FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Izuddin Mohd Kassim

Polemik isu transvetisme atau kecelaruan identiti jantina diri sudah lama bertapak dalam masyarakat kita. Istilah seperti pondan atau mak nyah bukanlah golongan yang wujud pada hari ini sahaja yang kononnya terkesan kerana persekitaran moden, demokrasi, budaya kuning dan kebebasan hak asasi, tetapi mereka sudah wujud berkurun dahulu. Mutakhir ini kita digemparkan dengan isu seorang pondan yang tertekan dengan tohmahan dan kecaman netizen, tidak kurang juga tekanan undang-undang daripada pihak berkuasa menyebabkan dia mulai sangsi dengan ajaran Islam terhadap golongan sepertinya.

'Mukhannath' (pondan) adalah seorang lelaki yang dilahirkan dengan kemaluan seorang lelaki dan sifat seorang lelaki, tetapi dia memilih untuk berperwatakan seperti wanita maka terzahir padanya keperibadian wanita daripada sudut keayuannya, lemah gemalai perilaku, perkataan dan pergerakannya. Adapun 'khunsa' adalah seseorang insan yang tidak dapat dipastikan jantinanya secara 'tahdid' kerana ia mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan perempuan sama ada kedua-duanya berfungsi atau satu daripadanya sahaja berfungsi. Bahkan kita tidak dapat menentukan kecenderungan jantinanya setelah ia mencecah had 'tamyiz' ataupun had 'bulug' (baligh). Betapa ramai cendekiawan dan agamawan tidak dapat membezakan perbezaan ketara antara dua golongan ini dalam komuniti masyarakat sehinggakan permasalahan sosial ini makin menjadi-jadi dalam masyarakat. Betapa pincangnya sistem dakwah dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dalam negara kita secara lebih tuntas.

Daripada Sayyidatina Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa: "Seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai 'ghairu ulil irbah' (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka.

"Mukhannath itu sedang menceritakan mengenai sifat wanita (Taif) dengan berkata: 'Wanita (Taif, anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan) dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan).'

"Mendengar perbualan itu Rasulullah SAW bersabda: 'Ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.' Mereka pun (sekalian isteri Nabi) akhirnya memakai hijab." Hadis Riwayat Imam Muslim dan Ahmad

Al-Imam Nawawi Rahimahullah juga memuatkan dalam syarahannya bagi Sahih Imam Muslim larangan bagi si pondan memasuki rumah wanita asing berdasarkan larangan Rasulullah SAW kepada Ummu Salamah saat terdengar percakapannya dengan saudaranya, Abdullah Ibn Umyyah. Larangan itu jelas ditujukan kepada semua pondan, bahkan dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda: "Allah Taala melaknat pondan daripada lelaki dan pengkid daripada wanita."

Sehubungan itu, menunjukkan bahawa mukhannath juga mempunyai nafsu dan syahwat yang sama seperti lelaki biarpun mereka menyerupai wanita dalam pelbagai cara. Arahan dan tindakan mengusir mukhannath bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri baginda yang berhadapan dengan golongan itu.

Imam Nawawi membahagikan mukhannath kepada dua kelompok individu:

1. Seorang lelaki yang secara fitrah nuraninya berperwatakan seperti seorang wanita, tetapi tanpa relanya bahkan ia tidak berhias seperti wanita, tidak berlemah lembut dalam percakapannya maka syarak sama sekali tidak mengadili dan menghakiminya kerana itu adalah sifat semula jadi tanpa paksaan serta rela.

2. Seorang lelaki yang secara rela berperwatakan seperti seorang wanita atau fitrah nuraninya seperti seorang wanita, tetapi dia tidak nafikannya, bahkan berhias seperti wanita, berlemah lembut dalam percakapannya maka perilakunya itu tercela dan terkutuk.

Oleh itu, berdasarkan kisah yang diriwayatkan dalam hadis itu, menunjukkan pendekatan yang diamalkan Rasulullah SAW apabila menghadapi golongan ini, baginda menangani mereka dengan penuh berhikmah dan rasional tanpa menafikan hak asasi sebagai manusia dalam masyarakat. Namun kerana ketandusan ilmu agama dan penghayatan Islam dalam kehidupan menyebabkan ibu bapa khususnya mengambil sikap acuh tak acuh dalam menangani konflik identiti jantina anak apabila akhirnya mereka hanyut dalam pancaroba dunia hari ini. Mereka tidak menyedari walaupun si anak mulai berubah sikap dan mula berpakaian seperti wanita, si anak itu hakikatnya secara lahiriah adalah seorang lelaki jika ia dilahirkan dengan cukup sifatnya sebagai seorang lelaki maka segala hukum-hakam berkaitan dengan jantinanya sebagai seorang lelaki tidak tergugur walaupun mereka berasakan serta berperwatakan seperti perempuan terutama dalam bab aurat.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfatul Muhtaj m/s (7/310) menyatakan seorang 'mukhannath' adalah seorang lelaki yang cuba menyamai perwatakan wanita daripada sudut pergerakannya dan perihalnya, terdapat banyak riwayat dalam hadis yang melaknat individu ingin menjadi seorang mukhannath, namun jika perwatakan berkenaan adalah sifatnya yang semula jadi tanpa paksaan atau relanya maka ia tidak berdosa.

