AYAM panggang halba madu enak dinikmati bersama nasi panas dan sayur segar.
AYAM panggang halba madu enak dinikmati bersama nasi panas dan sayur segar.
Hajahfarhana Tarmudi


Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka baik dari segi penjagaan, kesihatan, keperluan asas dan harian hinggalah berusaha memenuhi nutrien yang diperlukan untuk menggalakkan tumbesaran si kecil.

Ini termasuklah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan bayi susu badan secara eksklusif. Ramai ibu akui banyak khasiat yang diperoleh bayi yang terkandung dalam susu badan.

Justeru, ibu yang masih menyusukan bayi tidak harus memandang ringan aspek pengambilan makanan sihat dan seimbang untuk disalurkan kepada bayi mereka melalui sesi pe–nyusuan.

Anggap penyusuan badan sebagai motivasi berterusan untuk menikmati diet sihat sama seperti yang diamalkan ketika hamil. Fokus ke atas pengambilan bijirin penuh di samping nasi perang, buah-buahan, sayur-sayuran serta makanan yang memberikan banyak protein, kalsium dan zat besi.

Bagi ibu yang masih tercari-cari idea menu sihat dan enak untuk dinikmati, boleh cuba resipi ayam panggang halba madu yang dikongsi kaunselor laktasi, Siti Asma Moin.

“Dalam hidangan ini ada menggunakan bahan seperti halba dan madu. Halba dikatakan dapat membantu merangsang hormon, sekali gus menggalakkan proses susu ibu dihasilkan dalam jumlah yang banyak.

“Tambahan madu dalam hidangan ayam ini membantu memberi kesegaran badan dan tenaga kepada ibu yang menyusukan bayi di samping kandungan nutrisi yang lengkap,” katanya.

Jelasnya, isi daging ayam pula mengandungi protein yang tinggi, sekali gus memberi manfaat dan melengkapkan keperluan ibu serta bayi yang menyusu.

Bahan:

- 1/4 ekor ayam

- Bawang merah

- Bawang putih

- Halba (dihancurkan)

- Madu

- Sedikit kunyit

- Garam secukup rasa

Penyediaan masakan:

1. Bawang merah dan bawang putih ditumbuk hingga hancur.

2. Gaulkan ayam dengan kunyit terlebih dulu. Selepas rata, masukkan sedikit garam, halba dan madu.

3. Perap ayam selama 20 minit.

4. Bakar ayam dengan suhu 130 hingga 180 darjah Celsius selama 20 minit atau sehingga masak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:55 AM