PEMAKAIAN gemstone yang menarik. FOTO Aziah Azmee
PEMAKAIAN gemstone yang menarik. FOTO Aziah Azmee
Hafiz Ithnin


"KUASA media sosial menjadikan ada peminat barangan kemas mula memilih saiz lebih besar untuk ditonjolkan dalam gaya mereka," jelas Pengurus Besar Kanan Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud.

Mohd Zaruddin berkata demikian ketika ditanya penulis mengenai adakah gaya memakai barangan kemas besar semakin mendapat perhatian pada hari ini atau hanya digayakan sesetengah individu?

Jelasnya, setiap rekaan barangan kemas mempunyai peminatnya tersendiri dan ia bergantung kepada individu sama ada untuk disarungkan dalam bentuk lebih menonjol atau lebih tampak ringkas, namun ciri elegan masih dapat dilihat.

"Bagi pendapat saya apabila adanya media sosial, peminat barangan kemas mula menjadikan aset ini sebagai satu perkongsian kepada umum.

"Jika dahulu kita lihat gaya pemakaian rekaan barangan kemas yang besar dan menonjol ini hanya dipakai pemilik pada acara eksklusif kepada mereka. Kini trend itu sudah berbeza," katanya.

Mohd Zaruddin yang ditemui pada majlis ulang tahun pertama cawangan Habib Jewels di Pusat Membeli Belah KL East juga melihat orang ramai mula peka menjadikan emas sebagai satu instrumen pelaburan peribadi.

Katanya, perkara ini jelas dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai yang dapat mengeluarkan wang daripada tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula membeli emas sebagai satu pelaburan jangka panjang.

ANTARA proses mengenal pasti ketulinan batu permata. FOTO Aziah Azmee
ANTARA proses mengenal pasti ketulinan batu permata. FOTO Aziah Azmee

"Apabila mereka membeli emas perhiasan, orang ramai bukan sahaja dapat menggayakannya, tetapi sekiranya dalam keadaan sukar pada masa depan, ia juga boleh dijual untuk mendapatkan tunai.

"Jadi, membeli emas yang bersaiz besar ini juga sebenarnya salah satu cara orang ramai bukan sahaja untuk bergaya, tetapi membolehkannya menjadi satu aset pelaburan," katanya.

Katanya, pembelian barangan kemas yang besar biasanya dibeli mereka yang berusia 25 tahun ke atas dan golongan di bawah usia itu masih memilih gaya ringkas, tetapi tampak elegan.

Sebelum temu bual itu diadakan, penulis dan rakan-rakan media lain turut dibawa melihat koleksi barangan kemas yang ditawarkan di Habib Jewels.

MOHD Zaruddin menunjukkan karakter batu permata. FOTO Aziah Azmee
MOHD Zaruddin menunjukkan karakter batu permata. FOTO Aziah Azmee

Antara yang menarik perhatian penulis apabila pereka barangan kemas syarikat itu memaklumkan batu perhiasan atau gemstone turut mendapat perhatian dijadikan kalung oleh pembeli.

Mohd Zaruddin berkata, sebenarnya gemstone juga mampu menjadi hiasan yang mewah apabila ia dipadankan dengan emas tidak kira emas putih atau kuning.

"Gemstone ini mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menonjol dalam gaya tersendiri. Gemstone ini ada pelbagai jenis antaranya ruby, emerald dan saphire.

GEMSTONE semakin mendapat perhatian pembeli barangan kemas. FOTO Aziah Azmee
GEMSTONE semakin mendapat perhatian pembeli barangan kemas. FOTO Aziah Azmee

"Malah, gemstone ini juga boleh dijadikan sebagai aset pelaburan kepada si pemakai selain daripada emas yang sudah biasa kita dengar ia disimpan dan boleh dijual semula. Batu hiasan ini juga boleh dijual semula kepada Habib Jewels misalnya untuk mendapatkan wang tunai," katanya.

Katanya, gemstone asli juga mempunyai harga tinggi sekiranya mempunyai bentuk dan warna yang unik dan sukar untuk didapati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 7:00 AM