FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Bersama Suriany Awaludin

ASSALAMUALAIKUM puan. Untuk makluman puan, saya menghadapi krisis rumah tangga.

Suami saya bukan saja tidak bertanggungjawab, malah melakukan pelbagai kekasaran terhadap saya dan anak.

Keadaan itu mengakibatkan saya mengalami tekanan mental dan sudah pun mendapat rujukan doktor.

Saya melihat bahawa adalah lebih baik untuk bercerai dengan suami memandangkan semakin lama bersama dengannya tahap kesihatan mental saya turut terganggu.

Bagaimana kaedah seorang isteri untuk keluar daripada perkahwinan apabila perkahwinannya mengundang permasalahan seperti tekanan jiwa dan berasakan peleraian perkahwinan adalah jalan terbaik?

Boleh puan jelaskan apa tindakan yang boleh saya buat.

Lisa

Pembubaran perkahwinan boleh berlaku dengan adanya kebenaran atau melalui perintah mahkamah.

Bermakna mana-mana pihak yang tidak dapat memenuhi kewajipan dan tanggungjawab perkahwinan atau wujud apa-apa alasan yang dibenarkan undang-undang atau hukum syarak untuk membubarkan perkahwinannya, perlu memohon dan hadir di mahkamah syariah untuk memohon pembubaran perkahwinan.

Berbeza dengan cerai secara talak, ia adalah semata-mata hak suami dan berlaku apabila suami melafazkan cerai atau menjatuhkan talak terhadap isterinya.

Kemuncaknya banyak pasangan memikirkan bercerai penyelesaian terakhir dan terbaik bagi mereka.

Seandainya segala usaha sudah dilakukan, masalah dan tekanan yang dialami suami isteri gagal dirungkai dan salah seorang membuat keputusan untuk membubarkan perkahwinan terbabit, ada beberapa jenis pembubaran perkahwinan yang boleh dipohon di mahkamah.

Perceraian secara talak boleh dipohon dengan adanya persetujuan suami untuk melafazkan cerai terhadap isteri.

Namun jika suami tidak bersetuju melafazkan cerai dan isteri kekal dengan keputusan untuk bercerai, isteri boleh memohon pembubaran perkahwinan secara tebus talak atau khulu’ dan fasakh.

Apa perbezaan antara perceraian melalui tebus talak atau khulu’ dengan fasakh?

Pembubaran perkahwinan melalui permohonan tebus talak atau khulu’ dan fasakh kebanyakannya berpunca daripada tiadanya persetujuan suami sama ada selepas perbincangan dengan isteri atau mana-mana wakil isteri atau melalui proses kaunseling sebelum sesuatu permohonan pembubaran dirujuk ke mahkamah syariah.

Pembubaran perkahwinan secara tebus talak atau khulu’ boleh dipohon mengikut Seksyen 49 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan bahawa: “Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah ba’in suhgra atau tak boleh dirujukkan.”

Bagi perceraian secara tebus talak atau khulu’ boleh dipohon di mahkamah apabila suami enggan menceraikan isterinya dengan rela hati.

Sedangkan pada masa sama isteri terbabit enggan dan tidak sanggup meneruskan perkahwinannya dengan suami terbabit serta isteri bimbang jika perkahwinan diteruskan akan mendatangkan dosa kerana gagal mentaati suami dan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Oleh itu, isteri boleh menawarkan satu kadar atau jumlah bayaran kepada suaminya bagi mendapatkan talak.

Apabila kadar tebus talak terbabit sudah dipersetujui maka suami akan melafazkan sighah khulu’ iaitu lafaz cerai secara khulu’ dengan kebenaran mahkamah.

Perceraian secara khulu’ ini hanya berlaku sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dengan perceraian itu dan kadar tebus talak sudah dipersetujui bersama.

Sekiranya salah satu pihak enggan atau tiada persetujuan dicapai sama ada perceraian dengan tebus talak maka isteri perlu memohon perceraian secara fasakh atau cerai secara talak (selepas melalui prosiding yang ditetapkan bagi kes suami yang tetap enggan menceraikan isterinya secara baik).

Oleh yang demikian, bagi isteri yang ingin membubarkan perkahwinannya dan suami enggan menjatuhkan talak dengan sukarela, isteri mempunyai pilihan iaitu memohon perintah pembubaran daripada mahkamah syariah dengan salah satu atau lebih daripada alasan yang diperuntukkan di atas.

Perlu diingatkan juga bahawa permohonan mengikut Seksyen 53 ini atau fasakh boleh diteruskan sekalipun suami tetap enggan melafazkan talak atau tidak menghadiri prosiding perbicaraan selepas penyampaian disempurnakan (saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada suami).

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 8:36 AM