Hafiz Ithnin


"Kerjaya saya sebagai doktor di hospital sebelum ini sememangnya memerlukan saya bertugas sehingga 12 jam sehari. Namun, ia bukan alasan untuk tidak menceburi dunia larian," kongsi wanita berusia 33 tahun ini kepada penulis.

Malah, Dr Athina Zulkifli melihat arena larian membantunya melarikan diri seketika dari kerjaya hakiki yang diketahui umum mengetahui mengenai kesibukannya.

Dr Athina antara pelari tempatan yang aktif. Malah, dia yang aktif berlari dalam kebanyakan kategori 10 kilometer (km) sentiasa berada di dalam barisan teratas ketika kejohanan larian tempatan. Lebih tepat berada di dalam kedudukan lima teratas.

Jelasnya, dunia larian memberikan banyak manfaat kepada dirinya untuk memahami fungsi tubuh dengan lebih mendalam. Apatah lagi, jika aktiviti itu dijadikan sebagai satu gaya hidup.

Dia sebenarnya baharu sahaja menyertai dunia larian kira-kira pada 2018 dan pembabitannya mula menyerlah pada 2019. Terutama membabitkan acara larian denai.

"Saya mula terbabit di dalam dunia larian ini sebenarnya akibat 'diracun' oleh kawan-kawan. Saya masih ingat kali pertama menyertai larian pada 2018 dengan jarak hanya 6km tetapi mengambil masa sehingga sejam.

"Sejak itu, saya merasakan aktiviti larian ini baik untuk mental dan fizikal jika dijadikan satu gaya hidup memandangkan apabila kita mendaftar sesuatu kejohanan pelbagai persediaan perlu dilakukan," katanya.

Jelasnya, antara persediaan yang perlu dilakukan selain mengasah teknik larian pastinya mengenai diet, latihan yang bijak dan melakukan latihan kekuatan otot serta memahami keadaan diri supaya dapat meminimumkan kecederaan diri.

"Meskipun saya seorang doktor tetapi kita di dalam dunia perubatan secara amnya hanya 'diajar' untuk merawat penyakit dan ia begitu berbeza dengan dunia sukan. Melainkan saya mempunyai pengkhususan di dalam bidang perubatan sukan.

"Jadi, apabila saya terbabit di dalam dunia larian ini atau secara umumnya aktiviti kecergasan menjadikan saya lebih terarah untuk membaca dan memahami keadaan diri seorang yang aktif di dalam dunia sukan terutama larian," katanya.

MERAIH pelbagai kejayaan dalam sukan larian.
MERAIH pelbagai kejayaan dalam sukan larian.

Katanya, dia banyak membaca jurnal mengenai dunia kecergasan supaya dapat memahami keperluan diri ketika beraksi di dalam kejohanan terutamanya.

"Apabila saya menyertai dunia sukan ini saya mula banyak membaca mengenai keperluan diri seorang atlet seperti pergerakan otot, cara mempercepatkan pemulihan kecederaan dan diet yang penting.

"Gabungan dan ilmu yang khusus di dalam dunia sukan ini menjadikan saya memahami secara meluas mengenai arena ini dan secara tidak langsung dapat mengasah potensi diri," katanya.

Katanya, sebagai seorang pelari dia juga tidak terkecuali pernah mengalami kecederaan ketika menyertai perlumbaan.

"Bohonglah apabila aktif berlari ini terutama membabitkan trek denai kita tidak pernah mengalami kecederaan. Seperti saya, pada sekitar 2018 pernah mengalami ligamen putus.

"Ketika itu saya masih ingat terlalu memaksa untuk mendapatkan keputusan terbaik tanpa mempedulikan keadaan diri dan saya mendapat kedudukan kelima dalam keadaan cedera," katanya.

Jelasnya lagi, selepas itu dia mengambil mengambil masa yang agak lama untuk pulih sebelum dapat menyertai kejohanan larian seterusnya.

AKSI Dr Athina ketika menuju ke garisan penamat.
AKSI Dr Athina ketika menuju ke garisan penamat.

"Ketika saya berehat, saya mula membaca banyak perkara membabitkan pemulihan diri akibat kecederaan sukan dan mendapati bahawa aktiviti larian bukan sekadar berlari tetapi ia mencakupi pelbagai perkara terutama kekuatan otot.

"Latihan untuk menguatkan otot ini sebenarnya banyak manfaat kepada seorang pelari terutama untuk keseimbangan diri. Jadi dunia larian bukan sekadar berlatih untuk kelajuan sahaja," katanya.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Dr Athina berkata, dia sebenarnya tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang atlet walaupun ketika di zaman sekolah.

"Ketika masih belajar saya sibuk memberi tumpuan di dalam bidang akademik. Sehinggalah pada 2018, ketika itu saya sudah menjadi doktor pelatih, baharu saya menyertai dunia larian.

"Bagi saya tiada lewat atau cepat untuk kita menyertai dunia kecergasan seperti larian ini. Paling penting kita berusaha untuk menggilap potensi diri," katanya.

Katanya, dia juga ketika ini menyiapkan diri untuk menyertai dunia triathlon yang mempunyai gabungan larian, berbasikal dan berenang.

"Bagi saya larian ini adalah pemulaan untuk saya menceburi dunia sukan lain terutama multisport kerana ia seperti asas untuk kita membuat persiapan mencuba pelbagai jenis ekstrim yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 7:00 AM