FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pendapatan diperolehi seseorang penghantar makanan dalam talian disifatkan haram apabila mereka mengetahui status makanan yang dihantar kepada pelanggan adalah tidak halal.

Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang berkata, jika mereka tidak mengetahui status makanan terbabit maka hukum pendapatan diperolehi daripada perkhidmatan itu adalah halal.

Menurutnya, hukum asal jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran adalah haram sekiranya diketahui ia adalah perkara yang haram.

Katanya, dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduk beragama Islam, secara umumnya perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian adalah halal.

"Ini kerana ia termasuk dalam kategori akad 'Wakalah Bil Ujrah' (perwakilan yang dibayar upah) yang mana hukumnya adalah harus berdasarkan syarat-syarat ditetapkan oleh syarak.

"Tetapi, perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah menyatakan penghantaran makanan yang terdapat campuran bahan tidak halal seperti daging atau mana-mana bahagian daripada khinzir.

"Selain menghantar minuman keras atau masakan dari restoran bukan Islam walaupun bahan asas adalah halal seperti ayam, tetapi sekiranya cara sembelihannya tidak patuh syarak tetap haram," katanya.

Fadzil berkata, jika pesanan bercampur antara makanan halal dengan haram, maka terdapat tiga keadaan yang perlu diambil perhatian.

Katanya, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman yang halal melebihi yang haram, maka pendapatan mereka dianggap halal.

"Kedua, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman yang haram lebih banyak maka adalah lebih baik dielakkan daripada memperoleh pendapatan daripada pekerjaan itu.

"Sekiranya tidak dapat dibezakan di antara kedua-duanya, maka pendapatannya adalah tidak haram. Namun, hukum mengambil pendapatan itu adalah makruh tetapi tidak digalakkan mengambilnya kerana dibimbangi termasuk dalam perkara syubhah," katanya.

Fadzil berkata, bagi mengelak penghantar makanan dikenakan tindakan oleh syarikat perkhidmatan itu jika mereka membatalkan pesanan tidak halal, maka mereka dinasihatkan berhubung dengan pemesan makanan haram berkenaan agar membatalkan pesanannya.

"Ia berdasarkan firman Allah bermaksud "Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang yang lain (bahkan dosa usahanya sahaja. Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya ia amat mengetahui akan (segala isi hati) yang terkandung di dalam dada).

"Berdasarkan dalil itu, dalam konteks transaksi yang melibatkan tujuan atau perkara yang haram dan di luar pengetahuan maka dosa si pelaku perbuatan haram itu adalah ditanggung oleh diri sendiri dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang berurusan dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:46 PM