POSISI baik untuk bantu lekapan.
POSISI baik untuk bantu lekapan.
Nurul Husna Mahmud


ORGAN yang mungkin jarang diberi perhatian kebanyakan dari kita adalah lidah, sedangkan organ ini tidak kurang pentingnya terutama dalam penyusuan bayi.

Kecacatan atau masalah sering dihadapi kanak-kanak membabitkan organ itu adalah masalah lidah pendek atau dikenali 'tongue tie.'

Menurut Pakar Bedah Pediatrik & Pakar Urologi Dr Nada Sudhakaran, lidah pendek atau istilah perubatannya dipanggil Ankyloglossia berpunca daripada kelainan pada posterior lidah mengakibatkan pergerakan lidah bayi terhad dan berlaku ketika kelahiran.

Tahap serius masalah itu bergantung kepada keadaan posterior lidah pendek sama ada berpunca dari ketebalan, 'keletakannya,' sudut posterior lidah itu sendiri dan lantai mulut.

"Masalah pada posterior lidah boleh berlaku ketika awal kelahiran dan lebih berisiko untuk bayi lahir daripada ibu atau bapa yang memiliki masalah sama.

"Saringan daripada Hazelbaker iaitu ujian dijalankan bagi mengenal pasti tahap keseriusan lidah pendek, masalah itu dikelaskan kepada empat jenis, jenis I, II, III dan IV yang mana jenis I dikatakan keadaan paling serius iaitu lidah seperti berbentuk jantung.

"Namun semua kategori lidah pendek itu masih boleh memberi kesan kepada pengalaman ibu dan bayi yang menyusu badan," katanya.

Kata pakar itu lagi, keadaan bayi yang lidah pendek menjejaskan penyusuan kerana lekapan terutama lidah yang sering melakukan pergerakan seperti menjilat tidak dapat melakukan fungsi itu.

IBU yang menyusu bayi lidah pendek juga tidak rasa selesa.
IBU yang menyusu bayi lidah pendek juga tidak rasa selesa.

"Bagi memastikan penyusuan susu ibu yang berkesan, lidah bayi hendaklah melekap pada bahagian bawah payudara atau puting ibu dan menarik seluruh puting ke dalam mulut.

"Sementara gusi atas mengurut pada payudara (bukan puting atau areolar), di mana susu disimpan. Keadaan ini membolehkan susu disedut ke dalam mulut bayi.

"Lain pula dalam kes bayi dengan Ankyloglossia, lidah tidak menonjol keluar atau cukup sehingga menyebabkan bayi tidak dapat menyedut dengan betul ketika penyusuan susu ibu berlaku," katanya.

Sementara itu Pembimbing Laktasi, Nor Azura Mohd Puad berkata, bayi yang memiliki masalah pendek bukan hanya menjejaskan bayi malah ibu.

"Ibu berasa sangat tidak selesa atau sakit ketika menyusukan bayi mereka. Masalah lekapan antara isu utama berpunca daripada masalah lidah pendek.

"Andai ada ibu yang menyusu bayi berasa sakit perkara pertama ialah terus merujuk kepada pakar kerana kebiasaannya ibu tidak dapat mengenalpasti punca menyebabkan bayi mereka tidak menyusu dengan baik.

LIDAH pendek juga mendatangkan masalah kepada penyusuan bayi.
LIDAH pendek juga mendatangkan masalah kepada penyusuan bayi.

"Terutama kepada mereka yang pertama kali menyusukan bayi agar dapat tahu punca dan menangani isu sebenar," katanya.

Tambah Nor Azura, terdapat gejala lain yang mungkin berpunca daripada masalah lidah pendek yang menjadikan pengalaman penyusuan tidak menggembirakan baik bayi atau ibu.

"Bayi mengalami masalah pendek biasanya kerap atau tidak puas menyusu. Selain itu susu juga kerap meleleh keluar daripada mulut bayi.

"Jika berterusan bayi hilang minat untuk menyusu dan berat menurun drastik. Untuk ibu pula mereka mudah rasa tertekan dan penat kerana bayi kuat menyusu," katanya.

Dalam kes tertentu seperti lidah pendek kategori atau kelas IV, teknik tertentu untuk membantu meningkatkan lekapan bayi.

"Kaedah dipanggil 'Football Position' iaitu posisi mendakap bayi dari sisi tepi dengan menghala puting payudara pada kedudukan rapat lelangit mulut bayi antara disarankan.

DAPATKAN bimbingan dari pakar.
DAPATKAN bimbingan dari pakar.

"Posisi ini membantu lekapan dengan lidah mencengkam bahagian puting. Pipi akan menjadi kembung selain terdapat ruang antara hidung dan payudara membolehkan bayi bernafas dengan selesa.

"Bagi kes rehabilitasi atau bayi yang menghadapi masalah lekapan serius, sementara menanti rawatan sewajarnya oleh pakar, susu perlu diberi dengan kaedah menggunakan sudu, cawan atau picagari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 6:40 AM