SETIAP kanak-kanak unik. - FOTO Google
SETIAP kanak-kanak unik. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


AMALAN membandingkan kanak-kanak perlu dielakkan kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri.

Seperti mana orang dewasa yang tidak suka untuk dibanding-bandingkan terutama di tempat kerja, begitu juga kanak-kanak.

Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Hazhari Ismail berkata, setiap kanak-kanak itu unik dan berbeza.

"Anak sulung dan anak kedua sudah tentunya mempunyai perbezaan yang nyata. Begitu juga antara anak jiran, saudara-mara atau sahabat di mana perbandingan itu tidak mempunyai kepentingan terhadap perkembangan anak anda.

"Tidak semestinya jika kita memberikan input yang terlalu banyak kepada kanak-kanak, mereka akan jadi cepat pandai dan lebih bijak. Ini adalah sesuatu yang tidak adil kerana setiap anak-anak ada limitasi mereka sendiri," katanya.

SENTIASA luangkan masa bersama anak. - FOTO Google
SENTIASA luangkan masa bersama anak. - FOTO Google

Menurutnya, perkembangan yang tidak dijaga dapat dilihat melalui tiga cara sama ada terlalu berlebihan atau kurang.

"Pertama, jika berlebihan ia memberi implikasi seperti 'sensory overload' kepada kanak-kanak. Sekali gus memberi kesan terhadap keseluruhan perkembangan mereka termasuk emosi tidak stabil, tidak mahu bersosial, hilang keyakinan diri dan sebagainya.

"Kedua, jika terlalu kurang ia akan membawa kepada perkembangan yang terencat. Mereka tidak boleh menunjukkan perkembangan mengikut umur mereka, sedikit terlewat dan semestinya memberi kesan kepada perkembangan yang seterusnya.

"Ketiga pula, dalam persekitaran yang negatif kanak-kanak berkembang secara negatif. Jika ibu bapa selalu marah, maka sifat kanak-kanak yang mudah meniru akan menyebabkan mereka mengikut tingkah laku ibu bapa mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab membesarkan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua, daripada ibu bapa, jiran tetangga, media massa, sekolah dan pembuat dasar.

"Setiap keputusan yang kita ambil bakal memberikan kesan langsung dan tidak langsung terhadap perkembangan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:31 AM