NOR  Azna Nooruddin dan anaknya, Batrisya Badrul (kanan) bersama kucing kesayangan mereka, Cinta. FOTO Ihsan Nor Azma Nooruddin
NOR Azna Nooruddin dan anaknya, Batrisya Badrul (kanan) bersama kucing kesayangan mereka, Cinta. FOTO Ihsan Nor Azma Nooruddin
Oleh Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Kehadiran kucing betina bernama Cinta bukan sahaja menceriakan hidup keluarga seorang pembantu tadbir, malah memberi semangat buat anak tunggalnya yang menderita akibat epilepsi.

Penyakit yang dihidap Batrisya Badrul, 21, juga menjadi menyebabkan Nor Azna Nooruddin, 49, membeli Cinta daripada penjaga asalnya tujuh tahun lalu.

Nor Azna yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menetap di Taman Sri Manja, di sini berkata, Cinta bukan sekadar kucing peliharaan, malah pelengkap hidup keluarganya.

Katanya, haiwan baka British Short Hair (BSH) dan Munchkin itu dinamakan Cinta kerana keunikannya yang mempunyai corak berbentuk hati pada badannya.

"Awalnya, saya tak berapa gemar dengan kucing, tapi pada 2017, doktor sahkan Batrisya ada pendarahan di otak jadi cadangkan saya beli kucing untuk alihkan perhatian anak terhadap penyakitnya.

"Saya ikut cakap doktor dan beli Cinta yang dijual dengan harga RM800.

"Waktu beli Cinta, umurnya baru empat bulan dan Cinta sangat rapat dengan Batrisya sehingga pernah tak nak keluar bilik seolah-olah kemurungan selepas anak saya itu tinggalkannya untuk sambung belajar di peringkat diploma.

"Kiranya, Cinta lebih rapat dengan Batrisya berbanding saya dan suami yang masih boleh mendukungnya cuma tak lama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nor Azna, selain Cinta, keluarganya memelihara tiga kucing lain diberi nama Shiro, Bella dan Daisy.

Bagaimanapun, Cinta yang paling cerewet, malah tidak pandai berdikari berbanding tiga kucing peliharaannya yang lain.

"Kalau tempat pasir penuh pun Cinta tak nak duduk di dalamnya dan enggan makan makanan yang sudah lama terbiar.

"Cinta kucing yang dibesarkan 100 peratus dalam rumah, malah jarang kami bawanya berjalan di luar kerana mudah jatuh sakit kalau orang luar pegang atau hantar ke penjaga haiwan.

"Disebabkan tak selalu terdedah dengan dunia luar, Cinta sampai tak nak berjalan atas lantai atau rumput dan jadi kucing yang penakut.

"Pernah satu ketika waktu kami pulang ke kampung, burung yang kejar Cinta dan kalau buka pintu pun tak akan lari.

"Cinta memang sejenis kucing tak nak dengan orang lain serta akan menyorok kalau takut," katanya.

Selagi sihat dan diberi kemampuan, Nor Azna dengan keluarganya akan terus menjaga Cinta.

"Ikutkan, sudah banyak kali orang minta, malah ada yang nak beli Cinta.

"Tapi, saya tak nak jual kerana penjaga Cinta sebelum ini pun ada pesan jangan jual atau bagi Cinta kepada orang lain.

"Saya ingat pesanan itu. Lagipun, saya sekeluarga amat menyayangi Cinta, malah proses sembuh anak saya pun cepat sebab Cinta penguat semangatnya maka akan terus pelihara Cinta," katanya yang berkongsi kisah Cinta di TikTok sejak 2019 dan tidak menyangka kucing kesayangannya itu akan mendapat perhatian meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 7:02 AM