BOLEH melukis pada apa juga material.
BOLEH melukis pada apa juga material.
Lizam Ridzuan


BAKAT seni mengalir dalam diri diwarisi daripada bapanya yang juga seorang pelukis batik.

Ainin Sofiya Misbullah, 24, pelukis seni 'kustom' mula melukis sejak kecil dan tanpa disedari mempunyai bakat besar dalam bidang itu.

Meskipun tiada pendidikan formal dalam bidang seni namun disebabkan sering melihat bapanya mencanting batik dan melakukan proses penyediaannya dahulu maka dengan sendiri minat melukis itu timbul.

"Saya pada awalnya melukis atas kertas dan material lain kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan melihat seni 'kustom' ini lebih sesuai dengan jiwa. Apatah lagi saya juga meminati dunia motosikal," katanya yang memiliki sebuah Harley-Davidson Sportster.

Mula aktif melukis secara serius pada 2020 kerana melihat seni ini hanya dilakukan kebanyakan kaum lelaki dan golongan 'otai.' Buat masa ini, dikatakan dia antara wanita terawal terbabit dalam bidang itu.

Minatnya terbabit secara serius selepas menyertai acara permotoran tempatan dengan kehadiran pelukis seni kustom yang terkenal dari luar negara memperlihatkan karya masing-masing dan dari situ ia menjadi titik permulaan untuknya menceburi dalam bidang ini.

"Selepas timbul minat itu saya sering bertemu pengkarya tempatan dan mereka berkongsi pengalaman masing-masing berkenaan cara dan teknik lukisan selain ia ilmu bernilai menjadikan saya seperti pada hari ini," katanya.

Selepas memiliki motosikal pertama iaitu Honda CG125 yang dalam keadaan 'sadai' semua baik pulih dan kerja restorasi dilakukannya sendiri kecuali enjin dan ramai penggiat seni kustom mula dikenalinya bagi tujuan itu.

Sofiya yang meminati kerja-kerja seni dan modifikasi motosikal dan kereta itu secara kebetulan dalam laluan tepat kerana ramai pemilik motosikal klasik serta vintaj gemar melakukan pengubahsuaian termasuk melukis pada kenderaan.

Hasil kerja Sofiya mula dikenali selepas menghasilkan 'plaque' penghargaan dan lukisan tangan ke atas motosikal 'chopper' untuk menyertai acara 4th Annual Bangkok Hot Rod Custom Show 2022.

Sejak itu dia mula menerima tempahan seperti lukisan pada kasut, jaket kulit dan topi keledar buat pemilik yang mahu tampilkan kelainan.

"Pelanggan paling jauh datang dari Hatyai, Thailand yang mahu saya lukiskan nama kedai dan haiwan jerung pada Vespanya," katanya.

Sofiya juga kini giat mengumpulkan peminat seni kustom ini dan sudi menurunkan ilmu kepada sesiapa saja yang berminat dan kebanyakan hasil kerjanya dipromosikan di laman sosial Instagram yang turut dijadikan platform interaksi mengembangkan komuniti.

Seiring perkembangan teknologi, Sofiya banyak menghasilkan karyanya di peranti iPad sebelum direalisasikan di atas material mengikut permintaan pelanggan.

Baginya, dia perlu memahami apa keperluan pelanggan, selain memberi pandangan mengenai kesesuaian rekaan bergantung kepada objek yang dipilih.

Cabaran utama sudah pasti masa kerana setiap pelanggan mahukan setiap barangan dilukis siap dengan pantas dan dia perlu mengatur kerja dengan baik.

"Secara purata seperti tangki motosikal saya perlu ambil masa sekitar lima ke tujuh jam sehari untuk menyiapkannya bergantung kepada jenis produk dan jumlah permintaan ketika itu. Bagi keseluruhan motosikal termasuk pada bahagian fender ia memakan masa sekitar satu hingga tujuh hari," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Sofiya menegaskan kualiti dan kemasan perkara utama dalam penghasilan setiap lukisan, selain tidak terburu-buru dengan mengambil terlalu banyak tempahan kerana ia akan menjejaskan perincian dalam karyanya.

Cat digunakan juga daripada jenis enamel paint yang diimport dari Indonesia dan setiap satu botol warna bernilai RM30.

Oleh kerana ketelitian dan hasil seninya yang menarik Sofiya sudah mula dijemput menghadiri acara permotoran kustom antarabangsa dan untuk tahun ini menerusi Wicked Wallop di Singapura (Januari) dan bakal ke Bangkok Hot Rod Custom Show 2024 pada Mei hadapan.

Di setiap acara dia akan membuka reruai dengan nama Sofiya Hand Painted dan ketika di Singapura baru-baru ini dia berjaya memperoleh leb

ih RM2,000 untuk tempahan kerja lukisan dalam acara selama beberapa jam itu.

Tambahnya, jika tersilap dalam kerja melukis yang dilakukan dengan tangan dan bukan menerusi bantuan mesin maka proses itu perlu dilakukan semula dengan meletakkan warna asal selain ia memberikan kesan pada masa dan kos.

"Setiap kali saya sertai acara permotoran, penganjur minta untuk melakukan lakaran secara langsung di hadapan pengunjung dan ia bukan sahaja menawarkan pengalaman, tetapi kemahiran berbeza," katanya.

Bergantung kepada jenis produk untuk melukis, pada kasut Sofiya menetapkan harga bermula RM150, 'cap' topi keledar (RM60), tangki dan fender motosikal (sekitar RM1000).

Kebanyakan pelanggan gemar memilih corak 'pinstripe' dan api namun ada juga mahukan corak berbeza dengan elemen haiwan serta apa juga permintaan akan diusahakannya.

Sofiya juga menyimpan impian menyambung pengajian pada masa hadapan dalam bidang seni halus dan kini sedang merencanakan perjalanan kariernya yang sedang meningkat naik.

Perancangan lainnya mahu menghasilkan produk sendiri daripada barangan kulit seperti beg duit dan jaket yang boleh dilukis pada permukaannya untuk individu yang mahu tampil kelainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 7:01 AM