Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pengguna jalan raya dan lebuh raya terutama terutama yang akan memandu pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri ini dinasihatkan untuk mengamalkan tidur serta rehat secukupnya.

Ia penting untuk mengelakkan keadaan kelesuan dan 'microsleep' (terlelap) dan akhirnya boleh membawa kepada kemudaratan atau kemalangan.

Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia (PSAM) Profesor Dr Louis Adaikalam berkata, pemandu juga perlu air yang cukup dalam tubuh bagi mengelakkan kelesuan kerana cuaca ketika ini panas dan boleh mencecah 41 selsius serta boleh memberi kesan kepada pemanduan.

Menurutnya, apabila individu kurang tidur, ia akan mengakibatkan tindak balas perlahan kepada otak dan secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan.

"Kurang tidur boleh mengubah tingkah laku seseorang ketika memandu kerana 'prefrontal cortex' iaitu bahagian otak akan melalui perubahan sementara yang membuatkan seseorang bertindak semberono seperti menggunakan telefon semasa memandu, memandu secara laju, memotong di garisan berkembar, memotong di selekoh merbahaya dan sebagainya.

"Perubahan di 'prefrontal cortex' ini membuat manusia berani mengambil risiko yang lebih tinggi untuk mencapai matlamat jangka pendek dan bukannya akibat jangka panjang yang boleh membawa kepada kemalangan," katanya.

Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia (PSAM) Profesor Dr Louis Adaikalam
Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia (PSAM) Profesor Dr Louis Adaikalam

Menurutnya, ramai yang mengamalkan sikap mengambil secara ringan mengenai kuantiti, kualiti dan konsisten waktu tidur.

"Tuhan yang menciptakan manusia sudah membahagikan satu hari 24 jam kepada tiga bahagian. Lapan jam untuk manusia rehat dan tidur serta memperbanyakkan yang dinamakan waktu malam.

"Tuhan menjadikan siang terang-benderang supaya manusia dapat bekerja lapan jam dan mencari rezekinya manakala lapan jam lagi adalah untuk berinteraksi dengan manusia lain.

"Tetapi manusia hari ini lupa dan tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan dalam konteks pembahagian masa. Kebanyakannya mengamalkan tidur selama lima hingga enam jam sahaja.

"Sebagai contoh seseorang yang tidur hanya enam jam sehari akan mengakibatkan 'hutang tidur' (Sleep debt) selama dua jam untuk satu malam dan apabila hutang tidur sudah melebihi satu paras, badan akan mula menghasilkan ancaman kedua terbesar di dunia iaitu kelesuan," katanya.

Beliau berkata, kajian dan penyelidikan yang dibuat Nielsen syarikat penyelidikan dan perundingan antarabangsa mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami satu atau lebih gangguan tidur yang mana ia tahap amat bahaya.

Sementara itu, katanya, terlelap pula adalah tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan sering kali berlaku dalam tempoh masa antara satu hingga 30 saat ketika memandu.

"Namun ada juga kes terlelap terjadi di mana seseorang itu tertidur tanpa sedar ketika melakukan aktiviti lain seperti mengendalikan mesin peralatan yang membahayakan.

"Terlelap kebiasaan berlaku kepada seseorang yang mengalami pola tidur yang tidak menentu, tidak mendapat kuantiti tidur, konsisten tidur dan kualiti tidur.

"Ia juga boleh dialami kerana kelesuan, obesiti, seseorang yang ada masalah penyakit jantung, diabetes atau sistem saraf badan yang tidak berfungsi secara normal," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes kemalangan adalah lebih kepada 'microsleep', kelesuan, kecuaian, tingkah laku yang mana kesemuanya bermula daripada aspek kurang tidur.

"Dapatkanlah tidur yang lena kerana ia tidur berkualiti dan satu daripada faktor kehidupan berkualiti.

"Untuk yang nak balik beraya tak lama lagi, amalkan pemanduan secara selamat, berhati-hati dan rancang perjalanan anda sebaik-baiknya.

"Jangan memandu berseorangan dan pasanglah lagu melebihi 90Db, mengambil rehat dalam perjalanan, serta membuka tingkap untuk pengudaraan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:55 PM