BAGI wanita yang bekerjaya, tanggungjawab dan bebanan yang digalasnya juga akan menjadi berganda. - FOTO Pexels
BAGI wanita yang bekerjaya, tanggungjawab dan bebanan yang digalasnya juga akan menjadi berganda. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Menjadi seorang ibu sememangnya seronok dan mengujakan namun ada ketikanya, seseorang wanita itu akan tetap berasa penat serta tertekan.

Apa tidaknya, bukan sekadar menguruskan rumah tangga malah seorang wanita juga perlu menjaga anak dan melakukan pelbagai tugas lain dalam sesuatu masa.

Bagi wanita yang bekerjaya, tanggungjawab dan bebanan yang digalasnya juga akan menjadi berganda.

Rutin yang berulang-ulang tanpa henti itu sememangnya menuntut curahan masa, tenaga serta perhatian yang tidak berbelah bahagi hingga boleh menyebabkan seseorang wanita itu mengalami keletihan fizikal dan mental (burnout).

Ia adalah keadaan di mana seseorang suri rumah itu berasa sangat letih, hilang minat terhadap sesuatu, mudah marah kepada anak hingga lebih teruk, berlakunya kemurungan.

Pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria sebelum ini berkata, 'burnout' dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan.

"Ia berlaku apabila kita tidak lagi mampu menampung tekanan apabila sumber kekuatan kita dalam menghadapi tekanan selama ini semakin menyusut.

"Dalam masyarakat, 'burnout' sering dilihat sekadar stres biasa. Namun ia perlu diberi perhatian yang wajar kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik," katanya.

MENJADI seorang ibu sememangnya seronok dan mengujakan namun ada ketikanya, seseorang wanita itu akan tetap berasa penat serta tertekan. - FOTO Pexels
MENJADI seorang ibu sememangnya seronok dan mengujakan namun ada ketikanya, seseorang wanita itu akan tetap berasa penat serta tertekan. - FOTO Pexels

‘BURNOUT’ merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan. - FOTO Pexels
‘BURNOUT’ merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan. - FOTO Pexels

Justeru bagi golongan ibu, jika anda mula berasa keletihan dan terbeban dengan rutin yang sama setiap hari, carilah masa untuk berehat dan 'me time' untuk diri sendiri.

Sememangnya tidak salah jika seorang ibu memerlukan waktu untuk 'me time' kerana ia adalah peluang untuknya 'recharge' kembali keadaan fizikal dan mental.

Ia adalah masa untuk si ibu berehat dan bersendirian melakukan aktiviti digemari, bebas daripada anak-anak mahupun suami buat seketika.

Anda boleh melakukan aktiviti kegemaran seperti membeli-belah, memanjakan diri di spa, menonton wayang atau bertemu rakan baik yang jarang sekali dapat meluangkan masa bersama.

Selain itu, curi masa 'me time' dengan bercuti bersama rakan baik juga berbaloi untuk dilakukan.

Ini kerana kata orang tua-tua, jauh di mata tetapi dekat di hati.

Jika berjauhan seketika misalnya kerana bercuti, pasti anda akan berasa lebih rindu dan menghargai anak-anak mahupun suami yang tiada di depan mata.

Sekembali dari bercuti, hubungan ahli keluarga juga akan menjadi lebih erat dan mesra.

CURI masa ‘me time’ dengan bercuti bersama rakan baik juga berbaloi untuk dilakukan. - FOTO Pexels
CURI masa ‘me time’ dengan bercuti bersama rakan baik juga berbaloi untuk dilakukan. - FOTO Pexels

Selain itu, bercuti dapat membantu wanita menenangkan dan mengosongkan fikiran daripada memikirkan tugasan yang tidak pernah habis di rumah.

Anda juga dapat berhubung semula dengan diri sendiri, selepas sekian lama mengabdikan diri sebagai seorang ibu atau isteri.

Meluangkan masa untuk diri sendiri juga dapat membuatkan seseorang wanita itu lebih gembira dan bahagia.

Pernahkah anda mendengar kata-katanya "Kamu tidak akan dapat memberikan kebahagiaan jika kamu sendiri tidak bahagia?"

Ia memang ada benarnya kerana apabila si ibu berasa tertekan dan tidak lagi gembira di rumah, kehidupan rumah tangga juga menjadi kurang bahagia.

Jadi, ibu tolonglah ambil masa untuk berehat, anda pasti akan berasa lebih segar dan bertenaga apabila kembali ke pangkuan keluarga nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:01 AM