JANTINA adalah faktor asasi dan faktor penentu di dalam riwayat hidup semenjak lahir hingga meninggal dunia.
JANTINA adalah faktor asasi dan faktor penentu di dalam riwayat hidup semenjak lahir hingga meninggal dunia.
Dr Mohd Izwan Md Yusof

Allah SWT menjelaskan kepada kita bahawa penciptaan manusia berasal dari rumpun yang satu. Namun begitu, di dalam penciptaannya terdapat dua faktor yang berbeza iaitu faktor yang membezakan di antara jantina dan yang membezakan di antara satu kabilah dan kabilah yang lain, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya  yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu."

Syed Qutb mentafsirkan maksud ayat ini manusia berasal daripada satu keturunan, maka perlu dielakkan pecah belah dan sengketa antara satu sama lain. Allah yang menciptakan kamu lelaki dan perempuan, pelbagai bangsa dan suku supaya kenal dan mesra di antara satu sama lain. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat dan akhlak seharusnya membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat. Beliau menyatakan orang yang mulia yang sebenar ialah orang yang mulia di sisi Allah.

Justeru, jantina seseorang individu adalah faktor asasi dan adalah faktor penentu dalam riwayat hidup seseorang sejak dia lahir hingga meninggal dunia. Islam menetapkan jantina kerana Islam mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi di mana hak lelaki dan perempuan adalah berbeza. Sebagai contoh dalam undang-undang pernikahan (munakahat), syarat sah pernikahan ialah mesti berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Jika syarat ini tidak dipatuhi, maka pernikahan terbabit tidak sah dan pergaulan juga menjadi haram. Begitu juga dalam soal pusaka di mana lelaki mendapat dua bahagian berbanding perempuan.

Selain itu, Islam juga menetapkan kedudukan lelaki mesti berada di hadapan saf perempuan ketika solat. Begitu juga mengenai batas aurat antara lelaki dan perempuan. Perkara ini juga berbeza mengikut jantina. Islam mengambil kira soal seperti urusan memandikan jenazah iaitu jenazah perempuan hendaklah dimandikan dan diuruskan oleh perempuan dan begitu sebaliknya. Berdasarkan hukum Allah yang menetapkan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan, lelaki juga bertindak sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk seisi keluarga, maka lelaki selayaknya memiliki sifat kepimpinan dan lebih tegas berbanding perempuan.

Ini kerana persepsi yang diletakkan ke atas seorang perempuan terhadap sifatnya yang lemah-lembut, mengharapkan perlindungan, bersifat keibuan dan sebagainya selari dengan naluri perempuan itu sendiri. Maka, sifat kejantinaan ini yang perlu dijaga bagi mengelakkan kecelaruan dalam hubungan sesama manusia dan mengekalkan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.

Kedua-dua faktor yang berbeza ini adalah asas kepada tamadun manusia dan kehidupan sosial mereka. Manusia mengikut fitrah kejadiannya yang dibekalkan Allah SWT kepada manusia, bertanggungjawab mengawal batas bagi kedua faktor itu. Hikmah seorang lelaki dijadikan berbeza daripada seorang perempuan melalui bentuk dan nalurinya adalah supaya kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, sewajarnya ciri perbezaan itu dikawal dengan baik dalam kehidupan sosial manusia.

Mustafa al-Khin menegaskan secara prinsipnya, Islam mengharamkan penyerupaan lelaki seperti perempuan dan penyerupaan perempuan seperti lelaki sama ada dari segi pakaian, perhiasan dan kelakuan. Dalil pengharaman penyerupaan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW seperti berikut:

Daripada Ibn 'Abbas RA berkata: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki." (Hadis Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Tirmizi)

Golongan ini dilaknat oleh Nabi SAW sama ada lelaki yang menyerupai wanita atau sebaliknya. Dalam hal ini, ia merujuk kepada lelaki yang menyerupai wanita dari pelbagai sudut sehingga menonjolkan seseorang lelaki itu sebagai wanita, bukan lagi sebagai lelaki. Golongan ini juga dikenali dengan istilah mak nyah dalam konteks masyarakat di negara kita. Manakala wanita yang menyerupai lelaki juga sedemikian. Wanita yang menyerupai lelaki ini dikenali sebagai pengkid.

