EDAN Syah bersama wakil media yang menguji kasut terbaru ASICS.
EDAN Syah bersama wakil media yang menguji kasut terbaru ASICS.
EDAN Syah menunjukkan kaedah mengikat tali kasut kepada wakil media.
EDAN Syah menunjukkan kaedah mengikat tali kasut kepada wakil media.
HM Digital

Ketika memilih sepasang kasut sukan apa faktor yang perlu diutamakan? Adakah rekaan, warna atau corak yang menarik, jenama mahupun harga ditawarkan bakal mempengaruhi keputusan membeli kasut yang diidamkan?

Kesilapan dalam pemilihan kasut boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh, malah merugikan anda kerana ia tidak boleh digunakan untuk jangka masa lama.

Ini kerana kasut yang sesuai bukan saja menjamin keselesaan si pemakai malah boleh membantu mengurangkan kesakitan bahagian sendi dan tulang belakang. Kasut sukan boleh dipakai sesiapa saja tidak kira peringkat usia dan dianggap berbaloi sekiranya kasut yang berjenama mahal mampu digunakan untuk satu jangka masa panjang.

Dalam pada itu, kemajuan teknologi pembuatan kasut kini menyebabkan sesuatu kasut dihasilkan lebih baik dari segi ketahanan, fabrik digunakan dan tampil lebih bergaya.

Pengeluar kasut terkemuka dari Jepun, ASICS misalnya memang terkenal sebagai jenama kasut sukan popular dan menjadi pilihan pelari maraton dunia disebabkan teknologi pembuatannya.

Terkini, ASICS memperkenalkan koleksi terbaru, AW17 menerusi kasut Gel-Kenun yang meneruskan legasi teknologi ASICS dan menampilkan gaya jalanan sesuai untuk bersiar-siar dengan rakan, bersenam di gimnasium atau beriadah di taman.

Kasut itu diilhamkan daripada awan cirrus, dikenali sebagai ‘kenun’ dalam bahasa Jepun dan direka khas untuk memastikan si pemakainya mengalami pengalaman seolah-olah berlari di atas awan. Dengan mesh yang fleksibel di bahagian gel kaki depan dan belakang, Gel-Kenun memperkasa setiap langkah dan pada masa sama menampilkan gaya jalanan yang menarik kepada si pemakai.

Kesempatan penulis menguji kasut ini dalam satu sesi khas media bersama pelari maraton terpantas Malaysia 2016, Mohd Syahidan Alias atau lebih dikenali sebagai Edan Syah mendapati kasut terbaru ASICS ini selesa dipakai sama ada untuk bersukan seperti berjoging atau berlari dan memberikan impak berbeza kerana kasut itu berasa cukup ringan dibantu oleh gel yang dapat dilihat jelas di bahagian tapaknya.

Melihat kepada rekaan kasut terbaru ini, warna gel hijau di bahagian tapak kasut dikhususkan untuk lelaki manakala gel biru untuk wanita dan tulisan Gel-Kenun di bahagian tumit belakang kasut jelas tertera di sebalik fabrik hitam yang menampakkan gaya bersahaja.

Apa yang menarik perhatian ialah lapisan tapak yang tebal menjadi identiti sebenar kasut ini dan gabungan warna gel sama ada hijau atau biru menyerlahkan gaya si pemakainya. Ia sesuai dipakai sama ada untuk bersantai mahupun mereka yang sering berulang-alik ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam.

Penulis yang memilih untuk pulang ke pejabat menaiki sistem pengangkutan awam MRT dari stesen Bandar Utama ke Muzium Negara selepas tamat sesi pelancaran kasut itu, dapat menguji keupayaan sebenar kasut ini dalam apa jua permukaan jalan dan cukup selesa disebabkan tapak gel yang tebal tanpa berasa sebarang tekanan kepada kaki.

Koleksi kasut ASICS Gel-Kenun itu dipasarkan pada harga RM499 sepasang dan kini boleh didapati di seluruh cawangan ASICS dan pengedarnya di seluruh negara selain boleh didapati di cawangan aL-ikhsaN. Prestige Sports Sdn Bhd adalah pengedar tunggal ASICS di negara ini yang turut mengedarkan tiga lagi produk sukan lain iaitu Lotto, Teva dan Canterbury.

Pada masa sama, ASICS turut memperkenalkan koleksi baru kasut RoadHawk FF iaitu kasut yang sesuai untuk digayakan oleh sesiapa saja termasuk remaja pada harga yang kompetitif.

