PELBAGAI varian warna Jogger X81 dipamerkan.
PELBAGAI varian warna Jogger X81 dipamerkan.
Hafiz Ithnin


KOTA Bangkok, Thailand sememangnya antara lokasi terkenal di rantau Asia Tenggara sebagai destinasi fesyen dalam pelbagai segmen.

Dari fesyen jalanan sehingga avant-garde, Bangkok mempunyai pengikut yang berani bereksprementasi dalam berbusana yang dihidangkan pelbagai jenama, baik tempatan mahu pun antarabangsa.

Justeru, acara pengenalan koleksi musim luruh dan sejuk 2022 syarikat kasut dan pakaian sukan beribu pejabat di Jepun, Asics ternyata begitu tepat diadakan di negara jiran Malaysia itu.

Penulis diundang menghadiri acara berkenaan bersama rakan media arus perdana, atlet dan pempengaruh dari Malaysia. Keluar sahaja dari tempat penginapan aura pemakaian Asics begitu hangat dapat dirasai.

Hanya terletak kira-kira 500 meter lokasi acara itu yang dikenali Autumn Winter' 22 Reginonal Brand Day di Noble Play dan di sepanjang perjalanan kami ke sana bagaikan satu perarakan Asics kerana begitu ramai mengenakan jenama Asics.

Sebaik sahaja tiba dalam lokasi acara yang diadakan di sebelah petang itu rona warna ceria menyambut kehadiran tetamu tempatan dan antarabangsa bagi menyaksikan koleksi dua musim berkenaan pada tahun ini.

Khalayak yang hadir juga terdiri daripada pelbagai latar belakang terutama pempengaruh tempatan dan antarabangsa yang begitu bergaya mengenakan pelbagai konsep pakaian bersandarkan jenama Asics.

MODEL memperagakan kasut gaya sukan Asics yang kasual dan begaya.
MODEL memperagakan kasut gaya sukan Asics yang kasual dan begaya.

Seakan-akan mengangkat gaya jalanan yang penuh warna warni, pentas peragaan juga tidak klise kerana model berjalan dari tingkat dua sehingga ke tingkat satu untuk mempamerkan pakaian dan kasut Asics yang bakal berada di pasaran kelak.

Lebih menarik, Asics juga seakan-akan mengenengahkan tema berbusana mengikut arus kini yang begitu sinonim dengan perkongsian di media sosial.

Ini kerana di dalam ruang acara itu begitu banyak lokasi untuk merakam foto yang bersifat 'Instagrammable.'

Mengenai barisan produk yang bakal menemui peminat gaya sukan di rantau ini, menerusi pemerhatian penulis ia boleh dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu kasut sukan Asics yang pastinya mengenengahkan prestasi untuk si pemakai yang mementingkannya.

Dalam acara itu, Asics mempamerkan teknologi Asics Blast yang dicipta bagi memberi prestasi yang lebih untuk si pelari menerusi rantaian model kasut larian seperti Metaspeed+, Novablast dan Gel- Kayano. Teknologi ini membantu pelari lebih yakin menerusi Asics Speed Lab Carbon dan Asics Speed Lab Blast.

KASUT larian Metaspeed+ untuk prestasi larian yang lebih baik.
KASUT larian Metaspeed+ untuk prestasi larian yang lebih baik.

Masih di dalam segmen kasut prestasi, Asics juga meningkatkan ciptaannya bagi kasut sukan yang mementingkan kestabilan dan kelajuan untuk tenis, badminton, bola tampar dan pelbagai sukan indoor.

Bagi mereka yang aktif di dalam sukan pastinya pakaian antara elemen yang sentiasa diberi perhatian, justeru Asics turut memperkenalkan pakaian sukan yang mempunyai teknologi yang dikenali sebagai Actibreeze bagi mengawal dan mengurangkan kelembapan, sekali gus memberi keselesaan kepada si pemakai ketika beraksi di arena.

Dalam segmen kasual pula, Asics nampaknya terus kreatif dalam menggabungkan antara sukan dan fesyen di dalam koleksi musim berkenaan apabila memperkenalkan koleksi gaya sukan.

Rantaian model kasut gaya sukan itu yang dibangunkan bersama Kiko Kostadinov yang mana ia menonjolkan ekspresi diri dan gaya tersendiri kepada si pemakai.

Model Gel-Quantum memberi stimulasi seperti gaya angkasa, Gel-Sonoma 15-50 pula bersandarkan dunia lasak ketika melakukan aktiviti perkhemahan dalam dunia alam semula jadi dan Jogger x81 begitu unik kerana digabungkan antara kasut berjoging era 1980 yang diadun serasi gaya terkini.

ANTARA ruang acara yang menarik menjadi tumpuan pengunjung.
ANTARA ruang acara yang menarik menjadi tumpuan pengunjung.

Ternyata koleksi musim luruh dan sejuk Asics pada tahun ini mempunyai begitu banyak pilihan kepada pengguna, bukan sahaja dalam segmen sukan malah kasual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 7:00 AM