Hafiz Ithnin

Ternyata apabila jenama kasut gaya hidup antarabangsa mendapat cita rasa tempatan, ia dilihat memberikan aura yang tersendiri.

Apatah lagi, rekaannya bersandarkan sesuatu yang begitu dekat dengan masyarakat Malaysia.

Justeru, Asics Malaysia meneruskan kerjasama dengan rakan strategik tempatan untuk memperkenalkan model terbaharunya, Gel-Lyte III yang mendapat inspirasi daripada minuman terkenal Malaysia, Teh Tarik!

Menariknya, kasut dalam kategori gaya hidup premium atau dikenali sebagai 'sneakers head' iaitu pengumpul yang menghargai fesyen sneakers itu 'meniru' hampir seratus peratus rupa teh tarik.

Malah, pek pembungkusnya direka seperti pek pembungkus teh yang biasa dijual di pasaran tempatan yang menjadikan pembeli seolah-olah membeli teh.

Pengurus Negaranya, Boon Tib Soom Nik berkata, Gel-Lyte III Teh Tarik bukan mudah untuk dihasilkan sehingga memerlukan masa hampir dua tahun.

"Bagi saya kasut ini paling istimewa dalam kalangan kasut cita rasa Malaysia yang pernah dihasilkan dahulu iaitu Nasi Lemak pada 2019 dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada 2020.

"Kasut ini juga adalah eksklusif dan terhad. Kita mereka cipta bersama rakan strategik tempatan dan perlu mendapatkan kelulusan daripada ibu pejabat Asics Global di Jepun sebelum dapat diperkenalkan di pasaran," katanya.

Boon Tip menambah, model itu hanya dijual di cawangannya di Malaysia dan menerusi laman web rasminya sahaja pada 15 Disember ini sahaja dengan jumlah terhad. Setiap pasangan dijual pada harga RM699.

GEL-LYTE III Teh Tarik mendapat mengambil inspirasi teh tarik.
GEL-LYTE III Teh Tarik mendapat mengambil inspirasi teh tarik.

Bercerita mengenai rekaan model itu, katanya, perkara pertama sekali ialah pemilik dapat melihat terdapat tiga rona warna yang mencerminkan teh tarik tiga lapisan yang cukup popular di Malaysia.

"Begitu juga dengan bahagian 'tiger stripes' yang boleh ditukar didatangkan dengan tiga rekaan berbeza pertama, warna seakan-akan buih teh tarik, kedua warna kaw iaitu teh tarik 'kaw' dan ketiga ialah warna biasa teh tarik yang berona coklat terang.

"Di bahagian tapak pula diinspirasikan daripada kedai gerai yang menjual teh tarik di kedai yang mempunyai zink berona seakan-akan perak," katanya.

Tambahan pula, di dalam kasut juga iaitu di bahagian terletaknya tumit si pemakai terdapat bekas gelas minuman berwarna coklat dan di dalamnya terdapat logo Asics.

Ditanya mengenai respon ibu pejabat Asics mengenai rekaan kasutnya yang mendapat sentuhan tempatan, katanya, syarikat kasut itu amat menggalakkan model kasut keluaran Asics mempunyai cita rasa tempatan.

"Perkara paling penting ialah bagaimana kita boleh memberi penceritaan menarik kepada kasut itu kepada si pemakai yang memiliki setiap pasang kasut berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:55 AM