Siti Rohana Idris


Tumpat: Jika manusia normal boleh tidur nyenyak tanpa gangguan dalam tempoh enam jam, Fariz Zainudin dari Taman Sri Bayu, di sini pula kerap terganggu dan nafasnya pernah dilapor terhenti 400 kali.

Fariz, 39, berkata, rekod gangguan itu dimaklum kepadanya selepas penelitian pakar perubatan dan paling lama nafas terhenti adalah 86 saat yang merumuskan dia sebagai penghidap Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Disebabkan itu, bapa lima anak itu terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan, Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) untuk tidur dan sudah menggunakan mesin bernilai RM32,000 itu sejak tiga tahun lalu.

Akuinya, berat badan berlebihan yang mencecah 205 kilogram (kg) menjadi faktor saluran pernafasannya sempit sekali gus sukar bernafas ketika tidur.

"Mesin itu yang dibeli dengan tanggungan tabung kebajikan hospital, baru sahaja rosak dan kini sedang dibaiki oleh pihak pembekal. Sementara itu saya menggunakan CPAP yang dipinjamkan pembekal.

"Saya hanya menggunakan CPAP untuk tidur sahaja kerana jika tidak saya akan selalu terjaga, selain perlu meletakkan tiga bantal untuk alas kepala.

"Cuma saya bimbang tidak mampu membayar kos pembaikan mesin itu apabila siap nanti kerana sudah tidak bekerja dan bergantung kepada elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, dia menjangkakan kos pembaikan CPAP mencecah RM5,000 dan sukar untuk mengumpulnya kerana hilang pendapatan selepas perniagaan pakaian terpakai yang diusahakan di Kuantan, Pahang sebelum ini, gulung tikar disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Fariz berkata, berat badannya terkininya, 175kg dan doktor mencadangkan supaya dia melakukan pembedahan pintasan usus, namun dia perlu menurunkan lagi berat hingga 130kg.

Malangnya, dia tidak berkemampuan untuk menanggung kos pembedahan itu yang diyakini tinggi, sebaliknya berusaha mencari dana untuk membayar kos pembaikan CPAP.

"Tidak betah juga duduk di rumah tanpa buat kerja, namun dalam keadaan begini, saya hanya boleh berniaga dari rumah, tapi modal pula tiada kerana semua wang habis digunakan untuk tampung kehidupan kami sepanjang tempoh PKP," katanya.

Pihak yang mahu membantu boleh menghubungi Fariz di talian 01117868010.

Sebelum ini, keluarga itu menerima kunjungan aktivis masyarakat, Che Norhayati Mohamed daripada Pertubuhan Asnaf Cempaka Merah dan Penghulu Mukim Jubakar Pantai, Ab Rashid Ngah.

Fariz Zainudin, 39, yang mengalami penyakit obstructive sleep apnea (OSA) iaitu penyakit berkenaan gangguan tidur yang dikesan sejak tiga tahun lalu menunjukkan cara penggunaan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang akan digunakan setiap kali tidur ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Bayu, di sini, baru-baru ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Fariz Zainudin, 39, yang mengalami penyakit obstructive sleep apnea (OSA) iaitu penyakit berkenaan gangguan tidur yang dikesan sejak tiga tahun lalu menunjukkan cara penggunaan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang akan digunakan setiap kali tidur ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Bayu, di sini, baru-baru ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:50 PM