Dari sudut teknikal, reka bentuk mesh Mono-Sock separuh yang halus memegang dan memberikan sokongan pada kaki dengan selesa sementara Ortholite sockliner menawarkan penyerapan unggul serta cepat kering.

Ini memastikan si pemakai sentiasa berasa disokong, kering dan selesa sepanjang larian mereka, malah tapak tengah ASICS FlyteFoam yang penuh iaitu kira-kira 55 peratus lebih ringan daripada piawaian industri tapak tengah yang memberikan pelari penyerapan yang unggul dan rasa kelajuan yang tidak dapat ditandingi.

Pengarah Pemasaran Asia ASICS, Kenji Oh berkata, kasut RoadHawk FF yang ditawarkan pada harga RM399 sepasang itu direka untuk pengalaman laju, responsif dan selesa untuk larian serta cukup bergaya untuk dipakai bagi kegunaan harian.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Pemasaran Global ASICS Corporation, Paul Miles berkata, koleksi AW17 menawarkan fesyen berprestasi tinggi bagi peminat sukan dalam memenuhi gaya hidup urban mereka yang pantas - sama ada ketika bersenam, bersiar-siar atau bersantai.

“Gabungan gaya jalanan dan teknologi menampilkan kisah reka bentuk terbaru ASICS. Fokus koleksi AW17 bukan pada pilihan pakaiannya, tetapi pada asas cara hidup moden,” katanya.

Orang ramai juga boleh memilih kasut yang sesuai dengan kaki menggunakan teknologi analisis kaki di cawangan ASICS 1Utama iaitu sistem Asics Foot ID. Teknologi analisis kaki inovasi dari Jepun itu memberikan kemudahan buat mereka memahami kesesuaian jenis kasut dalam sukan yang disertai.

Menerusi sistem itu, kaki akan diukur mengikut panjang, lebar dan bentuk tapak kaki sama ada normal, leper atau melengkung. Ia juga digunakan untuk menganalisis secara lebih terperinci cara berjalan dan berlari supaya dapat melihat kesilapan yang dilakukan tanpa disedari.

Dalam pada itu, Edan Syah ketika ditanya mengenai kasut ASICS berkata, dia menggunakan kasut ASICS sejak mula membabitkan diri dalam sukan maraton dan berpendapat ia banyak membantu prestasi lariannya.

“ASICS adalah kasut terbaik untuk saya kerana ia banyak membantu prestasi larian dan dihasilkan menerusi teknologi terkini dalam sains sukan.

“Saya memang sukakan teknologi dan pemakaian kasut ini selari dengan minat mendalam dalam bidang maraton,” katanya yang kini sibuk mempersiapkan diri untuk menyertai Berlin Marathon 2017 yang akan berlangsung pada bulan ini.

Beliau berkata, Berlin Marathon antara enam maraton terbesar dunia yang disertai pelari maraton terkemuka dunia dan dianggap sebagai laluan yang landai serta rata dengan penyertaan lebih 70,000 pelari setiap tahun, malah banyak rekod dunia dicatatkan dalam setiap kali acara itu dianjurkan.

Edan yang pernah melayakkan diri untuk ke Marathon Boston ke-119 pada 2015 dan berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 2:41:55 kini sedang berusaha untuk mencatatkan masa larian di bawah 2 jam 30 minit pada Berlin Marathon.

Dalam pada itu, Edan Syah turut berkongsi tip sebelum memulakan sesuatu larian. Antaranya melakukan sesi pemanas badan sekurang-kurangnya 10 minit dengan memberi penekanan kepada regangan dinamik.

Beliau berkata, tumpuan regangan perlu diberikan kepada bahagian atas badan seperti tangan, bahu dan pinggang sebelum turun kepada bahagian bawah khususnya kaki.

“Teknik bernafas mengikut rentak kaki juga penting bagi mengelakkan kita cepat penat dan apa yang penting ialah berlari mengikut kemampuan diri, bukannya mengejar jarak tertentu.

“Kita mungkin boleh bermula dengan larian selama 30 minit sebelum melangkah lebih jauh. Paling ideal ialah melakukan larian dua atau tiga kali seminggu dengan menjarakkan masa bagi membolehkan badan mendapatkan rehat yang secukupnya,” katanya. - Badrila Jamlus

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 1:26 PM