FOTO hiasan. FOTO Aziah Azmee
FOTO hiasan. FOTO Aziah Azmee
Suriany Awaludin

Enam tahun lalu, saya dan isteri pernah bertengkar akibat terlalu runsing selepas anak pertama kami kerap demam dan masuk hospital.

Hal itu menyebabkan saya meminta isteri berhenti kerja supaya dia dapat memberikan jagaan sepenuhnya kepada anak. Ketika emosi saya sedang memuncak, saya katakan kepada isteri begini: “Saya hendak awak berhenti kerja dan tak payah datang pejabat lagi. Esok kalau awak keluar juga, saya ceraikan awak.” Pertengkaran itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu kami berbaik semula selepas isteri saya memujuk dan meminta maaf. Keesokan harinya, isteri keluar bekerja seperti biasa. Adakah lafaz itu terpakai menyebabkan jatuh talak terhadap isteri? Jika lafaz itu sah, apa patut saya lakukan memandangkan kejadian itu sudah lama berlaku?

Hakimi, Merlimau, Melaka

Dalam Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri memperuntukkan perceraian di bawah taklik atau janji iaitu:

1. Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian sudah berlaku.

2. Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut hukum syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada pendaftar yang berkenaan dan kepada ketua pendaftar untuk didaftarkan.

Melalui peruntukan itu, perceraian dimaksudkan adalah permohonan cerai taklik yang dipohon isteri berikutan berlakunya perlanggaran syarat taklik yang dilafazkan suami selepas melafazkan akad nikah.

Lafaz itu disebut sebagai taklik secara rasmi. Peruntukan itu dikhaskan untuk mana-mana isteri yang mendapati suaminya melanggar taklik yang dibuat dengan pembuktian yang cukup.

Walau bagaimanapun, selain taklik rasmi, terdapat taklik lain yang biasa berlaku dalam perkahwinan. Taklik berlaku sama ada atas kehendak suami atau dengan persetujuan bersama isteri.

Cerai taklik adalah perceraian yang berlaku disebabkan perkara yang digantung (ditaklikkan) kepada perceraian tanpa mengira perkara yang digantungkan itu berkait dengan kelakuan manusia (suami, isteri atau pihak lain) atau sebaliknya seperti masa dan keadaan.

Walaupun ada pihak yang berpendapat perceraian secara taklik tidak sah, Jumhur Fuqaha (Hanafi, Syafii, Maliki dan Hambali termasuk Ibnu Jarir, Ibnu Rusyd dan al-Tabari) berpendapat cerai taklik adalah sah, tanpa mengira lafaz itu benar-benar bertujuan menceraikan isteri atau sebaliknya seperti sumpah yang bukan bertujuan menceraikan isteri.

Lafaz cerai taklik semata-mata untuk menghalang isteri daripada melakukan perkara yang tidak disukai suami atau bertujuan bagi mendisiplinkan isteri.

Bagi tujuan itu, boleh jadi suami melafazkan berbentuk menghalang atau menegah isteri melakukan perbuatan yang tidak disukai suami seperti: “Jika engkau keluar rumah tanpa izin aku, tertalak engkau dengan talak satu.”

Boleh jadi juga suami melafazkan: “Jika engkau berpakaian tidak menutup aurat ketika keluar bekerja, jatuhlah talak satu.” Selain itu, boleh jadi suami melafazkan: “Jika bapa engkau terus menuduh aku melakukan perbuatan itu, jatuhlah talak atas engkau” atau “Khamis minggu depan, jatuhlah talak satu ke atas engkau” dan sebagainya.

Antara hujah golongan yang menerima perceraian secara taklik adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman... sempurnakanlah janji-janji kamu.”

Ia mempunyai pengertian yang luas merangkumi janji untuk menceraikan isteri dengan berlakunya sesuatu perkara yang dijanjikan (ditaklikkan).

Berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Orang-orang Islam terikat dengan janji-janji mereka...” Ia membawa erti, seseorang suami yang berjanji (bertaklik) terikat dengan janji (taklik) yang dibuat.

Perceraian secara taklik pernah berlaku pada zaman sahabat. Mereka memfatwakan, jatuh talak sekiranya berlaku perkara yang ditaklikkan.

Pendapat yang menerima sah berlaku perceraian secara taklik juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga perkara yang jika dilakukan secara sungguh-sungguh, akan dikira sungguh-sungguh dan jika dilakukan secara main-main, tetap akan dikira sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.”

Oleh itu, lafaz cerai walaupun secara gantung (taklik) tetap dikira sah. Dalam memutuskan persoalan jatuh atau tidak talak dalam perceraian taklik apabila berlaku pelanggaran syarat, perkara penting yang diambil kira ialah ‘sifat’ terhadap syarat berkenaan iaitu kehendak sebenar ke atas zahir syarat yang dilafazkan suami.

Kitab Syarqowi ‘alat Tahrir Juz II ada menyebut: “Barang siapa menggantungkan talak dengan suatu sifat. Maka jatuhlah talak dengan wujudnya sifat itu sesuai bunyi lafaznya.”

Isu yang timbul ialah isteri sudahpun menyem-purnakan syarat taklik iaitu dengan berlakunya perlanggaran syarat suami manakala lafaz yang dilafazkan suami menyatakan secara khusus iaitu “Esok kalau awak keluar juga, saya ceraikan awak.”

Perbuatan isteri keluar bekerja pada keesokan harinya itu sudah sempurna seperti kehendak lafaz. Maka, gugurlah talak ke atas isteri.

Cuma tidak dinyatakan oleh suami berapa jumlah talak yang dimaksudkan. Ia perlu dijelaskan melalui siasatan mahkamah kelak.

Pasangan ini perlu membuat permohonan pengesahan cerai di mahkamah syariah serta mengesahkan berlakunya rujuk. Walaupun tempohnya sudah lama, ia perlu disahkan bagi mengetahui jumlah talak dan baki talak.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:58 PM