BINTANG bola keranjang, Mikey Williams dilantik sebagai duta kempen global kolaborasi itu.
BINTANG bola keranjang, Mikey Williams dilantik sebagai duta kempen global kolaborasi itu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bola keranjang bukan sekadar sukan kerana bagi penggemar setianya, ia adalah gaya hidup mereka.

Untuk itu, rumah fesyen terkenal Jerman, MCM tampil berkolaborasi dengan jenama sukan terkemuka, PUMA bagi membawa gaya hidup 'slam dunk' ke peringkat fesyen mewah.

Dalam gaya glamor yang tersendiri, kolaborasi itu menampilkan rekaan istimewa, Slipstream Lo yang mampu memenuhi cita rasa penggemar fesyen semasa.

Sebelum ini, kolaborasi dua jenama itu pada tahun 2018 menghasilkan edisi kasut suede istimewa yang ikonik.

Kerjasama kali ini dilihat lebih menarik kerana bintang bola keranjang, Mikey Williams turut dilantik sebagai duta untuk kempen globalnya.

Pengarah Kreatif Global PUMA, Heiko Desens berkata, hubungan istimewa antara kemewahan dan sukan jelas dapat dilihat menerusi kerjasama berkenaan dengan butiran klasik dua jenama dari Jerman itu boleh dilihat dari segi rekaan dan pembuatannya.

GABUNGAN fesyen mewah dan sukan bola keranjang.
GABUNGAN fesyen mewah dan sukan bola keranjang.

"Kejayaan kolaborasi pertama sebelum ini mendorong kami untuk meneruskan dengan kerjasama kali kedua. Semua pihak teruja untuk melihat apa hasilnya," katanya.

Dalam pada itu, tiga rekaan menarik akan ditampilkan secara berperingkat iaitu pertamanya pada bulan ini dengan menampilkan kasut gelanggang klasik yang dihiasi monogram Cognac Visetos, iaitu ciri khas rumah fesyen berkenaan.

Oktober depan pula menyusul edisi kedua yang dihiasi dengan perincian hitam putih serta monogram kubik MCM untuk visual kotak penuh, menyerlahkan lagi gaya sang bintang Williams.

Edisi ketiga, dijangka pada separuh pertama tahun 2023 yang menampilkan rekaan unik kasut TRC Blaze Court menarik dengan gaya klasik olahraga selain koleksi pakaian 'ready to wear'.

Sementara itu, jenama terbabit turut bekerjasama dengan Coca Cola untuk menghasilkan koleksi pakaian dan kasut menarik bagi meraikan warisan istimewanya.

Ia termasuk rekaan siluet klasik seperti baju trek T7 dan kasut Slipstream yang diperincikan dengan palet warna retro serta jalur klasik Coca Cola pada barangan terpilih.

Rekaan kasut pula tampil dalam sentuhan tersendiri bersama label tenunan dan tag gantung yang didatangkan dalam pembungkusan eksklusif.

KOLEKSI menarik bagi meraikan warisan dua jenama popular.
KOLEKSI menarik bagi meraikan warisan dua jenama popular.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:00 AM