Al-Tabari berkata  iaitu: "Tidak harus bagi lelaki untuk menyerupai wanita dari aspek pakaian dan perhiasan yang dikhususkan untuk wanita dan sebaliknya. Manakala Ibn Hajar al-Athqalani menambah, demikian juga pada percakapan dan ketika berjalan (pergerakan). Sheikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah RH berkata: "Zahir lafaz hadis tersebut adalah tegahan daripada menyerupai dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun, yang sering dan diketahui adalah menyerupai pada pakaian, sebahagian perwatakan, pergerakan dan sebagainya."

Seterusnya, menurut Prof  Dr  Hatta Sidi, transgender ialah perkataan payung yang merangkumi pelbagai bentuk identiti seperti sebelum pembedahan, selepas pembedahan (pertukaran jantina), transeksual yang belum lagi menjalani pembedahan, golongan yang melaporkan bahawa diri mereka dilahirkan sebagai jantina yang salah, golongan mak nyah yang memakai pakaian perempuan (tradisinya dikenal sebagai transvetit) dan golongan individu intersex (dahulu dikenal sebagai hermaphrodites) yang mempunyai kedua-dua organ pembiakan lelaki dan perempuan. 

Meskipun begitu, Islam mengakui terdapat manusia yang mempunyai kekeliruan identiti jantina. Golongan ini dipanggil khunsa yang mempunyai dua alat kelamin, lelaki dan perempuan. Khunsa terbahagi kepada dua; wadih (nyata) dan musykil (tidak nyata). Khunsa wadih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda dominan kelelakian atau keperempuanan. Manakala khunsa musykil tiada tanda dominan, sukar dibezakan seperti air kencing keluar serentak atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Selanjutnya, Imam empat mazhab berbeza pandangan mengenai kedudukan mukhannath (lelaki yang berperwatakan seperti perempuan) menurut syarak. Mazhab Hanafi misalnya menjelaskan, ia adalah sifat lembut pada perbuatan yang menyerupai perempuan, sedangkan dia lelaki. Dia dianggap orang fasik kerana cenderung kepada sifat kewanitaan. Mazhab Syafie pula berpandangan, mukhannath adalah seorang lelaki yang berkelakuan seperti wanita sama ada dalam pergerakannya atau keadaannya. Jika dengan sebab kejadian semula jadi, maka tidak dikira berdosa, selagi mana dia tidak berpenampilan menyerupai wanita.

Justeru, persoalan yang paling penting adalah bagaimana untuk masyarakat bergaul dengan golongan transgender atau mak nyah berdasarkan panduan daripada syarak. Sebagai Muslim, sudah pasti kita perlu mengutamakan hukum yang ditetapkan. Namun pada waktu sama, berdiskusi dengan mereka serta membimbing mereka dengan pendekatan yang hikmah dan tepat mengenai sudut pandang Islam mengenai kedudukan mereka perlu dilakukan. Masyarakat juga perlu menyedari kehadiran mereka sebagai kumpulan yang perlu dibimbing berdasarkan panduan agama. Elemen pendidikan dan pencegahan kepada yang belum terjebak, bimbingan dan nasihat kepada mereka yang ingin berhijrah dan kembali kepada fitrah serta penguatkuasaan kepada mereka yang mempromosi gaya hidup yang bercanggah dengan norma masyarakat, perlu bergerak seiring agar isu transgender atau mak nyah ini dapat ditangani secara holistik.

Penulis Penolong Pengarah Kanan,  Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 5:59 AM