PENTING untuk memastikan terdapat komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak. - FOTO Pexels
PENTING untuk memastikan terdapat komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak. - FOTO Pexels
Muhamaad Razis Ismail


Keibubapaan merangkumi semua aspek dalam hidup seorang kanak-kanak termasuk usaha memenuhi keperluan fizikal, emosi dan intelektual mereka.

Oleh itu, untuk menjadi ibu atau bapa yang baik memerlukan kesabaran, kefahaman dan kemahiran untuk memberi keselamatan dan keamanan, selain memenuhi keperluan asas mereka.

Selain itu, memahami pentingnya pendidikan awal kanak-kanak juga perlu merangkumi aktiviti dan pengalaman yang memberi kesan positif pada perkembangan sosial, emosi, intelektual dan fizikal untuk kelangsungan hidup dan perkembangan mereka.

Dalam proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, kepentingan bagi ibu bapa dan orang dewasa adalah untuk memastikan keseimbangan dalam proses mendidik anak-anak, tanpa memaksa proses perkembangan mereka. Antaranya melalui:

1. Pengertian proses pertumbuhan dan perkembangan anak

Anak-anak perlu melalui proses perkembangan sewajarnya. Memahami tahap perkembangan fizikal dan emosi anak adalah penting.

2.Kesediaan anak

Setiap anak ada tahap kesediaan yang berbeza dalam menerima tanggungjawab dan melakukan sesuatu sesuai dengan tahap usia dan perkembangan mereka. Memahami tahap kesediaan mereka untuk mengambil tanggungjawab boleh membantu dalam proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

SETIAP anak mempunyai tahap kesediaan yang berbeza dalam menerima tanggungjawab. - FOTO Pexels
SETIAP anak mempunyai tahap kesediaan yang berbeza dalam menerima tanggungjawab. - FOTO Pexels

3. Komunikasi terbuka

Penting untuk memastikan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak. Mereka perlu tahu mereka boleh bercakap mengenai kebimbangan dan keperluan tanpa takut dihakimi. Ruang ini memberi hak kepada kanak-kanak untuk menyatakan apa yang mereka rasa dan lalui.

4. Aktiviti bebas

Aktiviti bebas adalah penting dalam perkembangan anak. Mereka memerlukan masa bermain dan bersosial dengan rakan sebaya mereka. Ini membantu mereka membina kemahiran sosial dan ia fitrah kanak-kanak yang akan sentiasa meneroka serta menemui sesuatu yang baru sepanjang proses ini.

5. Keseimbangan

Mendidik anak adalah dalam mencari keseimbangan yang tepat antara mendewasakan mereka dan memberi mereka kebebasan untuk meneroka. Ibu bapa perlu mengambil kira keperluan individu anak dan memberikan ruang serta peluang yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:49 AM