GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM menetapkan peraturan jelas setiap perkara yang dihalalkan dan dilarang agama.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:  “Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara yang berada antara halal dan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai manusia mengetahuinya.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, timbul satu istilah disebut sebagai syubhah atau  mutasyabihah. 

Perkataan syubhah berasal daripada bahasa Arab dan kini sudahpun diterima sebagai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan syubhah dimaksudkan sebagai kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram. 

Itulah antara perkara yang perlu difahami oleh masyarakat pada hari ini.

Abu Hamid Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya  Ihya’ Ulum ad-Din  mentakrifkan syubhah sebagai perkara yang samar-samar disebabkan berlakunya pertembungan antara dua pegangan yang timbul daripada dua bukti atau sebab. 

Justeru, antara sebab yang menjadikan sesuatu perkara itu dikategorikan sebagai syubhah apabila wujudnya pertembungan pandangan berdasarkan pembuktian tersendiri. 

Hal itu antara yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam  Fath al-Bari  tentang punca syubhah. 

Kebiasaannya syubhah membabitkan perkara yang isunya baru timbul pada masa kini.

Orang awam memahami syubhah apabila membabitkan makanan dan minuman. Sememangnya makanan yang halal dalam Islam adalah jelas, begitu juga sebaliknya. 

Firman Allah SWT bermaksud:  “Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang melampaui batas.”  (Surah al-An’am, ayat 119)

Bagi kita yang berada di bumi bertuah Malaysia, perkara halal dan haram membabitkan makanan dan minuman diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa agama. 

Logo halal yang diletakkan pada pembungkus makanan atau minuman amat membantu umat Islam untuk memastikan status halal sesuatu produk makanan. 

Namun, perkara syubhah juga boleh berlaku dalam kelolaan sesuatu makanan. 

Contohnya, apabila daging yang disembelih oleh orang Islam dan bukan Islam bercampur, maka daging yang bercampur itu termasuk dalam perkara syubhah kerana terdapat keraguan.

Selain makanan dan minuman, perkara syubhah juga boleh berlaku membabitkan pekerjaan tertentu. 

Seseorang yang bekerja sebagai juruelektrik boleh terjebak dalam perkara syubhah apabila tugasnya ada pergi ke tempat maksiat yang sememangnya dikenal pasti. 

Sekiranya perkara seperti itu dapat dielakkan, ia amat perlu diberi keutamaan kerana rezeki yang diterima nanti dibimbangi termasuk dalam kategori syubhah.

Firman Allah SWT bermaksud:  “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”  (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Islam menggesa umatnya meninggalkan perkara syubhah dalam kehidupan. Meskipun perkara syubhah tidak termasuk dalam perkara haram, ia boleh menjerumuskan seseorang kepada perkara yang diharamkan. 

Sebab itu, antara tanda  warak dalam diri seseorang apabila dia meninggalkan perkara syubhah supaya hidup lebih tenang dan diberkati Ilahi.

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 7:06 AM