KITA wajib menjaga alam sekitar daripada sebarang kerosakan dan pada masa sama pencemaran berpunca daripada rokok juga tidak boleh dipandang remeh.
KITA wajib menjaga alam sekitar daripada sebarang kerosakan dan pada masa sama pencemaran berpunca daripada rokok juga tidak boleh dipandang remeh.
Dr Muzaffar Syah Mallow

Isu halal dan haram penting untuk umat Islam. Setiap Muslim yang mengaku beriman dengan ajaran Islam perlu mematuhi segala ketetapan kepada mereka sekiranya ingin mendapat keredaan Allah SWT dan mengecapi kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun, di antara kedua-duanya, terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah) yang ramai orang tidak mengetahuinya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Setiap umat Islam wajib menjauhi dan meninggalkan segala perkara yang jelas status haramnya. Antara yang jelas haram kepada umat Islam seperti arak dan khinzir. Ini adalah kerana status mengenai pengharamannya adalah jelas dinyatakan di dalam kitab suci umat Islam iaitu al-Qur'an.

Pengharaman arak jelas dinyatakan di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." Pengharaman babi juga jelas dinyatakan didalam Surah Al-An'am ayat 145 yang bermaksud: "Katakanlah, tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha penyayang."

Bagaimana pula dengan rokok? Tiada ayat khusus yang merujuk kepada pengunaan rokok ini di dalam kitab suci al-Quran. Walaupun begitu, ia tidak bermakna rokok itu halal digunakan oleh umat Islam. Penting untuk setiap umat Islam ketahui Allah SWT juga melarang umat Islam melakukan sebarang perkara yang merugikan diri mereka sendiri dan menyusahkan orang sekeliling. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan." Allah SWT juga berfirman di dalam Surah al-A'raf ayat 157 yang bermaksud: "Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…" Bertitik tolak daripada dua surah yang dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran ini, satu fatwa tegas terhadap pengharaman rokok dikeluarkan di dalam negara kita lebih 25 tahun lalu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 membincangkan isu mengenai Hukum Merokok Daripada Pandangan Islam dan bersetuju memutuskan dengan jelas bahawa merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan. Pengharaman rokok itu dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling yang menghidu bau asap rokok berkenaan dan sikap merokok itu sendiri yang menjurus kepada proses pembaziran wang, masa, tenaga serta merugikan perokok yang menggunakannya.

Merokok juga membawa kerosakan alam sekitar melalui pencemaran akibat daripada asap rokok yang dihasilkan dan proses pembuangan puntung rokok yang merata-rata di atas jalan. Rokok juga berisiko tinggi untuk mencetuskan kebakaran sekiranya puntung rokok yang digunakan tidak dipadam sepenuhnya dan dicampak dengan sesuka hati di tempat yang mudah terbakar.

Berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan, wanita dan kanak-kanak antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit bahaya kesan pencemaran asap rokok daripada perokok tegar sekitar mereka. Bayi dan kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit yang berbahaya seperti lelah, jangkitan paru-paru dan bagi wanita yang mengandung juga pula boleh melemahkan kandungan mereka. Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh semua umat Islam dalam negara kita.

Umat Islam dalam negara kita perlu menghormati fatwa yang dikeluarkan lebih 25 tahun lalu berkaitan pengharaman menghisap rokok ini. Ini kerana keputusan fatwa yang dibuat berdasarkan prinsip yang ditetapkan dalam agama Islam sendiri berkaitan isu kepentingan untuk menjaga kesihatan, peringatan untuk tidak membazir wang dan amaran untuk tidak menjebakkan diri ke dalam sebarang perkara yang bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri malah kepada diri orang lain. Dalam usaha memperkasakan undang-undang syariah dalam negara kita pada ketika ini, kerajaan boleh juga memberi pertimbangan untuk menjadikan isu merokok dalam kalangan umat Islam ini sebagai satu kesalahan syariah.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:59 AM