Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Tabiat merokok penyebab utama kanser paru-paru. Merokok bukan saja menjejaskan paru-paru tetapi meningkatkan risiko kanser lain seperti kanser mulut, pundi kencing, buah pinggang, serviks dan pankreas.

Mereka yang bekerja atau terdedah kepada karsinogen di tempat kerja seperti asbestos, gas radon (biasanya ditemui dalam industri pembinaan, kejuruteraan besi berat dan automobil) turut menghadapi risiko tinggi.

Sejarah keluarga dan gaya hidup seperti pengambilan alkohol dan penyakit berkaitan rokok seperti emfisema menentukan risiko untuk menghidap kanser paru-paru.

Hampir majoriti rakyat Malaysia tahu mengenai kesan akibat merokok, namun masih sukar meninggalkan tabiat itu. Kanser paru-paru adalah satu daripada tiga kanser paling biasa dihidapi rakyat Malaysia.

Ia penyebab utama kematian akibat kanser kerana 60 peratus kes kanser paru-paru hanya dikesan pada peringkat keempat di mana tumor sudah merebak ke seluruh paru-paru atau bahagian badan lain.

Peka dengan masalah itu, Boehringer Ingelheim mengumumkan hasil kajian jangka hayat (OS) yang diperoleh daripada kajian LUX-Lung 8 yang membuat perbandingan secara langsung mengenai keberkesanan dan ciri keselamatan bagi dua kaedah rawatan menyasarkan-EGFR, afatinib dan erlotinib, bagi pesakit yang mengalami karsinoma sel skuamus paru-paru peringkat lanjut (SCC), yang pernah menjalani rawatan kimoterapi peringkat pertama.

Rawatan menggunakan afatinib menunjukkan pengurangan ketara risiko kematian sebanyak 19 peratus, melanjutkan jangka hayat pesakit sehingga 7.9 bulan berbanding 6.8 bulan melalui pengunaan erlotinib.

Paling utama, lebih ramai pesakit yang dirawat menggunakan afatinib masih hidup melangkaui tempoh satu tahun berbanding mereka yang dirawat menggunakan ertolinib (36.4 peratus berbanding 28.2 peratus).

Penyelidik kajian klinikal LUX-Lung 8 dan Ketua Jabatan Pembangunan Ubatan, Pusat Kanser Gustave Roussy, Paris, Perancis, Prof Jean Charles Soria berkata, kanser paru-paru sel skuamus adalah penyakit yang amat sukar dirawat terutama bagi pesakit yang turut mengalami pelbagai jenis penyakit lain.

“Hasil daripada LUX-Lung 8 amat memberangsangkan kerana ia mempamerkan kaitan klinikal yang menyasarkan reseptor Erb8 bagi penyakit ini.

“Garis panduan antarabangsa memperakui erlotinib sebagai pilihan kaedah rawatan peringkat kedua bagi merawat karsinoma sel skuamus paru-paru, dan hasil yang lebih baik yang ditunjukkan dengan penggunaan afatinib memberi indikasi bahawa kaedah rawatan ini boleh memberikan manfaat tambahan kepada populasi pesakit sedia ada,” katanya.

Keputusan lengkap hasil kajian ini akan digunakan sebagai asas bagi permohonan untuk pendaftaran global yang akan dikemukakan pada penghujung tahun ini. Penggunaan afatinib adalah tidak dibenarkan bagi pesakit yang menghidap SCC paru-paru.

OS ialah titik akhir utama yang kedua bagi kajian klinikal secara perbandingan bagi Fasa III ini, dan analisis dilaksanakan susulan daripada hasil positif yang diperoleh daripada pemanjangan kadar jangka hayat bagi titik akhir utama bebas-perkembangan (PFS) yang telah dibentangkan pada 2014.

Analisis terkini PFS mengesahkan bahawa terdapat pengurangan ketara bagi perkembangan risiko kanser sebanyak 19 peratus bagi pesakit yang dirawat menggunakan afatinib berbanding erlotinib.

Penangguhan dalam perkembangan kanser yang diperhatikan melalui rawatan afatinib adalah disertai dengan peningkatan kawalan terhadap simptom berkaitan kanser: nisbah yang lebih besar pesakit yang dirawat menggunakan afatinib melaporkan pening­katan yang lebih baik bagi permasalahan batuk (43.4 berbanding 35.2 peratus), sesak nafas (51.3 berbanding 44.1 peratus) dan peningkatan kualiti/kesejahteraan hidup (secara keseluruhan) (35.7 berbanding 28.3 peratus) berbanding erlotinib.

Kadar kesan sampingan yang serius adalah sama bagi kedua-dua kaedah rawatan afatinib dan erlotinib (57.1 berbanding 57.5 peratus).

Jumlah yang lebih tinggi insiden cirit-birit yang teruk dan stomatitis (keradangan mulut) ditunjukkan melalui pengunaan afatinib berbanding erlotinib (cirit-birit gred 3/4: 9.9/0.5 vs. 2.3/0.3 peratus, stomatitis gred 3: 4.1 berbanding 0.0 peratus) manakala jumlah yang lebih tingggi insiden ruam/jerawat yang teruk dilaporkan melalui penggunaan erlotinib berbanding afatinib (ruam/jerawat gred 3: 10.4 berbanding 5.9 peratus).

Ketua Perubatan Bahagian Tumor dan Onkologi Boehringer Ingelheim, Dr Mehdi Shahidi berkata, susulan kelulusan afatinib di lebih 50 buah negara untuk merawat EGFR mutasi-positif kanser paru-paru dan data kadar jangka hayat secara keseluruhan yang positif bagi pesakit yang mengalami mutasi EGFR yang biasa dialami.

“Kami berbangga untuk mengumumkan satu lagi bukti afatinib jelas mempamerkan kemampuannya untuk memanjangkan jangka hayat pesakit yang mengalami kanser sel skuamus paru-paru.

“Di Boehringer Ingelheim, kami komited untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang keperluan yang tidak dipenuhi seperti ini. Matlamat kami adalah afatinib dapat menjadi pilihan baru dalam rawatan untuk pesakit kanser seperti ini pada masa hadapan,” katanya.

Kanser paru-paru jenis sel tidak kecil (NSCLC) adalah kanser paru-paru yang sering ditemui dan merangkumi lebih 85 peratus daripada kes kanser paru-paru.

SCC, sejenis kanser paru-paru yang membesar di dalam sel yang melapisi saluran pernafasan, mewakili lebih kurang 30 peratus dari kes NSCLC.

Pilihan rawatan adalah terhad dan SCC paru-paru yang juga dikaitkan dengan prognosis yang teruk dengan kurang daripada lima peratus pesakit yang mengalami SCC dapat hidup selama lima tahun atau lebih.

Sementara itu, Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Pakar Perubatan Antarabangsa Beacon, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Wahid berkata, hasil LUX Lung 8 ialah satu penemuan yang sangat penting dalam rawatan sel skuamus kanser paru-paru.

“Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa afatinib akan menjadi antara pilihan bagi pesakit yang memerlukan rawatan barisan kedua SCC paru-paru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:01 AM