MESKIPUN manusia mencapai kemajuan dalam penerokaan angkasa, namun pencapaian itu amat kerdil berbanding kekuasaan Allah.
MESKIPUN manusia mencapai kemajuan dalam penerokaan angkasa, namun pencapaian itu amat kerdil berbanding kekuasaan Allah.
Bersama Amirulhakim Ahmad Nadzri

Alhamdulillah, kita sudah memasuki bulan Rejab bagi 1444H. Rejab adalah salah satu daripada 12 bulan Islam yang mempunyai pelbagai fadilat, ibrah, panduan dan keistimewaan di dalamnya. Antara keistimewaan bulan ini yang menjadi pengetahuan umum dan saban tahun disambut umat Islam adalah Israk dan Mikraj, satu daripada anugerah dan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW. Menurut Ibnu Mas'ud, peristiwa perjalanan ini berlaku pada suatu malam sebelum baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Peristiwa perjalanan agung ini dirakam dalam Surah al-Israk ayat pertama yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Israk dan Mikraj adalah suatu keajaiban dan menjadi bukti keagungan Allah SWT yang tiada tolok banding sepanjang zaman atau sebarang waktu, walaupun manusia memiliki intelektual, pemikiran, teknologi canggih yang berkembang seiring dengan proses pemodenan merentasi zaman. Amat mustahil bagi manusia dapat menandingi kehebatan Allah SWT untuk berlakunya perjalanan sepantas dalam peristiwa ini, sekali gus penerokaan sehingga Sidrah al-Muntaha sebagaimana yang diberikan keistimewaan kepada baginda SAW.

Fenomena ini dinukilkan dalam al-Quran pada Surah an-Najm ayat 13 hingga 18 yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat malaikat (Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi si sisi Sidrah al-Muntaha, yang di sisinya terletak syurga Jannah al-Makwa". (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidrah al-Muntaha itu diliputi makhluk dari alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat(akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya."

Terdapat nilai pengajaran daripada perjalanan agung ini iaitu Israk dan Mikraj menunjukkan sesungguhnya manusia adalah hamba yang kerdil dan tertakluk kepada kekuasaan penciptanya iaitu Allah SWT sebagai pengurus, pengatur dan pentadbir alam ini. Manusia perlu akur dengan ketentuan Allah SWT dengan cara mengabdikan diri kepada Allah dan terus bergantung kepadanya kerana manusia hanyalah makhluk yang dipertanggungjawab untuk meneroka dan mengurus alam sedangkan Allah SWT adalah pencipta dan pemilik alam ini.

Sehubungan itu, apa sahaja yang berlaku pada alam ini dan yang berlaku pada kehidupan manusia tidak boleh dielak daripada memohon kepada Allah SWT kerana Dia sahajalah yang berhak mewujud dan meniadakan. Dia yang akan memberikan sesuatu dan mengambilnya kembali.

Ibrah daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah kita sebagai manusia diberikan amanah oleh Allah SWT untuk mengurus dunia ini dengan dibekalkan akal, kebolehan dan sebagainya. Pemberian ini hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk memastikan dunia ini terus makmur. Namun begitu, kita selaku manusia tidak boleh sama sekali mendabik dada atau sombong dengan meyatakan kita paling hebat sehingga lupa akan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan alam ini yang sebarang teknologi dan pembangunan ciptaan manusia tidak mampu mengatasi kekuasaan Allah SWT. Apa yang kita kecapi tidak boleh lari daripada bantuan dan permohonan kepada Allah SWT.

 

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:02 AM