APABILA tidur, badan dapat melalui proses baik pulih untuk keesokan harinya.
APABILA tidur, badan dapat melalui proses baik pulih untuk keesokan harinya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BANYAK kes kemalangan maut di negara ini berlaku disebabkan pemandu kenderaan tidur singkat yang tidak dapat dikawal atau lebih dikenali sebagai 'microsleep'.

Biasanya, ia seringkali berlaku dalam tempoh antara satu hingga 30 saat ketika memandu.

Namun ada juga kes berlaku di mana seseorang itu tertidur tanpa sedar ketika dalam melakukan aktiviti lain seperti mengendalikan mesin peralatan yang membahayakan nyawa.

Pola tidur yang tidak menentu, kepenatan keterlaluan mungkin menjadi punca berlaku perkara itu.

Justeru apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk mengelakkan berlaku 'microsleep'?

Menurut Pakar Neurologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Lim Poh Hin, tidur adalah komponen penting, tetapi malangnya sering diabaikan.

Kata Dr Lim, dengan tidur badan dapat melalui proses baik pulih untuk keesokan harinya.

"Justeru, tidur yang mencukupi juga boleh membantu mencegah pertambahan berat badan berlebihan, penyakit jantung dan penting untuk kesihatan tubuh secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata, microsleep boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya kerana seseorang itu tidak mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi.

Kata Dr Lim, kanak-kanak yang mendapatkan jumlah tidur (yang disyorkan) secara tetap, dikaitkan dengan kesihatan yang lebih baik, termasuk perhatian yang lebih baik, tingkah laku, pembelajaran, ingatan, keupayaan untuk mengawal emosi, kualiti hidup, kesihatan mental dan fizikal.

Selain umur, faktor lain boleh mempengaruhi berapa jam tidur yang diperlukan sebagai contoh, kualiti tidur.

Katanya, jika tidur kerap terganggu, seseorang itu tidak mendapat tidur yang berkualiti sedangkan kualiti tidur adalah sama pentingnya dengan kuantiti.

"Faktor kehamilan juga boleh mempengaruhi jumlah tidur kerana perubahan dalam tahap hormon dan ketidakselesaan fizikal boleh mengakibatkan kualiti tidur yang lemah.

"Selain itu. faktor penuaan di mana orang dewasa yang lebih tua memerlukan jumlah tidur yang sama seperti orang dewasa yang lebih muda.

"Bagaimanapun, apabila anda semakin tua, corak tidur mungkin berubah," katanya.

Menurut Dr Lim lagi, orang dewasa yang lebih tua cenderung tidur dalam keadaan yang tidak nyenyak, mengambil masa lebih lama untuk mula tidur dan tidur untuk masa yang lebih pendek daripada orang dewasa yang lebih muda.

Beliau berkata, orang dewasa yang lebih tua juga cenderung untuk bangun beberapa kali pada sebelah malam.

"Bagi orang dewasa, tidur kurang daripada tujuh jam setiap malam secara tetap dikaitkan dengan kesihatan yang buruk, termasuk penambahan berat badan, mempunyai indeks jisim badan 30 atau lebih tinggi, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok dan kemurungan," katanya.

Tambah Dr Lim, kurang tidur dari segi kualiti dan kuantiti menyebabkan otak akan 'menuntut hutang' tidur itu pada waktu yang lain sepanjang hari yang boleh mengakibatkan 'microsleep.'

Pun begitu, kata beliau, terdapat beberapa masalah kesihatan yang boleh menyebabkan tidur kualiti yang tidak baik, antaranya ialah 'sleep apnea.'

Sesetengah individu juga akan berasakan dirinya sudah mendapat tidur mencukupi, tetapi sebenarnya dia sudah pun terjaga beberapa puluh atau beberapa ratus kali pada sebelah malam disebabkan pernafasan yang tidak betul.

"Ketika tidur, pangkalan otak kita akan membantu kita bernafas dengan automatik.

"Tetapi, bagi sesetengah individu, mereka akan mengalami 'obstructive sleep apnea' iaitu ketika lidah terjatuh ke belakang lalu menutup ruang pernafasan menyebabkan kadar oksigen menurun dan karbon dioksida menaik.

"Ketika keadaan itu berlaku, otak akan memberi isyarat untuk mengejutkan anda dari tidur supaya anda boleh bernafas dengan betul," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah masalah microsleep itu boleh membawa kepada masalah komorbid lain seperti masalah jantung ataupun masalah saraf yang lain, Dr Lim berkata, antara komorbiditi berpunca dari 'sleep apnea' yang serius ialah strok, kencing manis, penyakit jantung dan berpotensi mendapat kanser.

Keadaan kesihatan itu semuanya boleh membawa maut dan berkaitan dengan 'obstructive sleep apnea.'

Katanya, untuk diabetes contohnya, hubungan antara diabetes dan 'sleep apnea' sudah lama dikenal pasti dan menurut kajian, majoriti pesakit diabetes jenis dua juga mengalami 'obstructive sleep apnea.'

"Penyakit kardiovaskular (jantung) juga berkait rapat dengan komorbiditi 'sleep apnea' biasa sehingga ia antara yang paling kerap diperkatakan apabila membincangkan risiko kesihatan akibat gangguan pernafasan tidur.

"Malah 'sleep apnea' sering diperhatikan pada pesakit dengan kegagalan jantung, di mana pesakit 'sleep apnea' mempunyai tekanan darah yang sering meningkat," katanya.

Selain itu, ia juga dikatakan disebabkan oleh 'absence seizure' iaitu sawan yang singkat dan tiba-tiba.

Pada masa sama ia lebih cenderung berlaku kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa. Seseorang yang mengalami 'absence seizure' mungkin kelihatan seperti dia merenung kosong ke angkasa selama beberapa saat dan kembali normal dalam beberapa saat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:00 AM