BERHENTI memandu dan berehat seketika jika mengantuk semasa memandu.
BERHENTI memandu dan berehat seketika jika mengantuk semasa memandu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"KENDERAAN pacuan empat roda saya pandu terbabas dan nyaris termasuk ke longkang di tepi lebuh raya gara-gara 'microsleep'," kata Nik Ali Nik Muhammad.

Nik Ali, 31, berkongsi pengalamannya mengalami 'microsleep' pada kejadian berasingan di Lebuhraya Merapoh-Gua Musang dan di Klang, Selangor tahun lalu.

Menurutnya, insiden di Lebuhraya Merapoh-Gua Musang meninggalkan trauma kepadanya hingga dia memilih bertukar kerjaya sebagai pemandu pelancong di Dabong, Kelantan.

"Pada kejadian di Lebuhraya Merapoh-Gua Musang, saya dalam perjalanan menghantar durian dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Kepenatan melakukan dua perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur setiap hari untuk menghantar durian membuatkan saya terlelap semasa memandu," katanya.

Menurutnya, sepanjang perjalanan, dia ditemani seorang rakan dan mereka bergilir-gilir memandu.

"Tetapi kerana tidur yang tidak cukup, letih dan kepenatan menyebabkan saya mengalami 'microsleep'.

"Saya masih trauma dengan insiden ini dan mengelak daripada memandu waktu malam. Sekiranya ada perjalanan ke Kuala Lumpur, saya akan pastikan mendapat tidur mencukupi," katanya.

Nik Ali berkata, sebelum ini dia banyak membaca kisah pemandu mengalami 'microsleep' dan tidak menyangka turut mengalami perkara sama.

"Saya menasihati mereka yang selalu memandu bagi perjalanan jarak jauh supaya mendapatkan tidur mencukupi supaya tidak mengantuk dan rasa segar.

"Jangan sesekali memandu dalam keadaan letih atau mengantuk kerana berisiko mengalami 'mickrosleep' yang boleh membahayakan diri sendiri juga orang lain," katanya.

Mohd Hafizuddin Mohamad Ghazali, 34, pula mengatakan, dia tersedar daripada 'microsleep' apabila terkejut mendengar bunyi hon bas ekspres.

"Sebaik terjaga, saya dapati kereta dipandu sudah memasuki lorong tengah lebuh raya sedangkan sebelum itu, saya berada di lorong kanan.

"Saya mengalami 'microsleep' pada 2014 ketika dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

"Saya mengalami 'microsleep' mungkin kerana letih terperangkap dalam kesesakan selama dua jam di Simpang Ampat, Negeri Sembilan.

"Ditambah pula cuaca panas menyebabkan saya mengantuk semasa memandu," katanya.

Sementara itu, Perunding Perubatan Keluarga dan Kesihatan Pusat Perubatan MSU Dr Faridah Mohd Zin berkata, pemandu perlu memastikan mereka segar dan tidak mengantuk sebelum memandu kenderaan.

Dr Faridah berkata, caranya ialah dengan mendapatkan tidur malam mencukupi dan berkualiti di antara tujuh hingga sembilan jam sehari.

"Bagi mereka yang tidak mendapat tidur malam mencukupi, tidak berkualiti dan rasa mengantuk serta letih, disarankan supaya tidak memandu.

"Ia satu daripada cara bagi mengelakkan serangan 'microsleep' semasa memandu. Cara lain ialah dengan melakukan tidur seketika ('power nap') selama 20 hingga 30 minit," katanya.

Menurut Dr Faridah, 'microsleep' ialah satu keadaan apabila individu terlelap secara tiba-tiba dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 30 saat. 'Microsleep' boleh berlaku berulang-ulang dalam satu masa.

Dr Faridah berkata, ada tiga punca utama menyebabkan seseorang itu mengalami 'microsleep'.

Pertama, individu terbabit menghidap masalah tidur (insomnia).

"Punca kedua adalah penyakit 'obstructive sleep apnea' (OSA) iaitu gangguan tidur serius berpunca daripada masalah saluran pernafasan yang boleh menyebabkan pernafasan seseorang terhenti berulang kali ketika tidur.

"Punca ketiga ialah 'narcolepsy' iaitu sejenis penyakit saraf yang boleh membawa kepada masalah microsleep. Mereka yang mengalami masalah 'narcolepsy' boleh tertidur semasa memandu atau bekerja," katanya.

Dr Faridah berkata, antara gejala yang menjadi 'isyarat' individu itu mengalami 'microsleep' ialah terkeluar daripada lorong ketika memandu sama ada di lebuh raya atau jalan raya.

"Mereka juga akan menguap berulang kali dan tidak terkawal, tumpuan pemanduan berkurangan serta kelopak mata terasa berat.

"'Microsleep' yang berpunca daripada masalah insomnia dan OSA boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengira usia manakala punca daripada 'narcolepsy' pula selalunya dialami individu berusia 15 hingga 25 tahun," katanya.

Ditanya mengenai cadangan melarang individu mengalami 'microsleep' daripada memandu Dr Faridah berkata, adalah menjadi tanggungjawab pemandu supaya mengambil pendekatan tidak memandu sekiranya mengantuk dan tidak segar serta cergas untuk memandu.

"Mereka perlu membuat keputusan yang tepat demi keselamatan diri dan pengguna lain.

"Pada 2020, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020) iaitu pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:00 AM