MEMPUNYAI pelbagai menu latihan mampu memberi kesan baik kepada prestasi larian.
MEMPUNYAI pelbagai menu latihan mampu memberi kesan baik kepada prestasi larian.
Hafiz Ithnin


Lazimnya, bersarapan dengan nasi lemak, roti canai atau kuih bergoreng adalah perkara biasa. Namun, tidak bagi wanita berusia 46 tahun ini.

Jika teringin menikmatinya, cukup sekadar sesudu sebulan kerana segala-galanya untuk menjaga prestasi larian yang sudah sebati dengan dirinya.

"Saya amat menjaga pemakanan kerana jika terlalu berminyak atau berlemak, badan saya akan cepat naik. Sekarang ini, saya sudah mempunyai berat badan yang begitu ideal sebagai pelari jarak dekat," kata ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu kepada penulis.

Dalam kalangan pelari tempatan, nama Chenora Ismail bukan sesuatu yang asing kerana kehadirannya dalam setiap perlumbaan sudah dapat dijangka akan berada di posisi ketiga teratas.

Dia memilih untuk berlumba dalam liga larian berjarak antara 10 kilometer (km) sehingga 15km kerana ia lebih serasi dengan prestasi diri.

Ditanya mengenai masa terpantas yang pernah dicatatkan, Chenora berkata, setakat ini bagi jarak 10km masa terbaiknya 47 minit.

Namun, untuk berada pada catatan masa itu bukan sesuatu yang mudah untuk anak kelahiran Kuala Lumpur itu kerana disiplin diri yang diikatnya begitu ketat.

Chenora berkata, dia melakukan latihan lima hari seminggu dan pelbagai menu latihan dipraktikkan antaranya latihan kepantasan, kekuatan otot dan jarak jauh.

LATIHAN bersama rakan-rakan menjadi rutin Chenora untuk mengilap prestasi larian.
LATIHAN bersama rakan-rakan menjadi rutin Chenora untuk mengilap prestasi larian.

"Bagi saya ini adalah pengorbanan dari sisi yang sangat positif kepada diri kerana larian menjadikan gaya hidup saya lebih baik.

"Apabila saya aktif dalam dunia larian secara automatik akan berusaha untuk memperbaiki mutu larian dan sudah semestinya untuk mendapatkan hasilnya saya perlu mempunyai berat yang ideal dan disiplin latihan yang ketat," katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia larian, Chenora berkata, sejak dari sekolah dia aktif dalam sukan larian.

"Apabila sudah berkahwin saya masih aktif menyertai pelbagai acara larian termasuk berstatus ultra (lebih 42km) sama ada larian denai atau 'road', tetapi hanya seronok-seronok," katanya.

Jelasnya lagi, selepas suaminya, Hamdan Hassan meninggal dunia di usia 41 pada 2017, pada 2018 dia fokus menyertai larian jarak pendek sahaja.

"Pada 2019 satu demi satu kemenangan saya rekodkan. Boleh dikatakan lebih 12 perlumbaan saya sertai, semuanya berada di posisi podium dan lebih lima kali bergelar juara untuk kategori wanita veteran.

AKSI Chenora ketika memulakan perlumbaan.
AKSI Chenora ketika memulakan perlumbaan.

"Saya menggilap bakat larian bermula dengan disiplin dalam latihan, menjaga makanan dan mempunyai rehat yang cukup," katanya yang kini mempunyai berat badan 43 kilogram.

Katanya, walaupun secara serius menyertai pelbagai acara larian pada usia 42 tahun, namun ia bukan suatu penghalang untuk seseorang itu menonjolkan bakat.

"Paling utama ialah minat. Jika mempunyai minat kita berusaha sebaik mungkin untuk mencapai impian yang diinginkan iaitu dengan melakukan pelbagai strategi.

"Dalam dunia larian ini strategi pastinya mengenai latihan dan mempraktikkan gaya hidup dengan baik supaya prestasi ketika beraksi dalam arena perlumbaan sebenar tidak kecundang," katanya.

Katanya, dia menyertai dunia larian kerana ia memberi manfaat yang sangat baik kepada kesihatan mental dan mampu mempunyai gaya hidup yang baik.

"Suami saya meninggal dunia kerana darah tinggi dan sebenarnya saya tidak tahu dia mempunyai masalah kesihatan itu.

"Apabila dia sudah tiada, pastinya menjadi ibu tunggal memerlukan saya mempunyai tahap kesihatan mental yang baik. Justeru, larian menjadi pilihan kerana saya dapat melepaskan rasa tekanan," katanya.

Katanya, walaupun sibuk bekerja dalam dunia korporat dan berlatih untuk mempunyai prestasi yang baik dalam arena larian, tanggungjawab sebagai seorang ibu tetap dilaksanakan sebaik mungkin.

JUARA dalam acara relay Ironman 2022.
JUARA dalam acara relay Ironman 2022.

"Rutin harian saya adalah bangun pada jam 5.30 pagi atau lebih awal dari itu. Kadangkala sebelum Subuh saya sudah mulakan latihan larian. Cukup sejam atau dua jam tempoh latihan.

"Kemudian saya akan menyediakan keperluan anak-anak sebelum mereka ke sekolah. Sebelah malam juga jika saya mempunyai latihan saya akan pastikan anak-anak sudah makan. Pada jam 9 malam saya akan tidur kerana rehat yang berkualiti amat penting," katanya.

Katanya, dunia larian membuatkan dirinya lebih aktif dan sentiasa fokus dalam kehidupan harian serta kerja kerana setiap masa mempunyai nilai yang tinggi.

"Jadual harian saya agak padat apabila mula aktif dalam larian. Jadi, saya perlu bijak untuk menguruskan masa dengan baik supaya tanggungjawab harian dapat dilaksanakan dengan baik," katanya

Katanya, untuk wanita yang sudah melebihi usia 40 tahun dan ingin menyertai dunia larian, dinasihatkan jangan berasakan usia menjadi suatu penghalang untuk menyertai aktiviti itu.

"Walaupun kita melihat pesaing yang berpengalaman bertahun dalam dunia larian menjadi pesaing ketika berlumba, tetapi setiap orang mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kita perlu mencari dan menggilap kekuatan dalam diri sendiri supaya ia dapat diterjemahkan ketika hari perlumbaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 7:00 AM