ANAK akan memberi petanda kesediaan mereka untuk menjalani latihan ke tandas seperti membuka lampin pakai buang sendiri.
ANAK akan memberi petanda kesediaan mereka untuk menjalani latihan ke tandas seperti membuka lampin pakai buang sendiri.
Nurul Husna Mahmud


SATU fasa penting dalam proses perkembangan anak-anak adalah latihan ke tandas atau 'toilet training' yang mana sewajarnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membantu anak melalui pengalaman itu.

Kedengaran satu tugasan yang mudah, namun ramai ibu bapa terutama yang bekerjaya melihatnya sebagai proses dan lebih selesa diperkenalkan atau dikendalikan pengasuh atau pihak taska.

Alasan kebanyakan ibu bapa 'mengelak' daripada mengajar kanak-kanak itu sendiri kerana tidak punya masa mencukupi selain tertekan dengan ragam anak mungkin 'melepas' (kencing atau membuang air besar) merata-rata.

Sedangkan dalam proses latihan ke tandas ini perlu dikendalikan ibu bapa itu sendiri. Ia satu fasa cukup penting kerana mereka boleh melihat sendiri perkembangan anak yang mana kemampuan untuk berdikari dengan mengurus kebersihan diri sendiri.

Menurut Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad, melatih anak ke tandas adalah skil atau fasa penting kerana ia membabitkan kebersihan dan kesejahteraan diri anak itu sendiri.

"Ibu bapa perlu tahu kepentingan latihan ke tandas bukan sahaja satu rutin yang mana anak boleh menyelesaikan urusan 'peribadi' iaitu membuang air kecil dan besar, ia juga berkait dengan keperluan lain seperti perkembangan sosioemosi serta mental yang akan mempengaruhi perkembangan seterusnya.

"Selain ibu bapa tidak boleh memperlekehkan aspek ini dan sebaliknya turut sama mengambil inisiatif untuk menyokong anak dapat menyelesaikan tugasan itu dengan jayanya.

"Bagi pengasuh atau taska, ia tugas yang wajib dipenuhi kerana membabitkan satu proses penting dalam perkembangan kanak-kanak. Sebenarnya pelaksanaan untuk memperkenalkan aktiviti itu di persekitaran taska jauh lebih mudah kerana mereka ada rakan sebaya.

"Dengan melihat rakan mereka dapat menguasai skil atau rutin itu dengan baik, anak itu sendiri turut terpengaruh dan mencontohi apa yang dilakukan rakan sebaya atau lebih dewasa," katanya.

Dalam persekitaran taska, pengasuh sudah sedia maklum peringkat usia tertentu iaitu kebiasaannya pada usia dua tahun anak mula menunjukkan kesediaan mereka untuk tidak mengenakan lampin pakai buang.

"Bagi latihan ke tandas, biasanya kami iaitu pengasuh di taska akan melihat 'isyarat' diberikan kanak-kanak mengenai kesediaan mereka untuk menjalani latihan berkenaan.

"Antara paling ketara ialah anak-anak yang mengenakan lampin pakai buang akan membuka atau menanggalkan lampin mereka. Mereka sendiri melucutkan lampin apabila sudah penuh atau tidak selesa.

"Ini memberi petanda, mereka boleh dilatih untuk ke tandas. Proses itu lebih cepat bagi kanak-kanak yang mengenakan lampin pakai buang jenis pelekat berbanding lampin pakai buang sarung.

"Saya lebih suka kalau ibu bapa menggunakan lampin pakai buang jenis pelekat berbanding sarung kerana ini mempercepatkan lagi proses kesediaan mereka untuk menjalani latihan ke tandas.

"Percaya atau tidak kami pernah melatih seawal usia setahun lebih untuk pergi ke tandas dan ternyata anak itu lebih awal dipisahkan dengan lampin pakai buang," katanya.

Tambah Anisa lagi, proses itu bergantung kepada tahap anak itu sendiri selain disokong dengan inisiatif ibu bapa yang konsisten meneruskan latihan ke tandas itu di rumah.

"Ia membuatkan tanggungjawab itu lebih ketara dilakukan di taska kerana rutin kanak-kanak lebih lama di pusat asuhan berbanding di rumah iaitu lima hari di taska, dua hari di rumah mereka.

"Memang sewajarnya taska terutama pengasuh memikul tanggungjawab itu membantu kanak-kanak menjalani latihan itu terlebih dahulu.

"Kebiasaannya apa pengasuh lakukan ialah pada peringkat awal atau di awal percubaan, lampin pakai buang akan dibuka ketika mereka tidur.

"Sebelum tidur atau selepas makan, biasanya ada waktu membersihkan diri yang mana anak-anak dibersihkan atau ditukar lampin. Kesempatan ini, kanak-kanak terutama usia dua tahun dilatih tidak memakai lampin pakai buang.

"Latihan itu dilakukan sehingga lima hari dan jika pemerhatian mendapati kanak-kanak berkenaan berjaya membiasakan diri iaitu tidak kencing di tempat tidur, masa untuk tidak mengenakan lampin itu dipanjangkan.

"Pengasuh juga akan memantau keadaan anak itu termasuk isyarat jika anak itu ingin ke tandas selain berkali-kali bertanya jika anak itu ingin ke tandas. Dalam tempoh ini juga pengasuh akan mengingatkan atau mengajar anak untuk memaklumkan kepada mereka jika ingin ke tandas," katanya.

Lebih cepat anak menguasai kemahiran itu apabila ibu bapa turut serta dalam fasa latihan berkenaan di rumah.

"Pada ibu bapa biasanya pengasuh akan maklumkan latihan ke tandas itu dilakukan terhadap anak mereka. Peranan ibu bapa sewajarnya meneruskan latihan itu di rumah.

"Memang cabaran tidak ramai ibu bapa sanggup terutama jika mereka bawa anak bersiar-siar hujung minggu.

"Mereka berasa untuk bawa anak ke tandas di pusat beli-belah, di perhentian atau stesen minyak sebagai suatu perkara yang merumitkan.

"Namun, ibu bapa perlu sedar manfaat jika anak mereka tidak perlu mengenakan lampin pakai buang kerana banyak kebaikannya termasuk penjimatan kerana tidak perlu membeli keperluan berkenaan.

"Selain momen penting iaitu hubungan ibu bapa dan anak bertambah erat apabila mereka sendiri merasai pengalaman membantu anak menjalani latihan itu," katanya.

Kebaikan lain daripada latihan ke tandas juga penting dalam didikan seksualiti anak-anak kerana dalam proses mengajar itu ada ditekankan kepentingan menjaga organ peribadi masing-masing.

"Tidak dinafikan proses latihan ke tandas juga mempunyai kebaikan lain yang tidak kurang pentingnya. Ia termasuk dalam proses pembentukan pendidikan mengenai seksualiti anak-anak.

"Ibu bapa boleh gunakan latihan ke tandas salah satu platform penting dapat membantu anak-anak mengenali diri mereka terutama seksualiti dan peranan jantina.

"Ia dapat mengekang permasalahan seperti isu penderaan atau gangguan seksual selain mengelakkan permasalah kekeliruan gender pada peringkat perkembangan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 7:00 AM