MEMBERONTAK adalah antara sikap kanak-kanak yang perlu difahami ibu bapa. FOTO Sumber Google
MEMBERONTAK adalah antara sikap kanak-kanak yang perlu difahami ibu bapa. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

KADANG-KALA rasa macam mahu roboh rumah apabila berdepan dengan situasi si kecil yang tidak mahu mendengar kata akibatnya si ibu atau bapa tergugat, mulalah bertempik!

'Budak mana yang tidak pernah nakal' antara ungkapan biasa kita dengar. Ada juga yang berpendapat, jika nakal ketika kecil, kelak dewasa mereka akan lebih menjadi 'manusia.'

Menjelaskan mengenai anak nakal, Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, nakal adalah perkataan yang berkaitan rapat dengan perbuatan, bukan karektor atau sifat seseorang anak.

Jelasnya, adalah salah jika kita melabel anak dengan perkataan nakal kerana anak yang mungkin kurang faham, akan merasakan itu sinonim dengan proses pembentukan karektor mereka.

"Kita mudah terlupa anak-anak sedang melalui proses perkembangan otak, terutamanya waktu paling kritikal iaitu usia enam tahun pertama. Ramai tidak tahu, perkara ini berlanjutan sehingga lebih kurang umur 25 tahun.

"Dalam proses ini, mereka perlu meneroka pelbagai perkara termasuk penerokaan emosi. Jika anak tantrum atau tidak mendengar kata, ingatlah bahawa kemungkinan besar, bahagian kawal diri belum lagi terbentuk dengan baik," katanya.

KANAK-KANAK juga boleh mengalami tekanan jika sentiasa menjadi mangsa marah ibu bapa. FOTO Sumber Google
KANAK-KANAK juga boleh mengalami tekanan jika sentiasa menjadi mangsa marah ibu bapa. FOTO Sumber Google

Pakar itu menjelaskan, terdapat beberapa faktor apabila anak berkelakuan di luar jangka antaranya kesan kepada keperluan fizikal anak seperti lapar, dahaga, tidak cukup tidur atau tidak sihat.

"Jika orang dewasa tidak merasa selesa dengan perkara ini, anak kecil akan merasa dua kali ganda tidak selesa.

Jadi, bukan sesuatu yang memeranjatkan anak anda meragam tidak kena gaya atau aktif (terlebih gula) tidak kena tempat.

"Selain itu, terlebih stimulasi yang perlunya keseimbangan. Tambahan, keperluan anak untuk berdikari iaitu berlawanan dengan pandangan ibu bapa yang merasakan anak belum mampu, maka mungkin membuatkan mereka gelisah. Tetapi ini sangat diperlukan pada umur lebih kurang dua hingga empat tahun," katanya.

Jelasnya, keyakinan yang diberikan kepada si kecil pada waktu ini akan membantu sifat autonomi mereka kelak. Benarkan mereka melakukan kesilapan dari awal.

"Bagi mengendalikan situasi anak-anak yang bertindak luar jangka atau digelar nakal ini, ibu bapa perlu set limitasi (Pastikan ada limitasi terhadap perkara-perkara yang memerlukan).

KANAK-KANAK mempunyai jiwa yang sensitif dan perlu difahami ibu bapa. FOTO Sumber Google
KANAK-KANAK mempunyai jiwa yang sensitif dan perlu difahami ibu bapa. FOTO Sumber Google

"Ibu bapa perlu konsisten, berikan kepercayaan kepada anak dan benarkan mereka berdikari, tetapi pastinya di bawah pengawasan bagi mereka berusia bawah enam tahun untuk membina autonomi dalam diri," katanya.

Tambahnya, elakkan mengawal setiap perkara sehingga anak terlalu bergantung kepada ibu bapa kerana ia sesuatu yang tidak sihat.

"Jelaskan pada anak mengenai sebab dan akibat setiap tindakan. Ibu bapa juga perlu cekal hati ketika berhadapan dengan tantrum anak. Jangan mudah menyerah kalah.

"Berikan perhatian yang diperlukan, elakkan menjerit kepada anak, jangan melepaskan kemarahan kepada si kecil dan setkan rutin konsisten, antara yang boleh dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:30 AM