SAYUR Brassica memiliki banyak nutrien yang baik untuk kesihatan
SAYUR Brassica memiliki banyak nutrien yang baik untuk kesihatan
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK kanak-kanak, kita sudah digalakkanmakan sayur-sayuran kerana ia sangat penting untuk tumbesaran dan kesihatan.

Sayur adalah sumber utama makanan yang membekalkan vitamin, mineral, serat dan antioksidan yang penting untuk kesihatan.

Kekurangan pengambilan sayur-sayuran segar dalam diet harian menjadi antara faktor risiko kepada peningkatan kadar kematian selain mudah dijangkiti pelbagai penyakit.

Kajian dilakukan menunjukkan pengambilan serat yang mencukupi melalui sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menyelamatkan sehingga 2.7 juta nyawa atau mengurangkan beban penyakit di seluruh dunia sebanyak 1.8 peratus setahun.

Terdapat pelbagai jenis sayur yang mempunyai khasiat tersendiri antaranya sayur dalam keluarga Brassica seperti kubis, kubis bunga, lobak putih, sawi dan brokoli.

Semua sayur ini mempunyai khasiat darimenurunkan berat badan kepada bersifat anti kanser.

Edison Institute of Nutrition menyenaraikan lima alasan mengapa sayur Brassia perlu dijadikan sebagai pilihan dalam hidangan harian anda

.

1. Mempunyai banyak nutrien penting

Salah satu cara terbaik untuk memastikan anda mendapat nutrien yang diperlukan badan ialah menambah banyak sayur-sayuran pada diet anda.Vitamin, mineral dan nutrien lain memainkan peranan penting dalam memastikan pelbagai fungsi badan berfungsi dengan lancar. Sayur-sayuran Brassica khususnya memiliki sumber nutrien yang hebat termasuk vitamin A, vitamin C, kalsium, serat dan asid folik.

2. Baik untuk sistem imun

Jika anda sedang mencari cara untuk membantu meningkatkan sistem imun anda, makan makanan seimbang dan pelbagai termasuk banyak sayur-sayuran adalah cara yang bagus. Nutrien dalam sayur-sayuran Brassica mempunyai sifat antimikrob yang membantu meningkatkan pertahanan sistem imun anda terhadap patogen. Ia juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti asma, alzheimer dan diabetes.

BROKOLI antara sayur Brassica
BROKOLI antara sayur Brassica

3. Mempunyai sifat anti kanser

Sayur-sayuran Brassica penuh dengan sebatian yang dipanggil glucosinolates membantu menghalang pertumbuhan tumor dan melawan sel-sel kanser. Kajian pada tahun 2009 menunjukkan pengambilan lebih tinggi sayur-sayuran Brassica mungkin dikaitkan dengan penurunan risiko mendapat kanser paru-paru.

4. Membantu menurunkan berat badan

Pengambilan serat yang mencukupi adalah satu kaedah bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.Sayur-sayuran Brassica antara pilihan terbaik kerana memiliki serat yang tinggi. Satu hidangan sayur-sayuran ini boleh mengandungi sehingga dua puluh peratus daripada pengambilan serat harian anda yang disyorkan. Selain membantu anda menurunkan berat badan, serat boleh membantu mengurangkan risiko menghidap diabetes dan menurunkan tekanan darah.

5. Manfaat untuk kesihatan jantung

Sayur-sayuran Brassica khususnya boleh membantu menurunkan paras kolesterol buruk anda. Dengan mengekalkan kolesterol rendah boleh membantu mengelakkan deposit lemak daripada terbentuk yang mengakibatkan strok dan serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:12 AM