PENINGKATAN kadar ketersambungan internet yang tinggi khususnya di negara ini mendorong kepada pertumbuhan pemain aktif. - FOTO Pexels
PENINGKATAN kadar ketersambungan internet yang tinggi khususnya di negara ini mendorong kepada pertumbuhan pemain aktif. - FOTO Pexels
Muhammad Saufi Hassan


Pengenalan kepada jaringan telekomunikasi termaju, 5G banyak mendorong keupayaan pengguna terhadap capaian internet berkelajuan tinggi, sekali gus meningkatkan kadar penetrasi ketersambungan.

Untuk rekod, kadar penetrasi internet pada 2021 bagi negara ini direkodkan pada 96.8 peratus.

Capaian penembusan internet yang tinggi itu meletakkan Malaysia antara negara Asia Tenggara yang merekodkan kadar penetrasi paling tinggi bersama-sama negara jiran, Singapura.

Ia sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk mengakses kandungan dan paling utama adalah penambahan jumlah segmen permainan.

Menyentuh aspek jumlah pemain di Asia Tenggara, firma kajian umum, Statista merekodkan jumlah pemain di rantau ini direkodkan lebih 250 juta akaun pemain aktif sepanjang bulan.

Pengguna hari ini tidak hanya meluangkan masa di depan permainan konsol atau 'desktop' sebaliknya setiap orang sudah memiliki telefon pintar yang boleh melancarkan aplikasi permainan mudah alih di mana jua tanpa mengira lokasi.

Faktanya, kira-kira RM2.7 bilion pembelian direkodkan oleh 'gamers' tempatan sepanjang 2020.

Ini antara lain didorong oleh sentimen 'work from home' atau kawalan pergerakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Jumlah besar itu dilihat meningkat berbanding 2019 apabila dilaporkan pembelian untuk segmen sama direkodkan sekitar RM2.5 bilion dan peningkatan itu berkait rapat dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sejak tahun lalu.

Penyedia platform pembelian permainan turut mendapat faedah besar apabila segmen permainan ini bakal menjadi segmen penting dalam ekonomi sesebuah negara.

Firma kajian 'Research and Markets' bagi segmen permainan pula menjangkakan pertumbuhan untuk segmen permainan adalah 8.5 peratus (kadar pertumbuhan tahunan 2023-2028-CAGR).

Statista menjangakan bahawa kadar pendapatan untuk segmen permainan video bagi penggunaan negara ini mencecah lebih RM2.5 bilion dan segmen permainan mudah alih atau 'mobile gaming' masih mendominasi.

Penguasaan permainan mudah alih bermula sejak 2017 dan akan terus mendominasi sehingga 2027 berdasarkan pertumbuhan yang diunjurkan Statista.

SEGMEN permainan bakal menjadi penyumbang ekonomi dengan rekod transaksi yang memberangsangkan sejak tiga tahun lalu. - FOTO Pexels
SEGMEN permainan bakal menjadi penyumbang ekonomi dengan rekod transaksi yang memberangsangkan sejak tiga tahun lalu. - FOTO Pexels

SEGMEN transaksi permainan mudah alih kekal mendominasi dan diikuti pemain konsol serta ‘desktop’. - FOTO Pexels
SEGMEN transaksi permainan mudah alih kekal mendominasi dan diikuti pemain konsol serta ‘desktop’. - FOTO Pexels

PENGUASAAN permainan mudah alih bermula sejak 2017 dan dijangka terus mendominasi sehingga 2027. - FOTO Pexels
PENGUASAAN permainan mudah alih bermula sejak 2017 dan dijangka terus mendominasi sehingga 2027. - FOTO Pexels

Ini mengambil kira sentimen bahawa setiap individu memiliki atau mempunyai keupayaan untuk membeli telefon pintar, namun tidak semua mampu membeli perkakas permainan seperti konsol, 'laptop' permainan atau 'desktop'.

Bagi segmen umur pula, kategori umur berusia 25 hingga 34 tahun menjadi penyumbang utama dalam transaksi dalam permainan diikuti dengan kategori umur 18 hingga 24 tahun dan kumpulan 35 hingga 44 tahun.

Perincian data berkenaan memberi gambaran jelas bahawa industri pembangunan permainan memberikan potensi besar dalam penjanaan pendapatan.

Ada pakar ekonomi menjangkakan bahawa untuk negara maju, transaksi permainan ini mampu untuk memberi sumbangan kepada sesebuah negara.

Pemain hari ini juga lebih mengutamakan platform pembelian yang mempunyai sekuriti dalam setiap transaksi dan Xsolla antara syarikat yang memiliki keupayaan berkenaan, sekali gus melindungi setiap butiran pengguna.

Malaysia tidak terkecuali daripada pertumbuhan segmen permainan apabila transaksi dilakukan pemain tempatan merekodkan satu jumlah besar.

Kadar penetrasi internet dan kepenggunaan telefon pintar yang tinggi dalam kalangan pengguna di negara ini juga adalah penyumbang kepada jumlah besar berkenaan.

Pengguna telefon pintar ini berusia sekitar 17 hingga 40 tahun, malah orang dewasa tidak terkecuali untuk 'terjebak' dalam pembelian kosmetik permainan ini, malah mereka mempunyai keupayaan kewangan untuk pembelian di dalam permainan.

Berdasarkan rekod global juga memperlihatkan bahawa Malaysia sebagai salah satu negara paling tinggi merekodkan pembelian permainan, malah antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Selain daripada jumlah berkenaan, segmen permainan memperlihatkan bahawa lelaki menguasai komuniti 'gamers' sekitar 43 peratus manakala wanita adalah 40 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:00 AM