HUTANG tidur boleh mengakibatkan microsleep ketika memandu. - FOTO Google
HUTANG tidur boleh mengakibatkan microsleep ketika memandu. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


BARU-BARU ini kerajaan mengumumkan aktiviti rentas negeri di seluruh negeri dibenarkan selepas hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Susulan itu, ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung dan melancong dengan menempuh perjalanan jauh yang mengambil masa sehingga beberapa jam untuk sampai ke destinasi.

Biarpun mengantuk dan penat, masih ada dalam kalangan pemandu yang meneruskan perjalanan, sekali gus boleh mengundang kepada microsleep yang menjadi penyumbang

kepada kemalangan.

Doktor Kesihatan Pekerjaan, Dr Khairil Idham Ismail berkata, microsleep ialah suatu keadaan di mana seseorang itu mengalami satu episod tidur yang amat singkat atau hilang kawalan dalam tumpuan secara tiba-tiba.

"Ia sering kali berlaku bersama-sama gejala lain seperti penumpuan kosong atau 'blank stare,' kepala tersengguk-sengguk dan tersentak kembali, mata yang tertutup tanpa disedari dan berlaku dalam keadaan yang sangat sekejap antara satu hingga 30 saat.

"Lazimnya ia berlaku apabila seseorang itu terlalu penat atau lesu, mempunyai 'hutang' tidur yang banyak pada masa sama berperang untuk terus berjaga dalam melakukan sesuatu tugasan atau kerja yang 'monotonous' seperti melihat skrin komputer, televisyen atau telefon dan memandu kereta dalam perjalanan yang jauh dan lurus," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, microsleep boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi individu yang paling berisiko ialah mereka yang mempunyai hutang tidur atau mereka yang melakukan sesuatu tugasan yang 'monotonous' dan berulang-ulang.

SENTIASA bersembang dengan penumpang untuk elak mengantuk. - FOTO Google
SENTIASA bersembang dengan penumpang untuk elak mengantuk. - FOTO Google

SENTIASA dapatkan tidur berkualiti. - FOTO Google
SENTIASA dapatkan tidur berkualiti. - FOTO Google

"Terdapat beberapa gejala awal microsleep antaranya rasa mengantuk, menggosok mata berulang kali, menguap dengan banyaknya dan mata menjadi lebih kuyu serta berat.

"Pada masa sama anda boleh rasa penumpuan yang makin hilang, kosong, tidak selesa, fikiran melayang-layang, rasa terlalu sukar untuk mata terus terbuka, kereta termasuk ke laluan sebelah (jika memandu) dan kepala tersengguk-sengguk sebelum terkejut serta bangun semula.

"Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa microsleep ialah gejala yang boleh berpunca daripada faktor penyakit tertentu ia bukan penyakit.

"Adalah penting untuk mengenal pasti punca berlaku microsleep dan rawatan boleh dilakukan berdasarkan punca spesifik berlaku microsleep itu sendiri," katanya.

Menurutnya, untuk mencegah microsleep adalah dengan memastikan anda mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti antara tujuh hingga sembilan jam.

"Amalkan kesihatan tidur yang baik bagi membantu memperbaiki kualiti tidur termasuk konsisten dengan waktu tidur dan pastikan persekitaran tidur adalah tenang, gelap serta pada suhu yang bersesuaian.

"Elakkan daripada sebarang perkakas elektronik di bilik tidur seperti penggunaan telefon bimbit, televisyen, komputer dan lain-lain, makan terlalu berat, pengambilan kafein mahupun alkohol sebelum waktu tidur dan amalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman secara berkala dan pengambilan diet yang seimbang dan tidak merokok," katanya.

Selain itu, dapatkan nasihat doktor bagi mengenal pasti jika masalah kelesuan atau corak tidur yang terganggu ini berpunca daripada 'sleep disorder' seperti dibincangkan di atas (Obstructive sleep apnea, restless leg syndrome, narcolepsy).

Beliau berkata, sekiranya terdapat gejala microsleep ketika pemandu, hentikan kenderaan dan dapatkan tidur sebentar sekitar 20 hingga 30 minit untuk elakkan masuk ke fasa 'deep sleep.'

"Sekiranya membabitkan perjalanan jauh, elakkan memandu atau menunggang dalam keadaan penat, lesu atau dalam jendela 'circadian' rendah (2 pagi hingga 6 pagi) dan (2 petang hingga 6 petang).

MICROSLEEP boleh mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa. - FOTO Google
MICROSLEEP boleh mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa. - FOTO Google

"Memandu bersama penumpang yang boleh menghiburkan dengan nyanyian atau buat kawan sembang atau bergilir-gilir memandu dan berhenti di kawasan rehat dan rawat selain lakukan sedikit renggangan dan senaman ringan," katanya.

Selain itu, anda boleh kekal fokus terhadap pemanduan dengan mendengar radio dan podcast yang bersesuaian.

"Beberapa langkah lain boleh diambil namun perlu dilakukan dengan penuh berwaspada seperti menurunkan tingkap kereta dan mengambil minum seperti kopi.

"Pengambilan minuman berkafein juga mengambil masa tidak kurang 30 minit sebelum ia efektif. Justeru, risiko untuk berlaku microsleep tetap ada sebelum ia memberikan kesan," katanya.

Beliau berpendapat, kesedaran masyarakat terhadap microsleep semakin baik dengan capaian maklumat daripada pelbagai sumber seperti media atas talian dan lain-lain.

"Bagaimanapun, tindakan terhadap langkah pencegahan itu sendiri masih perlu dipertingkatkan, baik secara individu mahupun pemegang taruh.

"Amalkan kesihatan tidur meliputi persekitaran dan tabiat yang menyokong tidur yang baik. Kenal pasti gejala microsleep dan lakukan langkah pencegahan daripada berlakunya kemalangan yang berpunca daripada microsleep.

"Institusi kajian dan universiti wajar mempertingkatkan lagi kajian yang berkaitan supaya dapat membantu pembuat dasar melaksanakan dasar berkaitan yang berasaskan pembuktian saintifik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:00 AM