SULAMAN menjadi sumber pendapatan kepada Siti Nur Amalina.
SULAMAN menjadi sumber pendapatan kepada Siti Nur Amalina.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada 2020 memberi impak kepada seluruh aspek kehidupan manusia.

Dari sudut positif yang boleh dilihat, ramai yang terkesan dan berani keluar daripada zon selesa dengan mencuba melakukan perkara baru bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Salah seorang daripadanya adalah Siti Nur Amalina Mohamad Sukri, 29, yang mengambil kesempatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan belajar menghasilkan sulaman.

Siapa sangka, daripada sekadar untuk mengisi masa lapang, kini beliau mampu menjana pendapatan dengan penghasilan produk atas jenama sendiri iaitu Stylar Embroidery.

Produk kraf tangan sulaman yang dihasilkan mendapat sambutan hangat untuk dijadikan sebagai hadiah atau hiasan di rumah sekali gus memberi kepuasan kepada dirinya apabila ia menjadi sebahagian daripada hari istimewa mereka.

Malah beliau juga tidak lokek berkongsi ilmu sulaman di aplikasi TikTok miliknya.

Siti Nur Amalina berkata, minat untuk belajar menjahit pakaian sendiri sudah lama dipendam kerana kekangan masa selain tidak mempunyai mesin jahit di rumah.

Katanya, ketika PKP pengajian sarjananya di universiti tertangguh berikutan.

"Disebabkan tiada punca pendapatan dan mempunyai masa yang terluang di rumah, saya memutuskan untuk menjadikan sulaman sebagai satu sumber pendapatan sampingan sementara negara di bawah PKP.

"Sebelum itu saya belajar sendiri sahaja, melalui tutorial di YouTube dan artis-artis sulaman lain di media sosial.

DRAF dihasilkan terlebih dahulu untuk menepati kehendak pelanggan.
DRAF dihasilkan terlebih dahulu untuk menepati kehendak pelanggan.

PERLU pandai mengurus masa supaya tempahan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
PERLU pandai mengurus masa supaya tempahan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Awalnya saya mengambil masa dalam sebulan untuk menguasai kemahiran menyulam sebelum saya yakin untuk menerima tempahan pertama," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya pelanggan menempah seni sulaman ini untuk menyambut hari istimewa seperti perkahwinan, sambutan hari lahir, persaraan dan sebagainya.

"Ada juga yang menempah sulaman gambar keluarga sebagai kenangan untuk dijadikan hiasan istimewa di rumah," katanya.

Siti Nur Amalina berkata, beliau amat mementingkan pendapat pelanggan dalam penghasilan sulaman kerana setiap satu sulaman adalah tempahan khas.

"Saya akan memastikan setiap rekaan menepati permintaan pelanggan sebelum mula menyulam. Ketika proses draf rekaan, perkara seperti warna tema, bunga kegemaran pelanggan dan sebagainya akan dibincangkan dahulu sebelum rekaan baru dihasilkan," katanya.

Mengulas lanjut, tempahan yang paling sukar ialah sulaman gambar orang, terutama yang mempunyai bahagian muka (mata, hidung dan mulut).

"Untuk menyulam bahagian muka, saya perlu lebih teliti supaya muka itu tidak nampak pelik selepas selesai disulam. Saya akan cuba untuk memastikan sulaman itu sama dengan gambar yang diberikan oleh pelanggan," katanya.

Katanya, masa yang diambil untuk menyiapkan tempahan pelanggan berbeza-beza mengikut jenis tempahan.

"Secara purata, satu tempahan memerlukan masa lebih kurang seminggu untuk disiapkan. Biasanya rekaan yang lebih ringkas akan mengambil masa dalam tiga hingga lima hari untuk disiapkan.

"Manakala untuk rekaan yang lebih rumit atau saiz yang lebih besar, saya memerlukan beberapa minggu (untuk siapkan)," katanya.

SULAMAN memerlukan sifat kesabaran dan ketelitian yang tinggi.
SULAMAN memerlukan sifat kesabaran dan ketelitian yang tinggi.

PELANGGAN menempah seni sulaman ini untuk menyambut hari istimewa.
PELANGGAN menempah seni sulaman ini untuk menyambut hari istimewa.

Katanya, dalam menyiapkan tempahan pelanggan, kekangan masa adalah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi.

"Saya boleh menganggarkan masa yang diperlukan untuk menyiapkan satu sulaman, tetapi kadangkala ada tempahan yang mengambil masa lebih daripada yang dijangkakan untuk siap. Saya sendiri pernah terpaksa membatalkan tempahan pelanggan kerana kekangan masa

"Ketika itu saya sangat menyesal kerana gagal mengurus masa dengan baik. Sejak itu, saya akan pastikan tempahan setiap bulan tidak melebihi kapasiti supaya tempahan dapat disiapkan dalam jangka masa yang diberikan," katanya.

Sebagai peniaga, beliau mengakui tidak terkecuali daripada berdepan dengan 1,001 kerenah pelanggan.

"Saya pernah mendapat pelanggan yang menghilangkan diri selepas tempahan siap walhal masih ada baki pembayaran yang perlu dibuat.

"Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan bayaran selepas didesak beberapa kali. Sejak itu, saya menukar terma pembayaran tempahan untuk mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dalam masa terdekat dia akan mengeluarkan kit sulaman sendiri untuk menarik lebih ramai mempelajari seni sulaman ini.

"Saya juga akan membuka kelas sulaman jika ada yang mahu belajar secara peribadi dengan saya, semuanya akan diajar daripada awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:00 AM