Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Pada minggu pertama selepas bersalin, anda mungkin dapati payudara sangat membengkak, sakit, berdenyut, membonjol serta terasa penuh dan tidak selesa.

Kadangkala bengkak itu dirasai hingga ke bawah ketiak. Ada pula yang mengalami demam akibat tidak dapat menahan kesakitan payudara yang membengkak atau lebih dikenali sebagai bengkak susu.

Biarpun gambaran situasinya agak teruk, setiap ibu tidak perlu bimbang kerana ia hanya berlaku dalam tempoh singkat selagi bayi melekap dengan betul ketika menyusu dan diberi susu sekerap mungkin.

Namun, bukan semua ibu mengalami bengkak payudara. Sesetengah wanita mendapati payudara mereka hanya menjadi lebih penuh sedikit dan ada juga yang berasa ia membesar daripada biasa serta keras.

Punca payudara membengkak

Menurut kaunselor laktasi Siti Asma Moin, masalah berkenaan biasa berlaku dalam kalangan wanita semasa tempoh penyusuan terutama pada awal tempoh kelahiran.

“Bertambah buruk apabila pengetahuan asas mengenai penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu baru membuatkan mereka mengalami kesukaran dan berasa teruji dengan masalah itu.

“Jika kita membayangkan kesakitan yang dialami ketika bengkak susu memang menakutkan malah ada yang menganggap ia lebih sakit daripada proses kelahiran (bagi individu mudah bersalin).

“Ini kerana masalah berkenaan akan berlanjutan secara berepisod jika ia tidak dirawat dengan segera. Masalah berkenaan boleh berlarutan dan menganggu kesihatan ibu serta bayi pula tidak berjaya disusukan sepenuhnya,” katanya.

Ujarnya, bengkak payudara boleh terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya lekapan bibir yang kurang tepat ketika menyusu dan bayi tidak disusukan dengan kerap.

Kedudukan bayi yang salah ketika menyusukan si kecil boleh menyebabkan berlaku kesilapan pada lekapan bibir di bahagian areola payudara.

Ia sekali gus menyebabkan ibu dan bayi berasa tidak selesa selain boleh menyebabkan saluran duktus tersekat serta menghalang proses mengosongkan susu dalam payudara.

Memang pada mulanya, ibu berasa kurang selesa menyusukan bayi. Namun, jika ibu dan bayi sudah mendapat posisi yang selesa ia boleh mendorong aktiviti penyusuan dilakukan dalam suasana menyeronokkan.

Pada masa sama, posisi yang betul dan selesa juga menjadikan lekapan bibir bayi pada puting payudara berada pada keadaan yang sesuai. Jika lekapan betul, ia membantu melancarkan proses penyusuan dan mengurangkan risiko mengalami bengkak payudara.

“Bukan itu saja, lekapan yang salah juga boleh menyebabkan puting payudara berasa sakit atau luka sekali gus menyebabkan ibu berasa bimbang menyusukan bayi mereka.

“Sebab lain payudara bengkak selepas tempoh kelahiran apabila bayi tidak disusukan dengan kerap. Apabila bayi lahir, darah mula mengalir dengan laju ke arah payudara untuk menyumbang kepada pengeluaran susu.

“Ada ketika bayi kurang menyusu dan menyebabkan payudara mula penuh dan membengkak,” katanya.

Dalam keadaan tertentu, elok menyusukan bayi pada bila-bila masa jika terlihat bayi mahu menyusu. Penyusuan berpandukan kehendak bayi agak munasabah kerana si kecil lebih tahu waktu lapar atau haus dan jumlah susu yang diperlukan setiap kali menyusu.

Selepas minggu pertama kehidupan, kebanyakan bayi mula menyusu enam hingga lapan kali sehari, tetapi selalunya penyusuan ini berlainan jaraknya.

Kadangkala ibu mendapati bayi menyusu setiap dua jam, tetapi realitinya ia mungkin kurang kerap daripada tempoh berkenaan.

Cara atasi bengkak susu

Rawatan segera diperlukan ketika situasi berkenaan berlaku kepada ibu bagi mengelakkan rasa sakit dan tidak selesa berpanjangan. Ada kaedah mudah yang boleh dilakukan dalam keadaan tenang.

“Apabila ibu mula sedar payudara membesar atau membengkak dalam situasi kurang selesa, ambil ibu jari tekan secara lembut pada sekitar payudara yang mempunyai ketulan kecil.

“Buat tekanan lembut secara putaran mengikut arah lawan pusingan jam. Lakukan berulang kali sehingga ibu berasa selesa dan ketulan susu semakin mengecil atau berkurangan.

“Kaedah ini boleh membantu menyelesaikan masalah bengkak susu pada peringkat awal jika dilakukan berulang kali dan tidak berputus asa,” katanya.

Selain itu, kaedah menggunakan ais juga dapat membantu mengurangkan bengkak susu. Caranya, ais perlu diletakkan ke dalam tuala kecil dan tuam pada payudara yang membengkak secara perlahan-lahan dan kerap.

Disarankan hanya menggunakan seketul ais saja setiap kali melakukan kaedah berkenaan. Kedua-dua cara berkenaan boleh dilakukan sendiri di rumah dalam keadaan selesa dan tenang.

Secara tidak langsung, kawasan bengkak akan mula mengecut dan menjadikan aktiviti penyusuan bersama bayi lebih gembira dan selesa. Namun, jika bengkak susu yang dialami terlalu sakit hingga tidak boleh disentuh, cuba kaedah yang dikongsi Siti Asma.

“Letakkan lima jari pada kawasan areola (di bahagian payudara berwarna coklat) dan cuba tekan dengan kuat secara cepat sebelum dilepaskan. Sekurang-kurangnya, ulang sebanyak lima kali.

“Jika ibu rasa sakit, berhentilah seketika dan ulang semula kaedah berkenaan. Biasanya, jika kaedah berkenaan dilakukan, susu akan keluar dengan perlahan dan boleh simpan di dalam bekas yang bersih.

“Selepas berasa selesa dan kurang sakit, barulah ibu boleh memerah menggunakan tangan atau pam susu. Susu yang diperah boleh diberi terus kepada bayi atau disimpan ke dalam peti sejuk,” katanya.

Namun, sebelum melakukan sebarang kaedah yang disarankan itu, Siti Asma mengingatkan supaya tangan perlu dibersihkan terlebih dulu bagi mengelak kotoran melekat pada payudara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 8:11 AM