GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Bersikap benar adalah sifat yang terpuji. Bahkan, menjadi tuntutan utama supaya setiap Muslim mempunyai sifat benar dalam setiap perkara. Al-Fudhail bin 'Iyyadh berkata: "Tiada anggota yang dicintai Allah SWT lebih daripada lidah yang benar. Manakala, tiada anggota yang lebih dibenci Allah SWT lebih daripada lidah yang bohong."

Benar dalam setiap tindak-tanduk dan kerja yang dilakukan adalah acuan utama untuk membina dan memperkasa integriti. Sama ada benar dalam berkata-kata, benar dalam bertindak atau benar dalam mengeluarkan sesuatu produk.

Menjadi isu yang tular akhir-akhir ini ialah kepercayaan dan keyakinan pengguna kepada test-kit kendiri Covid-19. Kesahihan sesuatu ujian mulai diragui apabila ada kit menghasilkan keputusan berbeza daripada kit lain. Malah, berbeza juga dengan keputusan ujian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengeluar produk mestilah memastikan produknya menepati piawaian dan keputusan adalah tepat sebagaimana sepatutnya. Orang ramai meletakkan kepercayaan penuh apabila membeli produk. Malah, perbezaan harga juga diambil kira. Apakah beza produk lebih murah daripada yang lebih tinggi jika keputusannya sama? Bermakna, perlu ada penetapan dan kawalan harga yang ketat untuk kebaikan orang ramai.

Dalam Islam, sifat siddiq (benar) adalah sifat utama Rasulullah SAW. Di samping, sifat amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Sahabat juga mengikuti sifat Baginda Rasulullah SAW hingga berjaya mempertahan dan menyebarkan Islam ke seluruh alam.

Sebagai contoh, Saidina Abu Bakar (RA) digelar al-Siddiq (orang yang sangat membenarkan) selepas peristiwa Israk dan Mikraj. Dalam peristiwa itu, beliau ditanya puak kafir Quraisy berkaitan cerita Nabi SAW yang diperjalankan oleh SWT dari kota Makkah ke Baitul Maqdis, kemudian mikraj ke sidratul muntaha hanya pada satu malam dan balik ke Makkah sebelum Subuh. Saidina Abu Bakar tetap membenarkan semua cerita Nabi SAW walaupun orang lain tidak mempercayainya.

Inilah sifat Muslim sejati. Sentiasa tetap dengan kebenaran walaupun majoriti tidak nenerima, bahkan orang kafir terus mencerca dan menghina Rasulullah SAW lantaran peristiwa Israk dan Mikraj adalah di luar batasan akal. Ia adalah mukjizat Nabi. Seterusnya, bukti kerasulan baginda sehingga tidak boleh dinafikan lagi.

Peristiwa Israk dan Mikraj diabadikan al-Quran sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk, ayat 2)

Manakala, peristiwa Mikraj secara khusus berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan yang dilihatnya. Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang dilihatnya itu? Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupa yang asal) sekali lagi, di sisi Sidratul-Muntaha; Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul Makwa. (Surah al-Najm, ayat 11-15)

Peristiwa besar Israk dan Mikraj ini adalah ujian besar umat Islam sama ada terus istiqamah bersama Nabi SAW atau sebaliknya. Ia juga dianggap proses pemutihan untuk menapis siapa beriman dan teguh membenarkan risalah yang dibawa Baginda. Pendirian yang sangat penting untuk menyuntik semangat Nabi SAW untuk terus berdakwah menyebarkan Islam.

Hari ini, kita sering mendengar berita berkaitan ketirisan dalam pentadbiran kewangan, penyalahgunaan kuasa, rasuah berleluasa dan pelbagai kemelut integriti. Semua ini berpunca daripada kerapuhan sifat benar dalam diri. Jika sifat benar itu bertunjang teguh dalam diri dan sentiasa membenarkan apa sahaja yang berlandaskan ajaran agama pastinya karenah seperti di atas tidak berlaku. Tanpa keyakinan teguh, kita tidak berupaya mempertahankan kebenaran.

Dalam pentadbiran, semua kakitangan sama ada kerajaan atau swasta mestilah benar dalam menjalankan tugas seharian. Sekiranya semua staf bersikap benar seperti kehadiran menepati masa, tanpa ada curi tulang dan tidak mengabaikan tugas semasa waktu bekerja pastinya produktiviti dapat ditingkatkan. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai juga dapat dikembalikan terutamanya dalam sektor kerajaan dan pentadbiran awam.

Adapun dalam perkara yang berkaitan kewangan, setiap ringgit akan selamat jika orang yang diberi tugas mengawal kewangan dengan jujur dan benar dalam tugas. Sudah pasti tidak akan ada yang menggelapkan duit kerajaan atau syarikat jika semua benar dalam mengira dan mengaudit setiap sen duit yang terlibat dalam transaksi. Setiap orang mesti mengingati pesanan Rasulullah SAW bahawa mereka bertanggungjawab di atas setiap perlakuan mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepemimpinan, ketua adalah pemimpin, lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala, dalam menggunakan kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan tugas dengan penuh amanah dan integriti. Jika seseorang itu benar dalam melaksanakan tugasannya, maka pasti sifat amanah dan jujurnya akan dapat menjamin bahawa segalanya ditunaikan dengan benar. Apabila berlaku hal demikian semua jabatan atau organisasi akan selamat daripada bencana seperti rasuah.

Rasuah adalah dosa besar. Sehinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda: "Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka." (Riwayat Al-Bazzar)

Oleh itu, sangat penting untuk memperkasa sifat benar dalam diri. Jika sifat ini disuburkan pasti kemelut yang melanda dapat diselesaikan dan seterusnya integriti dapat diperkasakan.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:59 AM