KUTU kepala menyebabkan kanak-kanak terpaksa menggaru kepala dengan kerap. - FOTO Google
KUTU kepala menyebabkan kanak-kanak terpaksa menggaru kepala dengan kerap. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


APABILA melihat anak berada dalam keadaan tidak selesa dan kerap menggaru kepalanya berulang kali, ia mungkin berpunca daripada jangkitan kutu kepala.

Sekiranya anak dihantar ke tadika, sekolah, dan pusat jagaan, jangkitan mungkin berlaku di lokasi ini daripada kanak-kanak lain.

Nampak seperti bukan masalah besar namun ia tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu ditangani segera.

Ibu bapa perlu mengetahui bahawa ia bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap masalah kesihatan yang lebih serius malah emosi kanak-kanak boleh terganggu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, jangkitan kutu kepala adalah disebabkan kehadiran parasit Pediculus humanus capitis yang menghisap darah di kulit kepala.

Katanya, kutu tidak boleh terbang, namun ia boleh merangkak dari kepala seseorang kepada individu yang lain.

"Kutu kepala yang berada di sebarang permukaan boleh hidup sehingga tiga hari. Oleh itu jangkitan kutu kepala turut boleh berlaku apabila berkongsi barangan seperti sikat, bantal, tuala dan telekung.

"Sungguhpun kutu kepala biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan ahli keluarga turut tidak terlepas daripada dijangkiti," katanya.

Menurutnya, dalam kitaran hidup kutu kepala, serangga ini mempunyai tiga fasa kehidupan iaitu telur, nimfa dan kutu dewasa.

KUTU kepala tidak boleh dipandang ringan.  - FOTO Google
KUTU kepala tidak boleh dipandang ringan. - FOTO Google

SIKAT kutu dapat menyingkirkan telur kutu.  - FOTO Google
SIKAT kutu dapat menyingkirkan telur kutu. - FOTO Google

"Seekor kutu boleh hidup antara 21 hingga 35 hari. Sepanjang tempoh itu, kutu betina boleh bertelur antara 50 hingga 150 biji telur," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa tanda individu itu dijangkiti kutu kepala antaranya adalah mengalami gatal-gatal pada kulit kepala.

"Selain itu, terdapat kesan berwarna merah pada belakang tengkuk akibat menggaru.

"Jika terdapat jangkitan kuman pada kulit kepala akibat menggaru, mungkin berlaku benjolan atau kudis," katanya.

Mengulas lanjut, komplikasi jangkitan kutu kepada kanak-kanak akan mengakibatkan tidur malam mungkin terganggu akibat gatal-gatal di kepala.

"Masalah ini menyebabkan mereka kurang mendapat tidur secukupnya sekali gus mengantuk di dalam kelas. Ia secara tidak langsung mengganggu tumpuan kepada sesi pembelajaran dan keciciran," katanya.

Dari sudut lain, masalah ini akan mengakibatkan mungkin berlaku stigma, diskriminasi atau buli.

"Kawan-kawan akan menggelar mereka pengotor walaupun sebenarnya jangkitan kutu kepala tidak semestinya berkait dengan aspek kebersihan.

"Kanak-kanak kerap menggaru-garu kepala ini mungkin akan membuat mereka berasa rendah diri dan malu untuk bergaul dengan orang lain," katanya.

PENGGUNAAN ubat kutu dapat merawat jangkitan kutu kepala.  - FOTO Google
PENGGUNAAN ubat kutu dapat merawat jangkitan kutu kepala. - FOTO Google

Bagi jangkitan yang terlalu kronik, risiko anemia (kekurangan darah) mungkin berlaku kerana kutu menghisap darah dari kulit kepala.

Beliau berkata, dalam merawat masalah jangkitan kutu kepala ini terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan termasuk menggunakan ubat kutu yang boleh didapati di farmasi dengan mengikut arahan disertakan.

"Bagi wanita mengandung dan kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dapatkan kebenaran daripada doktor sebelum menggunakan sebarang ubat kutu.

"Gunakan sikat kutu sekurang-kurangnya dua hari sekali untuk menyingkirkan telur kutu yang tidak terkesan oleh ubat kutu," katanya.

Tambahnya untuk langkah pencegahan, rendam atau basuh sikat dan barangan lain yang tercemar dengan air panas dan vakum permaidani serta perabot.

"Barangan yang tidak boleh dibasuh atau direndam boleh dibungkus dalam plastik. Biarkan untuk seminggu bagi memastikan kutu atau telurnya benar-benar mati," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, seseorang itu dikatakan bebas daripada jangkitan kutu apabila tiada kutu atau telur dapat dilihat selepas dua minggu daripada tarikh rawatan.

"Sekiranya masih terdapat kutu, dapatkan rawatan doktor kerana mungkin berlaku keadaan yang dikenali sebagai 'treatment resistant' iaitu kutu itu sudah lali dengan ubat yang digunakan.

"Segera berjumpa doktor, jika terdapat tanda-tanda jangkitan kuman yang teruk pada kulit kepala seperti bengkak, nanah dan demam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 7:00 AM