TENGKU Mahkota Tengku Hassanal. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia
TENGKU Mahkota Tengku Hassanal. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum di sini terharu dengan perhatian diberikan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan kegiatan perlombongan di kawasan Tasik Chini di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham berkata, campur tangan Tuanku menyelamatkan flora dan fauna serta ekosistem di persekitaran Tasik Chini yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa suatu ketika dahulu.

Menurutnya, penduduk kampung itu begitu berharap aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini tidak lagi berlaku, cukuplah apa yang berlaku sebelum ini hingga menyebabkan kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem.

"Penduduk kampung ini seramai 730 orang yakin dengan campur tangan Tuanku aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini tidak terus berlaku hingga mengundang kemusnahan alam semulajadi di situ.

"Yang lepas biarlah lepas, apa yang penting ia tidak terus berulang buat kali kedua," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, keprihatinan Tuanku yang datang ke Tasik Chini dan kampung itu baru-baru ini untuk melihat sendiri kesan aktiviti melombong yang berlaku sambil bertemu penduduk amat hargai.

Nashita Dewi berkata, beliau mewakili penduduk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas titah Tuanku berkaitan isu perlombongan, isu kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem yang ada di persekitaran Tasik Chini.

NASHITA Dewi. FOTO Mohd Rafi Mamat
NASHITA Dewi. FOTO Mohd Rafi Mamat

Tambahnya lagi, komitmen kerajaan negeri dan pihak berkaitan isu Tasik Chini untuk menerima saranan daripada Tuanku memberi kelegaan kepada penduduk.

"Kami penduduk Orang Asli menaruh harapan dan kepercayaan tinggi kepada kerajaan negeri untuk terus membantu permasalahan dalam kampung Orang Asli sekitar Tasik Chini terutama dalam menambah baik sumber ekonomi penduduk.

"Turut perlu diberi perhatian berkaitan infrastruktur dalam kampung serta menghidupkan kembali keindahan Tasik Chini yang sepatutnya menjadi tarikan pelancong dan lagenda Tasik Chini akan kembali terkenal di persada dunia.

"Penduduk merayu supaya tiada lagi aktiviti pelombongan diadakan bagi memastikan Tasik Chini dapat dinikmati keindahannya sehingga anak cucu kami," katanya.

Tengku Hassanal Ibrahim sebelum ini menyarankan supaya aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan.

Baginda juga bersetuju dengan keputusan kerajaan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan kelulusan permohonan lesen baharu sejak 2019.

Baginda berharap kawasan bekas lombong dipulihkan semua dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian. Selain itu, kawasan Hutan Simpan Chini sedia ada seluas 4,600 hektar perlu diluaskan kepada antara 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitarnya.

Sebelum ini isu aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak kerana ia mengundang kesan buruk pada alam sekitar seterusnya persekitaran tasik semulajadi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:41 PM