BAIK suami mahupun isteri masing-masing mempunyai peranan sendiri bagi mewujudkan keharmonian dan kasih sayang yang berterusan. - FOTO Pexels
BAIK suami mahupun isteri masing-masing mempunyai peranan sendiri bagi mewujudkan keharmonian dan kasih sayang yang berterusan. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan dan Allah SWT mencipta manusia berpasang-pasangan kerana saling memerlukan antara satu sama lain.

Namun, dalam membina rumah tangga bahagia, baik suami mahupun isteri masing-masing mempunyai peranan sendiri bagi mewujudkan keharmonian dan kasih sayang yang berterusan.

Terdapat beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk membina rumah tangga yang lebih bahagia. Salah satunya, baik suami mahupun isteri perlu meletakkan agama melebihi segalanya.

Setiap pasangan yang beragama Islam misalnya perlu menjadikan akhirat sebagai matlamat, bukan kerana rupa atau harta semata-mata.

Pasangan yang kukuh pegangan agama biasanya tidak berdepan masalah dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan lebih sempurna.

Terimalah pasangan dan jangan memaksa pasangan untuk berubah atau mengikuti cara kita.

Tiada orang yang sempurna dalam dunia ini, begitu juga pasangan anda.

Untuk itu, terimalah dia seadanya dan hargai pasangan serta belajar menerima kekurangan yang ada.

Selain itu, pasangan suami isteri juga perlu sentiasa bertolak-ansur, saling memahami dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri masing-masing.

Dari aspek komunikasi, jangan bertelingkah, terutamanya di hadapan anak-anak, walaupun mereka masih bayi dan belum memahami.

KEKERASAN di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku. - FOTO Pexels
KEKERASAN di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku. - FOTO Pexels

Segala permasalahan dan ketidakpuasan hati haruslah diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati dengan segera.

Elakkan masalah yang ada berlarutan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang penyelesaian, kerana memilih berdiam diri dengan menyimpan segalanya di dalam hati adalah ibarat menyimpan satu 'bom jangka' yang menunggu masa untuk memusnahkan rumah tangga.

Komunikasi juga perlu dengan bahasa yang tidak mengguris hati atau menjatuhkan air muka pasangan.

Kekerasan di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku sebaliknya perlu dielakkan.

Sementara itu, jangan terlalu sibuk mengejar dunia hingga mengabaikan pasangan dan anak-anak.

Untuk itu, peruntukan masa berkualiti bersama sama ada melalui solat berjemaah, masak atau makan bersama dan perkongsian waktu santai bersama-sama.

Apapun, sematkan di dalam hati bahawa setiap ujian yang ada adalah tanda aras kasih sayang dalam keluarga.

PERUNTUKAN masa berkualiti bersama sama. - FOTO Pexels
PERUNTUKAN masa berkualiti bersama sama. - FOTO Pexels

Ia mengukur sejauh mana kemampuan pasangan mempertahankan kasih sayang, juga rasional dalam menghadapi segala cabaran bersama.

Ini kerana ada pasangan, apabila diuji, kasih sayang mereka semakin kuat dengan bersama-sama susah dan senang mengharungi onak dan duri berumah tangga.

Sekuat mana pun dugaan yang dilalui, banyakkan berdoa dan bersyukur dengan anugerah jodoh serta ikatan perkahwinan yang ditentukan Ilahi.

Janganlah resah kerana di sebalik ujian yang ada, ada insan yang sentiasa berdoa untuk ditemukan jodoh sebagai peneman meniti usia mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 6:46 AM