JAUNDIS menyebabkan bayi tampak kekuningan.
JAUNDIS menyebabkan bayi tampak kekuningan.
Nurul Husna Mahmud

BUKTI saintifik hanya menyokong dua kaedah bagi menangani masalah penyakit demam kuning atau spesifiknya jaundis neonatal yang menyerang kira-kira 60 hingga 70 peratus bayi baru lahir.

Salah satu kaedah sering digunakan dalam rawatan bayi yang mengalami penyakit itu di hospital adalah fototerapi iaitu prosedur rawatan membabitkan penggunaan sinar ultraviolet (UV) melalui lampu fluoresen, halogen, atau LED.

Sementara itu, kaedah kedua lebih alami adalah penyusuan ibu yang betul kepada bayi jaundis bagi meningkatkan metabolisme bilirubin.

Bilirubin iaitu pigmen berwarna kuning yang terhasil menerusi pemecahan semula jadi sel darah bayi yang mengandungi 'fetal hemoglobin' (HbF).

HbF pula adalah sel darah merah yang dihasilkan dan diperlukan bayi ketika dalam kandungan kemudiannya diganti dengan hemoglobin A (HbA) atau hemoglobin dewasa yang mempunyai peranan mengangkut serta melepaskan oksigen lebih baik berbanding HbF.

Oleh sebab proses metabolisme bilirubin berlaku dalam hati, kemudiannya disimpan sebagai garam hempedu di dalam pundi hempedu lalu dibuang melalui najis.

Di sebalik fakta itu, relevan mengatakan susu ibu 'penawar' terbaik dalam menangani jaundis kerana lemak dalam susu ibu memerlukan garam hempedu berwarna kuning atau hijau untuk dicernakan.

Namun begitu, masih ramai ibu mahupun penjaga mengambil risiko dengan mengamalkan petua lain seperti memberi minum susu kambing, air kosong mahupun jus anggur kepada bayi yang baru lahir tanpa memikirkan komplikasi terhadap kesihatan bayi mereka.

Kaunselor Laktasi Bertauliah, Nurun Nadia Masrom berkata, susu ibu terutama 'hindmilk' (susu ibu yang mempunyai tekstur lebih pekat dan mengandungi lemak) sangat penting dalam membantu singkirkan bilirubin dari hempedu.

"Garam hempedu iaitu bilirubin ketika berada dalam hempedu hanya dapat dirembeskan apabila terdapat lemak dalam susu. Aturannya ialah garam hempedu dirembeskan dari hempedu ke duodenum usus apabila terdapat lemak perlu dicernakan.

"Aspek penting ialah bukan hanya perlu pastikan anak itu mendapat susu ibunya semata-mata. Malah perlu pastikan ia 'hindmilk' atau susu yang mengandungi lemak mencukupi untuk dicernakan.

"Untuk dapatkan kandungan lemak dalam susu ibu, ibu bayi yang mengalami jaundis atau baru lahir disarankan menyusukan bayi sekurang-kurangnya dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit untuk pastikan ia diterima oleh bayi," katanya yang lebih mesra disapa Nad Masrom dalam kalangan komuniti penyusuan ibu secara eksklusif.

FOTOTERAPI membantu menukarkan bilirubin dalam bentuk yang mudah disingkirkan.
FOTOTERAPI membantu menukarkan bilirubin dalam bentuk yang mudah disingkirkan.

Jelas pakar itu lagi, tempoh penyusuan bayi kurang daripada jangkamasa terbabit hanya akan memberikan bayi 'foremilk' iaitu susu badan yang kandungan atau teksturnya lebih cair kerana kurang lemak.

"Penyusuan yang kerap dalam tempoh yang betul akan memberi peluang bilirubin disingkirkan dari badan sebagai najis berwarna kuning dengan lebih cepat dan bermakna proses penurunan masalah kuning bayi juga berlaku pada kadar sama.

"Ibu juga tidak perlu khuatir pemberian susu dengan kandungan lemak tinggi kerana lemak susu ibu lebih mudah dicernakan dan tidak membebankan usus bayi," katanya.

Untuk pengetahuan umum, keadaan bayi bertambah baik boleh diketahui menerusi keadaan najis sama ada pucat atau kelabu selain keadaan berat bayi yang bertambah.

Tambah Nurun Nadia, bayi jaundis selalunya lebih suka tidur dan jarang bangun menyusu. Menjadi peranan ibu untuk kejut dan pastikan bayi dapat menyusu badan dengan lebih kerap.

"Selain kedudukan bayi betul ketika menyusu, posisi lekapan juga amat penting supaya bayi mendapat susu yang mencukupi terutama 'hindmilk' ketika proses penyusuan.

NURUN Nadia mahu si ibu betulkan posisi penyusuan dan memastikan lekapan bayi betul terutama bagi bayi jaundis.
NURUN Nadia mahu si ibu betulkan posisi penyusuan dan memastikan lekapan bayi betul terutama bagi bayi jaundis.

"Jika bayi hanya menyusu sekejap-sekejap kerana tertidur, kejut bayi dengan cara urutan lembut supaya dia terjaga dan dapat menyusu dengan lebih lama.

"Tingkatkan kekerapan penyusuan bayi kepada satu hingga dua jam sekali supaya penyingkiran bilirubin dari badan bayi lebih cepat. Jika bayi ditahan di wad, ibu boleh perah susu untuk dibekalkan kepada bayi.

"Satu fakta mengenai kolostrum (susu ibu yang dihasilkan pada akhir tempoh mengandung hingga beberapa jam selepas bersalin dan mengandungi gizi penting untuk pertahanan tubuh bayi) mudah diperah menggunakan teknik perahan tangan (marmet) berbanding pam," katanya.

Tip lain turut dikongsi pakar itu adalah cara mengetahui posisi ibu dan lekapan mulut bayi yang betul:

- Pipi bayi kembung ketika menyusu

- Nampak bayi menelan susu

- Puting tidak rasa sakit

- Puting ibu tidak terluka

- Bayi naik berat badan

- 'Output' bayi (aktiviti aktif bayi iaitu kencing dan najis) mencukupi -pakar berpendapat bayi kencing lebih enam kali sehari memberi maklum balas keadaan bayi jaundis bertambah baik

- Fizikal bayi diperhatikan cukup susu - kulit bayi lembab, bayi aktif dan tidak cengkung

Fakta tambahan:

Petua yang sering kali diamalkan dan berisiko untuk bayi jaundis.

1. Susu kambing (segar atau formula)

Risiko: tidak sesuai untuk bayi di bawah 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid. Susu formula berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.

2. Beri air kepada bayi

Risiko: Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah. Implikasi daripada keadaan itu boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi.

3. Bayi dijemur pada sinaran matahari

Risiko: Bayi baru lahir boleh mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaan jaundis dialami semakin teruk. Sinaran matahari dan sinar UV boleh menyebabkan masalah kulit terbakar yang menyakitkan kepada kulit bayi baru lahir yang nipis. Komplikasi terdedah dalam waktu yang panjang boleh merisikokan bayi penyakit kulit serius seperti ekzema dan kanser kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:01 AM