KETUA Cawangan Malabar, Nijeesh P (tiga dari kiri) dan Yasheedah (dua dari kanan) bersama pelanggan pertama (empat dari kanan) yang membeli koleksi Nour ketika pelancaran koleksi Nour di Malabar, Jalan Masjid India.
KETUA Cawangan Malabar, Nijeesh P (tiga dari kiri) dan Yasheedah (dua dari kanan) bersama pelanggan pertama (empat dari kanan) yang membeli koleksi Nour ketika pelancaran koleksi Nour di Malabar, Jalan Masjid India.
Muhamaad Razis Ismailk


MALABAR Gold & Diamonds (Malabar) terus melebarkan sayapnya sebagai salah satu jenama barang kemas terkemuka di negara ini apabila melancarkan koleksi Nour iaitu koleksi emas 916 (22k) berinspirasikan seni dan budaya berunsurkan Timur Tengah dengan kerja tangan yang halus dari Dubai.

Ada lebih daripada 500 koleksi berbeza yang ditawarkan termasuk anting-anting, rantai panjang, rantai pendek, gelang, subang dan cincin yang menepati cita rasa pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Ketua Pembangunan Perniagaan Malabar Malaysia, Yasheedah Yashaiya berkata, keunikan koleksi Nour ialah kerja tangan yang halus, rekaan nampak besar dan begitu gah, tetapi ia lebih ringan dan mampu dimiliki.

Katanya, rekaan yang berteraskan efek tiga dimensi (3D) menyerlahkan lagi koleksi ini dengan lebih eksklusif.

"Koleksi Nour sangat terhad kerana di Malabar, barangan kemas yang dikeluarkan secara eksklusif. Jika ada permintaan terhadap rekaan sama, maka tempahan boleh dibuat.

"Untuk kesempurnaan penampilan, koleksi Nour ini didatangkan dengan set barang kemas termasuk rantai, anting-anting atau subang, gelang tangan dan cincin diikat dengan pelbagai warna emas iaitu emas putih, emas kuning dan emas merah jambu yang juga dikenali sebagai 'rose gold'," katanya.

Koleksi Nour ini juga lebih ringkas dengan rantai panjang dan loket emas dengan rekaan filigri dan corak sulaman.

Menurutnya, walaupun koleksi Nour ini nampak gah, pihaknya turut menawarkan pilihan rekaan lebih ringkas mengikut kesesuaian sama ada untuk ke pejabat dan sebagainya.

"Saya berharap koleksi ini memberi sedikit kelainan kepada fesyen barang kemas di Malaysia dan nafas baharu kepada pencinta barang kemas.

"Sesuai dengan nama 'nour' yang bermaksud cahaya, pemakaian barang kemas koleksi ini dapat menjadi pelengkap kepada gaya dan penampilan yang lebih menyerlah," katanya selepas Majlis Pelancaran Koleksi Nour di cawangannya di Masjid India.

Yasheedah berkata, seiring reputasi Malabar yang mempunyai lebih 320 cawangan di serata negara dan menjadi jenama barangan kemas keenam terbesar di dunia, pihaknya bekerja keras memberikan sesuatu yang istimewa kepada pelanggan yang meminati barangan kemas dan fesyen di Malaysia.

Jenama Malabar yang beribu pejabat di Kerala, India dan di Dubai kini berada di pasaran tempatan selama lapan tahun di Malaysia, mempunyai sembilan bilik pameran di seluruh Malaysia antaranya dua di Masjid India, Seremban Mydin Mall, Seremban 2, Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Subang Jaya Mydin Mall dan Ampang Point yang dibuka baru-baru ini.

Katanya, dengan kerja tangan barangan kemas dan pereka antarabangsa dari Dubai, Oman, Bahrain, Turkiye, Singapura, India dan beberapa negara lagi, rekaan barangan kemas yang disajikan sememangnya pelbagai dan unik.

"Anda boleh melihat koleksi ini di laman web Malabar atau ke cawangan di sekitar anda," katanya.

Tambahnya, di Malabar setiap transaksi berteraskan Jaminan Malabar iaitu 'Malabar Promise' di mana salah satunya ialah 100 peratus nilai tukar beli diberikan kepada pelanggan yang membeli barangan kemas dari Malabar Gold & Diamonds untuk emas mahupun berlian.

"Ia membabitkan pembelian semula atau nilai tukaran baik barang perhiasan emas atau berlian dengan kadar 100 peratus pembelian atas nilai emas dan berlian" katanya.

Ditanya berkenaan trend membeli barang kemas di negara ini, Yasheedah mendapati 70 peratus yang berbuat demikian bertujuan sebagai pelaburan.

"Kini sudah ramai terutama dalam kalangan masyarakat Melayu yang sedar bahawa pembelian barang kemas adalah pelaburan yang menguntungkan. Bukan sahaja wanita, lelaki juga terutama dalam kalangan suami yang tidak kisah memperuntukan gajinya untuk diberikan kepada isteri bagi membeli barang kemas.

"Saya lihat ini satu perubahan positif kerana barang kemas yang dibeli bukan sahaja untuk digayakan, malah sesuai dijadikan sebagai pelaburan," katanya.

Sempena hujung tahun ini dan sambutan tahun baharu, Malabar kini melangsungkan kempen 'Mine Diamond Festival' sehingga 7 Januari tahun depan.

Kempen Mine Diamonds ini menawarkan pelanggan syiling emas percuma untuk pembelian berlian koleksi Mine serendah RM3,500.

Koleksi berlian dari Malabar adalah dari kualiti yang terbaik dan setiap barangan kemas berlian mempunyai sijil pengiktirafan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 6:45 AM