KETIKA menyusu badan, otot muka, rahang dan lidah si kecil bergerak harmoni.
KETIKA menyusu badan, otot muka, rahang dan lidah si kecil bergerak harmoni.
Hafiz Ithnin


BANYAK kajian menyatakan susu ibu mampu memberikan kebaikan kepada si kecil terutama dalam membantu meningkatkan imunisasi.

Ia juga membantu si kecil mempunyai gigi yang tumbuh lebih baik.

Berkongsi perkara itu, Pensyarah dan Pakar Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya, Dr Noorhidayah Zainal Aalam berkata, Organisasi Kesihatan Dunia World (WHO) juga menyarankan menyusu badan secara eksklusif kerana ia nutrisi terbaik untuk enam bulan pertama si bayi dan penting untuk kematangan sistem imun, melindungi bayi daripada alahan, gangguan sistem pencernaan serta penyakit pernafasan.

Katanya, komposisi susu ibu adalah berlainan daripada susu formula yang lebih terkenal sebagai salah satu penyebab utama karies dalam kalangan kanak-kanak.

BAWA berjumpa dengan doktor sekiranya si kecil mempunyai masalah gigi.
BAWA berjumpa dengan doktor sekiranya si kecil mempunyai masalah gigi.

"Susu ibu mempunyai keupayaan untuk menjadikan keadaan mulut bayi tidak sesuai untuk pertumbuhan bakteria jahat yang menyebabkan gigi berlubang.

"Penyusuan badan sehingga umur 12 bulan didapati dapat mengurangkan risiko untuk gigi berlubang untuk bayi," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, ia haruslah seiring dengan penjagaan gigi yang optimum dan amalan pemakanan yang sihat supaya gigi bayi kekal sihat serta kurang risiko untuk mendapat masalah karies.

"Ketika bayi menyusu badan, otot-otot muka, rahang dan lidah bergerak secara harmoni untuk mendapatkan susu daripada payudara.

"Ia kerana bibir bayi akan rapat kepada tisu payudara dan lidah bayi berada di bawah kawasan areola menolak puting payudara ke atas lelangit menghasilkan lekapan yang mencukupi untuk pengeluaran susu," katanya.

Tambahnya, keadaan itu membantu perkembangan lelangit yang rata dan lebar. Justeru, terdapat lebih ruang untuk pertumbuhan gigi agar ia tumbuh tersusun rapi.

"Lebih lama bayi disusukan badan, lebih rendah risiko bayi untuk mendapat tabiat seperti menghisap jari atau puting tiruan. Maka dengan itu, kejadian masalah pembentukan gigitan juga berkurangan," katanya.

Tambahnya, satu kajian mendapati bahawa pengurangan kejadian gigi jongang di dalam kes-kes menyusu badan berpanjangan, namun begitu dapatan kajian terbaharu mengatakan tiada cukup bukti bahawa ia dapat mengelakkan maloklusi rahang dan gigi.

DR Noorhidayah Zainal
DR Noorhidayah Zainal

Dr Noorhidayah berkata, keadaan menyusukan bayi dengan puting ibu adalah berbeza dengan bayi yang menghidap susu melalui botol.

"Pergerakan rahang dan struktur mulut bayi ketika penyusuan menerusi botol adalah berlainan dengan penyusuan badan kerana puting botol susu adalah tidak selembut tisu puting payudara.

"Ketika penyusuan botol, kedudukan lidah dan tekanan di dalam mulut adalah tidak secara semula jadi yang akan menyebabkan lelangit menjadi sempit," katanya.

Katanya, maka, penggunaan botol susu, puting tiruan atau tabiat menghisap jari yang berpanjangan akan memberi kesan negatif kepada pembentukan lelangit dan susun atur gigi.

"Oleh sebab itu, perkembangan dan pertumbuhan struktur rahang, mulut dan gigi adalah lebih baik dalam kalangan bayi yang disusukan melalui payudara berbanding dengan bayi yang meminum susu melalui botol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:15 AM