NURUL Elifa berjalan di pentas peragaan.
NURUL Elifa berjalan di pentas peragaan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PEGAWAI Farmasi Nurul Elifa Mohd Zaini Tee,32, dinobatkan juara pertandingan KWC Model Search 2024 dengan menewaskan lima peserta lain.

Kejayaan itu membolehkan Nurul Elifa membawa hadiah wang tunai RM3,000, piala dan mahkota.

Selain itu, ibu kepada dua cahaya mata ini turut dianugerahkan Miss Herry Collection sekali gus menerima hadiah wang tunai RM1,000, pakaian bernilai RM500 dan trofi.

Pemenang kedua KWC Model Search 2024 ialah Amirah Adilah Salehudin, 23, dan pemenang ketiga milik Putri Noradlina Hairolhizam, 22.

KWC Model Search dilancarkan pada 2018 dan tahun ini kali kelima penganjurannya diadakan di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertandingan diadakan bertujuan memberi peluang kepada wanita muda menonjolkan bakat sebagai peragawati berkeyakinan tinggi, kreatif dan inovatif, di samping memperkasakan wanita dalam industri fesyen, kecantikan serta hiburan.

Nurul Elifa berkata, kemenangan itu sebagai pembuka jalan untuk dia kembali aktif dalam bidang peragaan yang ditinggalkan beberapa tahun lalu atas tuntutan kerjaya dan keluarga.

Menurutnya, dia memulakan langkah kembali aktif dengan menyertai uji bakat pertandingan pada September tahun lalu dan terpilih bersama 30 peserta lain.

NURUL Elifa (kiri) menerima hadiah kemenangan daripada Wendy (dua,kanan).
NURUL Elifa (kiri) menerima hadiah kemenangan daripada Wendy (dua,kanan).

"Perjalanan pertandingan ini tidak mudah kerana perlu mengikuti kursus peragawati dan menyempurnakan beberapa siri tugasan seperti menghasilkan video untuk KWC Fashion Wholesale serta mempamerkan bakat peragaan dalam video kempen raya KWC, pengacara program KWC juga undian media sosial bersama Butik Harry Collection sebelum ke pentas akhir.

"Selain itu cabarannya ialah masa, memandangkan terikat dengan tugas hakiki yang mengikut waktu pejabat.

"Sepanjang tempoh perjalanan hampir setahun ini, saya terpaksa mengorbankan banyak masa demi memenuhi tuntutan pertandingan.

"Namun bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suami yang ringan tulang membantu menjaga anak," katanya.

Katanya, dia juga tidak menyangka dinobatkan juara meskipun ada yang memberikan bayangan kemenangan miliknya, kerana kurang berkeyakinan dan menyedari kelemahannya berjalan di pentas peragaan.

Ditanya mengenai perancangan akan datang Nurul Elifa berkata, dia bersedia untuk mengikuti kelas berjalan di pentas peragaan sekiranya mahu memberikan tumpuan kepada aspek itu.

NURUL Elifa (tiga, kanan) bersama lima peserta lain.
NURUL Elifa (tiga, kanan) bersama lima peserta lain.

"Saya berharap kemenangan ini dapat membuktikan kepada wanita lain bahawa usia dan status diri bukan penghalang untuk mencapai impian.

"Perkara paling penting ialah mendapat sokongan keluarga untuk mencapai impian berkenaan," katanya.

Sementara itu Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale Wendy Lim berkata, pertandingan berkenaan menunjukkan peningkatan prestasi cemerlang setiap finalis dalam mempamerkan bakat mereka.

"Di samping itu, mempersiapkan diri mereka melalui kursus peragawati untuk membina kerjaya dalam industri fesyen dan hiburan.

"Pendaftaran untuk KWC Model Search 2025 akan bermula pada suku terakhir tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:21 AM