PROSES penyusuan antara momen indah antara ibu dan si comel. - FOTO Pexels
PROSES penyusuan antara momen indah antara ibu dan si comel. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Perjalanan si ibu menyusukan bayi mereka secara eksklusif selama enam bulan pertama bukan mudah apatah lagi jika ia adalah pengalaman pertama.

Ibu baharu bersalin biasanya mengalami tekanan emosi dan keletihan fizikal selepas mengharungi proses melahirkan yang panjang.

Bagi yang bersalin secara pembedahan, mereka juga perlu melalui kesakitan berganda.

Ia menyebabkan ramai wanita yang gagal menyusukan bayi mereka dengan baik terutama pada minggu pertama kelahiran sekali gus menjejaskan impian untuk menyusukan bayi secara eksklusif.

Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Halimah Abdul Halim berkata, perjalanan seorang ibu untuk menyusukan bayi mereka bukan mudah dan ramai yang melalui proses itu secara 'keseorangan.'

Kata Dr Halimah, proses penyusuan sepatutnya menjadi momen indah antara ibu dan bayi namun disebabkan kekangan serta halangan tertentu, ia boleh bertukar mimpi ngeri.

Katanya, berbanding di negara barat, Malaysia sebenarnya masih kurang kelas atau kumpulan sokongan untuk membantu ibu menyusukan bayi mereka.

"Jika ada pun, banyak kelas yang berbayar dan dianjurkan pihak swasta.

"Untuk ibu muda dari keluarga yang kurang berkemampuan, mereka sukar untuk menyertai kelas sebegini sedangkan ilmu penyusuan itu penting untuk semua ibu," katanya.

Menurut Dr Halimah, ilmu penyusuan terutama teknik lekapan ketika menyusu adalah penting bagi memastikan bayi mendapat susu secukupnya.

Katanya, lekapan penyusuan yang betul adalah apabila mulut bayi melekat pada payu dara dan menghisap puting dengan baik tanpa membuatkan ibu berasa sakit.

"Apabila bayi menghisap puting dengan betul (bahagian aerola termasuk dalam mulut bayi), mereka dapat menyusu dengan optimum dan lancar.

"Lekapan yang salah akan menyebabkan ibu berasa sakit dan tidak selesa ketika menyusukan bayi sekali gus menghalang bayi daripada mendapat nutrisi yang diperlukannya.

"Teknik menyusu ini perlu dipelajari dan dapatkan sokongan yang diperlukan, jangan lalui proses itu secara berseorangan," katanya.

Jelas Dr Halimah lagi, adalah normal jika bekalan susu kurang ada pada tiga hari pertama kelahiran dan ibu tidak perlu berasa tertekan atau terlalu bimbang.

Ini kerana tidak semua wanita diberi rezeki susu yang melimpah ruah sebaik sahaja melahirkan bayi kerana ada yang terpaksa mendapatkan sokongan dan bantuan untuk memastikan si comel dapat menyusu badan.

HALBA dipercayai dapat membantu membanyakkan susu ibu. - FOTO Google
HALBA dipercayai dapat membantu membanyakkan susu ibu. - FOTO Google

DAPATKAN sokongan dan bantuan jika gagal menyusukan bayi dengan baik. - FOTO Pexels
DAPATKAN sokongan dan bantuan jika gagal menyusukan bayi dengan baik. - FOTO Pexels

"Namun, apapun jangan tertekan atau berasa putus asa kerana bekalan susu ibu sememangnya cukup. Apa yang perlu dilakukan adalah terus menyusukan bayi anda kerana hisapan bayi mendorong payu dara menghasilkan susu yang secukupnya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata. terdapat pelbagai faktor untuk membantu menggalakkan penghasilan susu ibu antaranya pengambilan makanan tambahan berasaskan bahan semula jadi seperti halba.

Berdasarkan pengalamannya sendiri, Dr Halimah berkata, ramai yang tidak mengetahui bahawa halba dapat membantu membanyakkan lagi penghasilan susu badan.

"Masyarakat barat dan wanita di Mesir misalnya juga mengambil halba untuk memperbanyakkan susu badan, ada yang mengambil dalam bentuk pil dan sebagainya.

"Bapa saya juga memperkenalkan halba untuk membantu menambah susu ketika saya berpantang di United Kingdom tidak lama dahulu dan ia sememangnya dapat membantu," katanya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata, untuk wanita bekerjaya yang perlu kembali bekerja dan menghantar anak ke pusat penjagaan atau pengasuh, penggunaan botol susu boleh diperkenalkan ketika usia bayi dua bulan.

Katanya, dalam hal itu, si ayah perlu memainkan peranan untuk membantu memberi susu ibu menggunakan botol susu.

"Ayah perlu mengambil alih peranan memberi susu menggunakan botol kepada bayi kerana jika ibu yang beri, bayi akan menolak disebabkan dia merasai bau badan ibunya

"Ia penting untuk membantu bayi belajar menyusu menggunakan botol susu, persediaan untuknya sebelum dihantar ke pusat penjagaan atau pengasuh," katanya.

Tambah Dr Halimah lagi, cara penyimpanan susu ibu juga perlu diberi perhatian dan jangan ambil mudah.

Katanya, susu yang sudah dibekukan jika dipanaskan tidak boleh dibekukan balik.

"Selain itu, jangan sesekali menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan susu sebaiknya, gunakan air yang panas sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:00 AM