TIDUR yang lena membantu tumbesaran anak-anak.
TIDUR yang lena membantu tumbesaran anak-anak.
Suliati Asri


SEHARIAN berada di taska mahupun pusat jagaan membuatkan anak-anak mahu menghabiskan banyak masa bermain pada sebelah malam.

Perkara itu secara tidak langsung membuatkan anak-anak tidak mahu dan sukar untuk menyuruh mereka tidur awal.

Antara alasannya mereka adalah 'nak main lagi.'

Keadaan ini pastinya membuatkan ibu bapa berada dalam dilema terutama jika si ibu juga bekerja.

Dalam mendidik tabiat tidur awal, ia memerlukan banyak proses 'try and error' sebelum anak betul-betul dapat membiasakan diri dengan rutin tidur awal setiap hari.

Namun, jika ia dilakukan secara berterusan dan anak sudah biasa tidur awal, mereka sendiri yang masuk bilik apabila sampai waktu tidur.

Buat rutin waktu tidur yang konsisten

Rutin adalah penting terutama untuk bayi, kanak-kanak dan kanak-kanak prasekolah.

Oleh itu, dalam membantu anak-anak tidur awal, selepas makan malam ibu bapa boleh melakukan beberapa perkara seperti bermain aktiviti ringan, mandi, menggosok gigi, cerita sebelum tidur dan kemudian tidur.

Fokus untuk rutin yang menenangkan dan santai, menetapkan suasana waktu tidur yang ideal.

Apabila ia dilakukan secara konsisten, lama-kelamaan anak-anak mengantuk secara automatik apabila waktu tidur tiba.

Matikan skrin sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur

Melatonin adalah bahagian penting kitaran tidur-bangun. Apabila tahap melatonin berada pada tahap tertinggi, kebanyakan orang mengantuk dan bersedia untuk tidur.

Cahaya biru dari skrin televisyen, telefon atau monitor komputer boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin.

Oleh itu, jadikan bilik tidur sebagai zon bebas skrin atau sekurang-kurangnya pastikan semua skrin gelap pada waktu tidur.

Pastikan juga telefon dalam keadaan senyap apabila anda berada dalam bilik anak atau jangan bawa sama sekali.

Kurangkan main

Elakkan anak bermain atau melakukan aktiviti yang aktif sebelum tidur.

Jika mereka terlampau bermain, mereka bertenaga dan segar seterusnya menjadi sebab anak tidur malam.

Selain itu, apabila mereka sudah seronok bermain, mereka lupa untuk masuk tidur.

Wujudkan suasana tenang di rumah pada sebelah malam

Apabila dekat dengan waktu tidur anak, jadikan suasana rumah lebih tenang.

Anda mungkin boleh memalapkan lampu di ruang tamu dan memasang lagu yang menenangkan.

Hentikan penggunaan gajet apabila waktu tidur sudah hampir

Gajet juga boleh menjadi salah satu punca kenapa anak sukar untuk tidur malam.

Ini kerana, apabila mereka sudah mula bermain dengan gajet ia buatkan anak ketagih. Sehingga ada yang bermain sehingga pagi.

Gajet juga boleh membuatkan mereka leka terutama apabila telefon mereka mempunyai permainan video yang menarik dan boleh melayari media sosial tanpa had.

Oleh itu, apabila anak masuk tidur, pastikan mereka tidak menggunakan atau bermain dengan gajet.

Tempat tidur yang selesa

Selain katil yang selesa dan cadar yang lembut, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur juga membantu untuk mereka tidur awal.

Andai bilik bersepah, bukan saja anak-anak, kita ibu bapa pun 'tak nak tidur.'

Penggunaan warna gelap dalam bilik dan senyap boleh membantu anak membezakan antara siang dan malam, menjadikannya lebih mudah untuk tidur.

Luangkan masa bersama anak ketika mahu tidur

Membaca buku cerita, al-Quran dan selawat. Mungkin ia kedengaran sudah lapuk, tetapi hakikatnya sesi ini membantu anak untuk tidur awal.

Namun, biar cerita itu bersesuaian dan cara pembacaan juga menarik supaya anak-anak tertarik untuk mendengarnya.

Membaca kepada anak anda pada waktu petang untuk membolehkan otak mereka berehat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 6:55 AM