramadan. Saidina 'Abd Allah ibn 'Umar RA berkata:  Nabi SAW melaksanakan puasa hari Asyura (10 Muharam) lalu memerintahkan sahabat) untuk melaksanakannya pula. Setelah Allah mewajibkan puasa Ramadan, maka puasa hari Asyura ditinggalkan (yakni tidak diwajibkan)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Umat Islam wajib puasa pada 10 Muharam kemudian ia menjadi sunat setelah Allah SWT mewajibkan umat Islam berpuasa pada Ramadan. Ia juga selari dengan hadis yang Ibn Abbas RA ditanya tentang puasa Asyura' (10 Muharram), Ibn Abbas RA berkata: " Tidaklah aku mengetahui Rasulullah SAW puasa pada suatu hari untuk mencari keutamaannya kecuali pada hari ini (yakni hari 10 Muharam) dan tidak pula puasa pada suatu bulan kecuali pada bulan ini, yakni bulan Ramadan." (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud:  "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa -  (Surah al-Baqarah, 2: 183). Berdasarkan asbab nuzul riwayat al-Hakim, Muaz ibn Jabal RA menjelaskan bahawa apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda SAW berpuasa selama 3 hari pada setiap bulan dan baginda SAW juga berpuasa Asyura' (10 Muharam). Maka Allah SWT menurunkan ayat 183 ini untuk mewajibkan puasa Ramadan.

Terdapat keringanan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Contohnya, umat dahulu dilarang bercakap-cakap kerana ia akan membatalkan puasa. Menurut Imam al-Qurtubi dalam Kitab al-Jami' li Ahkam al-Quran, sunnah berkaitan percakapan ini juga berlaku pada syariat Nabi Muhammad SAW tetapi hanya tidak boleh berkata-kata yang keji sahaja. Ini boleh mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Puasa adalah benteng (perisai), maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor (kejahatan) dan jangan pula berbuat perkara bodoh (kesalahan dari segi perbuatan dan perkataan). Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah 'aku sedang berpuasa' sebanyak dua kali."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi Muhammad SAW bersabda:  "Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengamalkannya maka Allah tidak berhajat pada apa yang dia tinggalkan daripada makanan dan minumannya."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketika zaman dahulu, menurut Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-'Azim, diriwayatkan daripada Ibn 'Umar RA bahawa diwajibkan kepada mereka setelah solat Isyak apabila tidur, tidak makan, minum dan berjimak. Menurut Imam al-Qurtubi, diriwayatkan juga bahawa zaman dahulu diharamkan makan, minum dan berjimak ketika bulan puasa meskipun pada waktu malam. Ia juga berlaku ketika puasa pada fasa permulaan Islam kemudian dimansuhkan.

Firman Allah SWT berfirman yang bermaksud:  "Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa."  (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Imam al-Baghawi dalam kitab Ma'alim al-Tanzil, menukilkan riwayat bahawa sahabat Nabi SAW berazam tidak berjimak dengan isteri mereka selama sebulan penuh di bulan Ramadan. Tetapi mereka melanggarnya, maka turunlah ayat ini untuk memaafkan mereka dan membenarkan mereka bersama dengan isteri mereka pada waktu malam bulan Ramadan.

Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa terdapat  rukhsah  (keringanan) bagi umat Islam berkenaan hukum berpuasa dan berjimak di bulan Ramadan. Menurutnya, sebelum ayat ini diturunkan, ketika waktu berbuka puasa (iftar), mereka hanya dibenarkan makan, minum dan berjimak sehingga waktu Isyak atau tertidur sebelumnya. Apabila masuk waktu Isyak atau tatkala mereka tidur sahaja, maka mereka diharamkan makan, minum dan jimak sehinggalah malam berikutnya. Mereka mendapati perkara ini sangat sukar bagi mereka. Setelah ayat ini diturunkan, mereka berasa sangat gembira (farhan syadidan).

Berkaitan ayat ini juga, Imam Ibn Kathir menukilkan riwayat bahawa ada sahabat mengikat kakinya dengan tali putih dan tali hitam apabila hendak berpuasa.  Mereka terus makan dan minum dan hanya akan mula berpuasa jika benang berwarna hitam bertukar menjadi putih sebagaimana ayat di atas. Apabila turun ayat 'minal fajri' yang bermaksud 'dari waktu fajar' maka mereka baru tahu bahawa benang hitam dan putih itu merujuk kepada siang dan malam.

Bersegera berbuka puasa juga disunatkan kepada umat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  "Agama ini akan senantiasa terzahir kebaikannya selama mana manusia (kaum Muslimin) mempercepatkan buka puasanya, kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya -  (Hadis Sahih riwayat al-Hakim). Umat Islam dilarang berpuasa wisal yang turut dilakukan oleh golongan Nasrani, yakni menyambung puasa sehingga hari berikutnya tanpa makan menurut Imam Ibn Kathir.

Namun, amalan ini dibenarkan khusus kepada Nabi Muhammad SAW sahaja. Saidatina 'Aisyah berkata:  "Rasulullah SAW melarang sahabat berpuasa wisal sebagai rahmat kepada mereka. Para sahabat bertanya: "Anda sendiri berpuasa wisal?" Baginda SAW menjawab: "Aku tidak seperti kalian, sesungguhnya Allah memberiku makan dan minum."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam perlu ambil iktibar daripada sejarah pensyariatan puasa pada zaman Nabi Muhammad SAW ini. Banyak keringanan yang diberikan agar umat Islam bersyukur dan bersemangat mentaati Allah SWT. Di samping mengetahui sejarah tentang puasa, umat Islam juga perlu mengulang kaji hukum hakam dan cara menghayati ibadah Ramadan agar dapat menyambut kedatangan bulan tersebut dengan lebih bermakna.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 7:29 AM