KANAK-KANAK juga mengalami sakit kepala.
KANAK-KANAK juga mengalami sakit kepala.
Siti Nadirah Hafidzin


HATI ibu bapa mana yang tidak bimbang sekiranya si kecil mengadu sakit kepala terutama selepas pulang dari tadika mahupun sekolah.

Kesakitan itu kadangkala menyebabkan kanak-kanak menjadi murung dan pendiam, mungkin akibat menahan kesakitan yang dianggap janggal pada mereka.

Walaupun kita bimbang, ibu bapa tidak boleh memberikan ubat sebarangan terutama sekiranya kesakitan itu dilihat semakin serius sehingga menyebabkan anak menangis atau terganggu emosinya.

Penulis juga tidak terkecuali daripada berdepan situasi ini. Cemas dan bimbang apabila anak sulung berusia lima tahun mengadu sakit kepala tanpa diketahui sebabnya.

Mahu diberikan ubat bimbang tidak bersesuaian, langkah paling pantas adalah dengan membawa si kecil bertemu doktor di klinik berhampiran supaya pemeriksaan boleh dilakukan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, setiap ibu bapa mahupun penjaga perlu mengenali jenis sakit kepala yang melanda kanak-kanak sebagai persediaan awal apabila berdepan dengan situasi cemas.

“Tiga jenis sakit kepala yang sering terjadi kepada kanak-kanak iaitu migrain, sakit kepala akut dan ketegangan.

DR Zubaidi.
DR Zubaidi.

“Sakit kepala akut berlaku hanya sesekali berpunca daripada jangkitan virus yang ringan seperti selesema dan demam selesema termasuk jangkitan penyakit berjangkit yang serius contohnya denggi, malaria dan kepialu,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan migrain, ia mengakibatkan sakit seperti mencucuk-cucuk di sebelah kepala yang bermula di bahagian dahi dan di tepi kepala atau kedua-dua bahagian kepala.

“Kanak-kanak juga berasa loya, boleh muntah dan pada masa yang sama, mereka mungkin mengadu mata berpinar dan mengganggu ketenangan serta keselesaannya.

“Bagi kanak-kanak yang mengalami migrain, kebiasaannya lebih selesa dengan suasana senyap, sunyi dan gelap untuk berehat kerana suasana bising dan terang menyebabkan sakit kepala menjadi semakin teruk,” ujarnya.

Dr Zubaidi berkata, sakit kepala yang paling lazim terjadi kepada kanak-kanak adalah sakit kepala ketegangan. Ia juga dikenali sebagai sakit otot kepala yang berpunca daripada ketegangan otot di bahagian dahi dan tepi kepala.

“Sakit kepala jenis ini selalunya disebabkan perasaan bimbang, tekanan emosi atau situasi yang tegang di mana juga dia berada yang tanpa sedar menyebabkan si kecil mula berasa sakit kepala.

“Sakit kepala ini biasa berlaku dan selalunya tidak serius kerana seperti individu dewasa, kanak-kanak boleh mengalami pelbagai jenis sakit kepala termasuk migrain atau sakit kepala yang berkaitan dengan tekanan di sekolah,” katanya.

Namun begitu, ada sesetengah kes sakit kepala yang berlaku itu serius terutama apabila ia disebabkan jangkitan kuman, kecederaan atau trauma pada kepala sehingga menyebabkan pembentukan darah beku di otak.

“Kebanyakan sakit kepala yang berlaku pada kanak-kanak ini tidak serius, tetapi disarankan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya sakit kepala itu mengganggu rutin seharian contohnya sehingga sukar tidur malam, masih sakit kepala selepas bangun tidur, menangis kerana tidak dapat menahan sakit atau anak anda menjadi tidak keruan.

“Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan jika sakit kepala itu lebih teruk dan semakin kerap atau sehingga si kecil menjadi pendiam dan tidak aktif di sekolah. Jangan terlalu panik dan jangan pula terlalu bertenang apabila anak mengadu sakit kepala,” ujarnya.

Dr Zubaidi berkata, segeralah bertemu doktor bagi menjamin keadaan anak dalam keadaan tidak membimbangkan selain menerima rawatan bersesuaian.

Menurut Dr Zubaidi, ibu bapa dan penjaga haruslah sentiasa peka dengan keadaan si anak selain memberi kerjasama sebaiknya apabila pemeriksaan dijalankan ke atas anak.

TINDAKAN SEGERA

Berikut antara langkah yang perlu diambil apabila si kecil mula menunjukkan tanda tidak selesa akibat sakit kepala:

1. MENERANGKAN GEJALA DIALAMI KEPADA DOKTOR

Penerangan yang jelas dapat membantu doktor mengenal pasti jenis sakit kepala yang dialami dan tidak mengabaikan faktor penyebab yang lain.

Doktor juga perlu mengetahui sejauh mana sakit kepala menyekat aktiviti harian kanak-kanak di rumah atau di sekolah.

Menyimpan buku harian untuk mencatat kejadian sakit kepala si anak juga penting untuk mengetahui kekerapan dan tahap serius kerana kanak-kanak juga boleh mengalami migrain dan sakit kepala tegang serentak.

2. MELAKUKAN PEMERIKSAAN FIZIKAL DI KLINIK ATAU HOSPITAL

Doktor perlu melakukan pemeriksaan fizikal menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada fungsi urat saraf dan penglihatan. Ibu bapa atau penjaga perlu membenarkan si anak diperiksa dengan teliti selain membantu memberi penerangan yang jelas dalam membantu pemeriksaan itu.

3. MINUM BANYAK AIR MASAK DAN SUAM

Minum air secukupnya dapat membantu mengurangkan rasa sakit kepala dan tidak selesa si kecil anda.

4. LETAKKAN ANAK DI TEMPAT YANG SELESA DAN TENANG

Situasi persekitaran sangat mempengaruhi kesakitan sakit kepala yang dialami kanak-kanak. Jangan mendedahkan anak anda kepada suasana bising dan terang kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

5. AJAR ANAK SUPAYA BERTENANG DAN BERNAFAS DENGAN BETUL

Rasa sakit kepala sedikit sebanyak dapat dikurangkan sekiranya anak dalam keadaan tenang. Jika dia menangis, pujuk dan beri kata-kata semangat supaya dia berasa tenang serta ajar dia menarik nafas dengan betul. Jika menerima ubat daripada doktor, makan mengikut jadual ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:30 AM