VAKSINASI adalah kaedah paling berkesan untuk mengelak jangkitan Covid.
VAKSINASI adalah kaedah paling berkesan untuk mengelak jangkitan Covid.
Muhamaad Razis Ismail

KLUSTER Covid-19 berkaitan sekolah mencatat peningkatan besar di Malaysia sejak pembukaan sekolah, terutama akibat penularan varian paling terbaharu Omicron.

Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi mereka boleh dengan mudah menjangkitkan virus itu kepada orang lain, termasuk yang berpenyakit serius dan berisiko tinggi.

Menurut CovidNow, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan ia dijangka akan terus meningkat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perubatan Taylor's University, Dr Lim Yin Sear berkata, ramai ibu bapa di Malaysia bimbang mengenai keselamatan profil vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak.

"Di dalam ujian klinikal yang diberi perakuan, seperti dilaporkan CDC USA, vaksin Covid-19

Pfizer-BioNTech disuntik kepada 3,109 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, keadaan paling buruk hanyalah demam dan sakit kepala. Tiada keadaan buruk yang serius berkait dengan vaksinasi.

"CDC menilai semula keadaan buruk selepas menerima laporan penerimaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dikemukakan kepada Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS), bagi tempoh 3 November hingga 19 Disember tahun.

"Sebanyak 8.7 juta dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam tempoh itu dan VAERS menerima 4,249 aduan kesan sampingan selepas vaksinasi kumpulan usia ini dan daripada jumlah itu 97.6 peratus bukan serius," katanya.

Menurutnya, terdapat juga kebimbangan terhadap kes myocarditis dan pericarditis berikutan suntikan vaksin MRNA.

"Kadar laporan bagi myocarditis berkait dengan vaksin nampaknya lebih tinggi dalam kalangan lelaki berusia 12 hingga 29 tahun.

IBU bapa memainkan peranan penting.
IBU bapa memainkan peranan penting.

"Sehingga kini, myocarditis dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kelihatannya amat jarang dengan hanya 11 kes daripada 8.7 juta," katanya.

Di dalam ujian rambang terkawal yang disiarkan baru-baru ini terhadap vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak dan remaja, penyiasat melaporkan vaksin itu mencapai lebih 90 peratus pengurangan di dalam risiko dijangkiti Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tanpa kesan buruk serius seperti myocarditis.

Bagaimanapun, berlaku kesan ringan seperti bekas tempat suntikan, lesu dan pening kepala

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Banting, Dr Noor Hafiza Noordin berkata, terdapat ibu bapa tidak mahu vaksinasi terhadap anak mereka kerana bergantung kepada imuniti berkelompok.

Katanya, lazimnya, imuniti berkelompok dicapai apabila 80 peratus populasi sudah diimunisasi daripada jangkitan namun ia tidak sama dengan Covid-19, terutama varian baharu Omicron.

"Berkemungkinan besar, kita memerlukan lebih daripada 95 peratus populasi diimunisasi sepenuhnya untuk mencapai tahap perlindungan yang sama untuk imuniti kelompok. Pada masa ini, populasi kita yang sudah diimunisasi berada di paras 79 peratus.

"Malah imuniti kelompok juga adalah fenomena dinamik yang bergantung kepada pergerakan kelompok. Jika anak itu pergi ke sekolah, majoriti populasinya adalah kanak-kanak. Jika semua kanak-kanak yang tidak diimunisasi berkumpul di situ, tidak wujud imuniti kelompok.

"Adalah bahaya untuk bergantung kepada imuniti kelompok kerana jika ramai ibu bapa memutuskan untuk tidak mengimunisasi anak mereka, maka ini akan mendatangkan bahaya besar bagi tahap umum imuniti dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Jelasnya, vaksinasi masih kaedah paling berkesan untuk mengelak jangkitan Covid-19 dan komplikasi lebih serius, termasuk mengurangkan jangkitan di rumah dan di sekolah, menjaga orang yang mudah dijangkiti dan mewujudkan persekitaran pembelajaran secara bersemuka lebih selamat.

"Tanpa vaksin Covid-19 yang berkesan bagi kumpulan usia ini, kanak-kanak berpotensi menjadi takungan jangkitan dan sumber kepada varian baharu yang akan muncul nanti. Vaksinasi besar-besaran ke seluruh kumpulan usia adalah penting dalam usaha berterusan mengekang pandemik ini.

"Rumusannya, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah digalakkan untuk divaksinasi bagi menentang virus Covid-19.

"Namun, seandainya anak itu mempunyai masalah kesihatan atau ibu bapa yang masih curiga, dapatkan nasihat daripada pegawai perubatan mereka atau ahli pediatrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 7:49 AM