Had batasan aurat bagi mukhannath adalah seperti lelaki, tidak harus baginya melihat aurat wanita apatah lagi menyentuhnya dan tidak diharuskan juga baginya melihat aurat lelaki sejantina antara pusat serta lutut apatah lagi menyentuhnya.

Imam Ibn Rif'aah dalam Kifayah An-nabih m/s (2/390) menjelaskan bahawasanya jika terdapat individu lelaki yang terpotong baginya scrotum (pundi zakar), tetapi masih mempunyai zakar maka si mukhannath tetap haram baginya melihat zakar atau pundi zakarnya, larangan Rasulullah SAW terhadap golongan songsang ini memasuki tanah Madinah sangat jelas.

Pendapat yang muktamad dalam mazhab menyatakan terbatal wuduk bagi sesiapa sama ada si mukhannath atau perempuan yang menyentuh zakar yang sudah terpotong dengan syarat bahawasanya dia masih kelihatan seperti zakar dan ia masih dinamakan sebagai zakar kerana hukum itu mempunyai hubung kait dengan penamaan secara tidak langsung serta melihat pada anggota aurat yang terpotong itu adalah haram.

Imam Ibn Hajar menyatakan sesiapa yang menyentuh zakar yang terpotong maka ia seperti menyentuh zakar secara keseluruhannya kecuali jika ia hanyalah cebisan potongan daripada khitan sebagaimana disebutkan oleh Imam Mawardi, begitu juga hukum pada faraj wanita yang terpotong daripadanya.

Haram baginya (lelaki) melihat anggota mukhannath yang terhasil daripada pembedahan plastik seperti buah dada dan faraj palsu seandainya anggota tambahan itu dapat menaikkan nafsu syahwatnya kerana sudah tidak lagi dapat bezakan yang manakah yang asal serta yang manakah yang tambahan.

Imam Nawawi juga menjelaskan dalam Raudhah at-Tholibin, jika seorang lelaki ingin menambahkan pada tubuh badannya seperti aksesori kuku tambahan, rambut atau kulit maka tidak haram selama mana tidak menimbulkan prasangka dia akan berupa atau berperwatakan seperti seorang wanita jika mengenakan tambahan tersebut padanya. Namun jika tambahan itu menyebabkan ia kelihatan seperti wanita maka tiada syak pada pengharamannya.

Kesimpulannya, masyarakat tidak sewajarnya menjadikan sandaran 'alah bisa tegal biasa' dan kefahaman dangkal/literalis di sebalik riwayat hadis yang termaktub sebagai alasan memberikan tiket kepada golongan mukhannath untuk bergaul bebas dengan wanita kerana masih terdapat batas yang perlu dijaga di antara mukhannath dan wanita. Walaupun pendekatan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras dan tegas, Rasulullah pada masa sama melarang berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh golongan ini. Sebaliknya baginda menanam sikap teladan dalam diri kita sebagai individu Muslim untuk mengajak ke arah kebaikan, menyantuni dan menasihati mereka sebaik-baiknya. Saya menyeru seluruh umat Islam dalam negara kita yang tercinta ini untuk kembali kepada fitrah insani dan kefahaman agama Islam sebenar. Adapun di peringkat penguatkuasaan undang-undang sewajarnya tidak memandang enteng isu ini dan wajib ditangani sebaik-baiknya dan penuh berhemah. Kadang-kadang wujudnya golongan ini dalam masyarakat adalah juga disebabkan oleh sikap alpa agamawan kita sendiri dan pedagogi arus pendidikan menyebabkan mereka traumatik dan akhirnya memilih murtad sebagai jalan penyelesaian kerana ajaran agama Islam dianggap mereka sudah tidak relevan dan sempit.

Penulis pelajar Universiti Al-Azhar dan Panel Liqo' Asya'irah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 8:01 AM