Seorang kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 di sekolah di Valencia, Sepanyol. - FOTO EPA
Seorang kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 di sekolah di Valencia, Sepanyol. - FOTO EPA
AFP

Frankfurt: Beberapa negara Eropah mula memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun dalam usaha mengekang pandemik dan meneruskan sesi persekolahan.

Jerman, Sepanyol, Greece dan Hungary adalah antara negara Eropah yang mula memberikan suntikan kepada kanak-kanak dengan doktor memaklumkan terdapat permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa.

Pemerhari perubatan Kesatuan Eropah (EU) bulan lalu meluluskan pemberian suntikan Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima dan 11 tahun, selepas kumpulan usia berkenaan merekodkan jumlah kes tertinggi jangkitan Covid-19 di benua itu.

Dos yang diberikan adalah rendah berbanding untuk kanak-kanak berusia lebih 12 tahun dan didatangkan dengan penutup berwarna oren bagi membezakan bebuli yang mengandungi vaksin untuk kanak-kanak lebih 12 tahun yang berwarna ungu.

Amerika Syarikat menjadi negara pertama melaksanakan program vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak dan setakat ini sudah memberikan suntikan kepada lebih lima juta kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:53 PM