KANAK-KANAK berusia lima tahun menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech. FOTO AFP
KANAK-KANAK berusia lima tahun menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat akan mula memberikan suntikan vaksin Pfizer-BioNtech kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.

Pihak berkuasa kesihatan AS berkata, mereka memuktamadkan kelulusan untuk fasa baharu ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Beberapa hari selepas mendapat kebenaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), vaksin itu diluluskan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk pelaksanaan program vaksinasi kepada 28 juta kanak-kanak.

Kerajaan mendahului keputusan itu, mendapatkan dos yang mencukupi untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur antara lima hingga 11 tahun serta mula menghantarnya ke seluruh negara.

"Sejak mendapat kelulusan FDA, pasukan bertungkus lumus untuk membungkus dan menghantar (vaksin berkenaan).

"Kami merancang melaksanakan beberapa program vaksinasi menjelang akhir minggu ini dan ia akan sepenuhnya dilaksanakan pada 8 November ini, " kata penyelaras pandemik Covid-19 White House, Jeff Zients.

Semalam, CDC mengadakan perbincangan bersama panel saintis bebas yang berlangsung secara penstriman langsung untuk menyemak data tersedia mengenai status wabak kepada kanak-kanak, keberkesanan vaksin Pfizer serta kemungkinan kesan sampingan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:17 AM